Pages

Tuesday, April 19, 2011

Amerika dilanda ribut: 45 maut


SEGALANYA MUSNAH...Jeffery Lee (kiri) memujuk Meredith Tucker di depan rumah wanita itu yang diranapkan taufan di Fayetteville, Carolina Utara, semalam.
SEGALANYA MUSNAH...Jeffery Lee (kiri) memujuk Meredith Tucker di depan rumah wanita itu yang diranapkan taufan di Fayetteville, Carolina Utara, semalam.

RALEIGH (Carolina Utara): Angin taufan terburuk dalam tempoh beberapa dekad melanda sebahagian Amerika Syarikat, semalam, menyebabkan 45 orang maut dan merosakkan bangunan serta harta benda lain.
Bencana itu bermula pada petang Khamis (waktu tempatan) di Oklahoma apabila angin puting beliung raksasa hampir memusnahkan seluruh bandar Tushka yang dihuni 350 orang.

Hampir semua kediaman dan kedai di bandar itu musnah, manakala dua penduduk warga emas terbunuh.

Sehari kemudian kekuatan angin meningkat dan mencetuskan beratus-ratus taufan yang melanda Arkansas, Mississippi, Alabama dan Carolina Utara, sebelum menuju Virginia pada malam Sabtu.

Jurucakap Agensi Pengurusan Darurat Persekutuan, Patty McQuillan, berkata bencana taufan itu adalah terburuk sejak 1984 .

“Saya masing ingat kejadian itu dan saya yakin taufan ini lebih hebat daripada bencana berkenaan,” katanya.

Pada 1984, taufan terburuk dalam tempoh lebih satu abad memusnahkan Georgia, Carolina Utara dan Selatan, serta Virginia, serta mengorbankan 57 orang serta lebih 1,000 cedera.

Raleigh menjadi bandar paling teruk terjejas apabila 23 orang terbunuh.
Di Alabama, seorang ibu dan dua anaknya yang berlindung dalam rumah bergerak adalah antara tujuh korban.

Mereka tercampak kira-kira 150 meter dari kediaman itu.

Tujuh lagi korban dicatatkan di Arkansas, lima di Virginia dan seorang di Mississippi.

Datuk Bandar Carolina Utara, Beverly Perdue, berkata dia tidak pernah melihat kemusnahan sebegitu sepanjang hidupnya.

Dia juga mengisytiharkan darurat bagi memudahkan bantuan diterima. - AFP

No comments: