Pages

Thursday, April 21, 2011

Aktivis hak asasi cemuh Syria tamatkan darurat

DAMSYIK: Kumpulan hak asasi semalam mencemuh keputusan kerajaan Syria untuk menamatkan erintah darurat di negara itu berikutan sejurus selepas langkah itu diumumkan, pihak berkuasa menahan seorang tokoh pembangkang di bandar Homs. 
Aktivis daripada kumpulan Pemerhati Hak Asasi Bagi Rakyat Syria, Rami Abdel Rahman berkata, Mahmud Issa ditahan polis di Homs semalam, beberapa jam selepas kabinet meluluskan rang undang-undang menamatkan perintah darurat selama 48 tahun di Syria.
Rang undang-undang itu akan dikemukakan di parlimen, namun ia tidak akan dilakukan hingga selepas 2 Mei.

Kabinet juga bersetuju memansuhkan mahkamah keselamatan negara dan meluluskan rang undang-undang bagi penunjuk perasaan. 

Ia dibuat selepas menteri dalam negeri menguatkuasakan pengharaman sepenuhnya perhimpunan politik dan membenarkan pasukan keselamatan menembak mati penunjuk perasaan di Homs. 

Saksi berkata lebih 2,000 orang melanggar arahan pihak berkuasa dan mengadakan tunjuk perasaan ke atas rejim Presiden Bashar al-Assad di Banies lewat semalam. 
Sekurang-kurangnya 10 orang lagi dilaporkan terbunuh dalam pertempuran di Homs, di mana 20,000 orang mengadakan tunjuk perasaan sepanjang malam, mendesak Assad meletak jawatan. 
“Tidak lama selepas itu, sepasukan anggota perkhidmatan keselamatan politik menahan Issa selepas beliau ditemuramah stesen televisyen al-Jazeera,” kata Abdel Rahman. 

Beliau berkata di dalam temuramah itu, Issa bercakap mengenai kematian pegawai kanan tentera, Jeneral Abdo Khodr al-Tellawi di Homs dan menyatakan beliau mengetahui pihak yang mendalangi pembunuhannya. Beliau juga meminta pihak berkuasa menyiasat serta mendakwa pihak yang bertanggungjawab. 

Agensi berita rasmi SANA, melaporkan, kumpulan penjenayah bersenjata membunuh al-Tellawi, dua anak dan seorang anak saudaranya sebelum mencencang mayat mereka. 

Rejim Assad menyalahkan ‘kumpulan penjenayah bersenjata’ berikutan keganasan itu sejak tunjuk perasaan pro pembaharuan meletus di Syria pada pertengahan Mac. 
Keputusan terbaru kerajaan Assad bagaimanapun dikritik dan didakwa tidak memadai. 

Kumpulan hak asasi Amnesty International menyifatkan jaminan itu sebagai janji kosong dan menggesa Assad mengambil tindakan lebih berkesan menghalang pembunuhan penunjuk perasaan oleh pasukan keselamatan. – AFP

No comments: