Pages

Friday, April 8, 2011

Negara Asia makin gusar ancaman radiasi nuklear


Foto
PEGAWAI kesihatan awam Thailand memeriksa daging di sebuah restoran Jepun di Bangkok bagi mengesan pencemaran radiasi, semalam.

Foto
PELAJAR sekolah rendah Midong, Korea Selatan membawa payung ketika wujud kebimbangan hujan mungkin membawa bahan radioaktif dari Fukushima.

TOKYO: Beberapa jiran Jepun semakin menyuarakan kebimbangan mengenai risiko pencemaran radiasi di wilayah masing-masing akibat kebocoran loji nuklear Fukushima sejak gempa bumi dan tsunami melanda Jepun beberapa minggu lalu.


Di Korea Selatan, beberapa sekolah ditutup kerana ibu bapa pelajar risau anak mereka kena radiasi ketika hujan.
“Kami juga menghantar risalah rasmi kepada pihak sekolah supaya tidak mengadakan aktiviti di luar darjah,” kata pegawai kementerian berkenaan di Seoul.

Agensi keselamatan nuklear Korea Selatan melaporkan kehadiran bahan radioaktif rendah iodin dan caesium dalam hujan di selatan negara itu meskipun parasnya tidak mengancam nyawa.


Tetapi, ramai penduduk Korea Selatan kini memakai topeng muka ketika keluar rumah. Kesesakan lebih ketara di jalan menuju sekolah kerana mereka tidak membenarkan anak berjalan ke sekolah.


“Kami dekat dengan Jepun berbanding Amerika atau Eropah. Penduduk kami tentunya lebih risau,” kata Presiden Lee Myung-bak yang membentuk jawatankuasa khas bagi memantau kesihatan awam.


Kementerian Kesihatan China pula mengesan bahan radioaktif di tiga wilayahnya manakala India berhenti mengimport makanan Jepun selama tiga bulan dan Singapura mengharamkan pengimportan sayur dan buah.
Di Vienna, pegawai nuklear Jepun disoal siasat rakan mereka dari negara lain, khususnya Russia.


“Rakan mereka meminta lebih banyak maklumat terutama Russia,” kata sumber diplomatik. Malah, pegawai Russia memberitahu pegawai Jepun supaya meningkatkan usaha menangani pencemaran radioaktif. – Reuters Berita Harian Online | Negara Asia makin gusar ancaman radiasi nuklear

No comments: