Pages

Monday, May 30, 2011

Tentera Gaddafi rogol lebih 200 wanita

Hasil maklum balas soalan trauma perang
BENGHAZI: Pada awalnya, maklum balas terhadap soalan trauma perang di Libya seperti dijangkakan iaitu 10,000 orang didapati menderita pasca traumatik stres (PTSD), 4,000 daripadanya kanak-kanak dengan masalah psikologi. Kemudian hasil yang tidak dijangkakan timbul, 259 wanita tampil mendakwa dirogol tentera setia kepada Muamar Gaddafi.

Dr Seham Sergewa yang menguruskan kanak-kanak trauma akibat perang Libya didatangi wanita bermasalah yang menceritakan rahsia gelap mereka kepadanya.

Mangsa pertama tampil dua bulan lalu diikuti dua lagi. Semua adalah ibu kepada kanak-kanak yang dirawat pakar kanak-kanak yang mendapat latihan di London itu. Mereka membuka rahsia bagaimana mereka dirogol tentera Gaddafi. Sergewa memutuskan untuk menambah soalan mengenai rogol dalam kertas soal selidik yang diagihkan kepada rakyat Libya yang tinggal di kem pelarian selepas dihalau dari rumah. Tujuan utama untuk menentukan bagaimana kanak-kanak bergelut dengan perang dan beliau menjangkakan ramai yang menderita akibat PTSD.

Namun, lebih mengejutkan ramai wanita tampil mengakui pernah dirogol tentera Gaddafi.

“Saya benar-benar terkejut apabila saya mula melawat kem ini, mula-mula dengan jumlah orang menderita akibat PTSD yang kebanyakannya kanak-kanak dan kemudian jumlah wanita yang dirogol dari timur dan selatan negara,” kata Sergewa dalam temuramah dengan The Associated Press.

Soal selidik dikendali Sergewa sudah diagihkan kepada 70,000 keluarga dan 59,000 memberikan maklum balas.
“Kami mendapati 10,000 dengan PTSD, 4,000 kanak-kanak mengalami masalah psikologikal dan 259 kes rogol wanita,” katanya sambil menambah beliau percaya jumlah mangsa rogol lebih tinggi tetapi wanita terbabit bimbang untuk melaporkan serangan.

Mangsa berkata mereka dirogol tentera Gaddafi di beberapa bandar seperti Benghazi, Tobruk, Brega, Bayda dan Ajdabiya, Saloum di timur dan Misrata di barat.

Sesetengah mendakwa dirogol tidak menulis nama mereka, sesetengah menggunakan nama samaran. Malah, sesetengah merasakan perlu berkongsi pengalaman ngeri dengan menulisnya di belakang kertas soal selidik.

Membaca satu daripada pengalaman responden, Sergewa memberitahu wanita itu diserang di Misrata pada Mac ketika kawasan itu dikuasai tentera Gaddafi.

“Mula-mula mereka mengikat suami. Kemudian mereka merogol saya di depan suami dan saudara lelaki suami. Selepas itu mereka membunuh suami saya,” tulis mangsa.
Seorang wanita di Misrata berkata beliau dirogol di depan empat anaknya selepas tentera Gaddafi membakar rumah mereka. – AP 
Berita Harian Online | Tentera Gaddafi rogol lebih 200 wanita

No comments: