Pages

Friday, February 25, 2011

Tipis temui mangsa gempa



PASUKAN menyelamat menggunakan jentolak bagi mencari mangsa gempa yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan di bandar Christchurch, semalam. - REUTERS


CHRISTCHURCH 24 Feb. - Harapan menemui lebih ramai mangsa gempa bumi di bandar raya ini yang terselamat semakin pudar apabila jumlah kematian dilaporkan hari ini meningkat kepada 98 orang, manakala 226 lagi dilaporkan hilang.

Menurut polis, dipercayai sebanyak 120 orang masih terperangkap di bawah runtuhan konkrit dan keluli di bangunan Televisyen Canterbury (CTV).

Berpuluh-puluh orang pelajar dari Jepun, Thailand, China dan negara Asia lain yang menuntut di sebuah sekolah bahasa Inggeris di dalam bangunan tersebut dipercayai turut tertimbus apabila sekolah mereka serta pejabat-pejabat lain runtuh akibat gempa bumi tersebut.

Perdana Menteri, John Key melahirkan kebimbangan serius kemungkinan ramai yang tidak berjaya diselamatkan dalam gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala Richter pada Selasa lalu.

"Kami takut jumlah kematian akan bertambah lebih banyak daripada apa yang kita semua takuti," ujar Key.

Tambahnya, berpuluh-puluh rakyat dari negara lain turut terlibat dalam bencana teruk ini.

Bantuan keselamatan setakat ini tertumpu di bangunan CTV dan beberapa kompleks pejabat utama di pusat bandar yang musnah dalam gempa itu.

Pasukan penyelamat dari negara yang selalu mengalami gempa seperti Jepun dan Amerika Syarikat (AS) turut membantu hari ini dengan anjing penghidu serta meletakkan mikrofon di dalam runtuhan bangunan bagi mengesan mereka yang terselamat.

Namun usaha mereka terhalang dengan kebarangkalian risiko beberapa bangunan di sekeliling yang akan turut roboh terutamanya sebuah hotel setinggi 26 tingkat.

Kali terakhir mangsa yang masih hidup ditemui ialah seorang wanita, Ann Bodkin yang ditemui tengah hari semalam dan seramai 2,500 orang dilaporkan cedera termasuk 164 orang cedera parah. - AP / Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: