Pages

Monday, April 18, 2011

Puting beliung landa AS, 25 maut




Anggota kecemasan membantu mencari mangsa selepas gedung Lowes Home Improvement ranap dilanda puting beliung di Sanford, Carolina Utara, kelmarin. - AP

CHICAGO 17 April - Sekurang-kurangnya 25 maut apabila puting beliung melanda bahagian selatan, tengah dan timur Amerika Syarikat (AS) buat hari ketiga berturut-turut.
Televisyen NBC melaporkan, sekurang-kurangnya lima maut, semalam apabila puting beliung membinasakan Carolina Utara, mengakibatkan rumah-rumah ranap dan bekalan elektrik terputus.
Televisyen MSNBC pula melaporkan, seorang maut di Marengo Country, Alabama, manakala enam lagi terkorban di Autauga dan Washington Counties.
Ribut tersebut turut menumbangkan pokok dan kabel elektrik, menerbangkan bumbung rumah serta menyebabkan treler terkandas di lebuh-lebuh raya.
Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan melaporkan, sebanyak 12 puting beliung berlaku di Mississippi dan Alabama di bahagian selatan AS Jumaat lalu, sehari selepas 15 puting beliung melanda Oklahoma, Kansas dan Texas.
Kebanyakan kematian dalam kejadian pada Jumaat lalu berlaku di kawasan pedalaman Arkansas, di mana tujuh maut akibat ditimpa pokok tumbang.
Ribut yang berlaku juga cukup kuat untuk menerbangkan sebuah treler besar setinggi 21 meter ke udara dan mengakibatkan kematian seorang warga emas berusia 65 tahun, sementara seorang lagi lelaki warga emas yang berada di dalam treler itu kini berada dalam kritikal.
Jurucakap Jabatan Pengurusan Kecemasan Arkansas, Tommy Jackson berkata, seorang ibu dan anaknya berusia tujuh tahun turut maut ditimpa pokok dekat rumah mereka di bandar Little Rock, sementara seorang bapa dan bayinya ditemui mati di dalam rumah mereka di Garland County.
Di White County, seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut ditimpa pokok dan seorang lelaki terbunuh apabila sebatang pokok menimpa trelernya di Pulasky County. - AFP, Utusan

No comments: