Pages

Tuesday, July 12, 2011

Barat sekat dana tekan Palestin


RAMALLAH, Tebing Barat - Usaha unilateral Palestin untuk merdeka yang ditentang oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) berdepan halangan kewangan yang akan membebankan penduduk di wilayah berkenaan.

Situasi tersebut terjadi berikutan Barat yang diketuai AS, mungkin akan menyekat dana kewangan kepada Palestin sekiranya pemimpin mereka membawa pelan untuk mewujudkan sebuah negara Palestin merdeka ke persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan depan.

Sehingga kini, pentadbiran Palestin terutama di Tebing Barat yang ditakluki Israel, banyak bergantung kepada bantuan kewangan daripada Eropah, AS dan beberapa sekutu Arab untuk menguruskan wilayah mereka.

Namun sebahagian dana untuk bulan ini masih belum diterima. Seorang pegawai kanan Palestin menyatakan, perkembangan tersebut berpunca daripada keputusan pemimpin Palestin mahu membawa isu kemerdekaan wilayah itu ke Perhimpunan Agung PBB.

"Ia merupakan tekanan Barat supaya kami menukar pendirian," kata pembantu kanan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rdainah.

Menurutnya, kakitangan Pihak Berkuasa Palestin Tebing Barat cuma menerima separuh gaji untuk bulan ini susulan tekanan Barat itu.

Majlis Keselamatan PBB dijadualkan bersidang pada 26 Julai ini untuk membincangkan sama ada Palestin akan dibenarkan menganggotai PBB.

Namun, rancangan kemerdekaan itu ditentang oleh AS yang mahu kemerdekaan Palestin dipersetujui terlebih dahulu oleh Israel. - Reuters

Kosmo! Online - Dunia

No comments: