Pages

Monday, April 18, 2011

Ke mana Gaddafi jika diusir?


Seorang pemberontak membedek mesingan semasa bertempur dengan tentera yang setia kepada gaddafi di barat bandar Ajdabiyah, kelmarin. - REUTERS


WASHINGTON 17 April - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sudah melancarkan usaha intensif bagi mencari sebuah negara yang boleh memberi perlindungan kepada Muammar Gaddafi, sekiranya pemimpin Libya itu terpaksa hidup dalam buangan.
Namun, pegawai AS hanya mempunyai senarai terhad negara yang berpotensi menerima Gaddafi, meskipun Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague dijangka memfailkan pendakwaan terhadap beliau kerana keganasan yang dilakukannya ke atas rakyat Libya semasa pemberontakan sekarang.
Gaddafi juga boleh didakwa berhubung letupan bom di dalam pesawat Pan Am 103 di Lockerbie, Scotland pada 1988.
Akhbar New York Times (NYT), semalam memetik tiga pegawai pentadbiran sebagai berkata, Washington sedang menimbang untuk mencari sebuah negara yang belum menandatangani atau mengesahkan Statut Rom yang menghendaki mana-mana negara anggota menyerahkan sesiapa yang sudah didakwa untuk dibicarakan oleh ICC.
Pendekatan itu bermakna Gaddafi mungkin diberi perlindungan di sebuah negara lain di Afrika, di mana kira-kira separuh daripada negara di benua itu belum menandatangani Statut Rom.
AS sendiri juga belum menandatangani perjanjian tersebut kerana bimbang para pegawai tentera dan perisikannya boleh didakwa oleh ICC.
"Kita mendapat pengajaran daripada Iraq, dan satu pengajaran terbesar ialah rakyat Libya perlu bertanggungjawab menukar rejim di negara mereka, bukan kita," kata seorang pegawai kanan pentadbiran Obama.
Katanya, Washington kini hanya cuba mencari jalan keluar (untuk Gaddafi) secara aman, jika peluang itu timbul.
Laporan NYT disiarkan selepas serangan udara dan pengeboman sejak berminggu-minggu lalu oleh sekutu AS dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta tekanan ke atas tentera dan pegawai kanan Gaddafi masih gagal menyingkirkan pemimpin autoritarian itu yang memerintah Libya selama 32 tahun.
AS kini hanya memainkan peranan menyokong Britain dan Perancis dalam operasi hampir sebulan untuk membedil tentera Gaddafi, bertujuan untuk menyekat pembunuhan penduduk awam dan pemberontak yang bangkit menentang beliau. - AFP, Utusan

No comments: