Pages

Friday, February 25, 2011

Gaddafi arah serang balas penentang


2011/02/25

BENGHAZI: Anggota keselamatan yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, melancarkan serangan balas semalam, ketika kumpulan pemberontak terus meningkatkan ancaman terhadap kedudukan beliau dengan menawan beberapa bandar penting berhampiran ibu negara, Tripoli.

Kebimbangan terhadap kemungkinan perang saudara besar-besaran di negara Afrika Utara itu mendorong pelbagai negara termasuk Kanada dan China menyewa feri dan pesawat untuk membawa keluar rakyat mereka, walaupun masalah komunikasi berlaku dan keganasan berterusan.
Beribu-ribu warga asing memenuhi lapangan terbang Tripoli dengan harapan dapat meninggalkan Libya yang kacau bilau, manakala mereka yang berjaya keluar menyifatkan keadaan semakin buruk dengan makanan dan bekalan air kian berkurangan.
Pemimpin dunia mengecam serangan balas berdarah dilakukan Gaddafi bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang memecah-belahkan Libya, manakala Presiden Amerika Barack Obama ketika membuat ulasan pertamanya, mengecam tindakan itu sebagai ‘memalukan’ dan ‘tidak boleh diterima sama sekali’.

Obama juga mengarahkan pentadbirannya bersedia dengan pelbagai pilihan termasuk kemungkinan mengenakan sekatan yang boleh membekukan aset dan melarang pegawai Libya melakukan perjalanan ke Amerika.

Satu lagi cadangan yang semakin mendapat sokongan ialah meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan zon larangan terbang ke atas Libya bagi menghalang negara itu menggunakan pesawatnya untuk menyerang penunjuk perasaan.

Pesuruhjaya PBB Bagi Hak Asasi Manusia Ravi Pillay, berkata, jika laporan serangan itu disahkan, ‘perlindungan segera perlu diberikan kepada rakyat Libya’.
Pembangkang sudah menguasai bandar utama di timur termasuk Benghazi, manakala laporan bahawa bandar Misrata dan Zuara di Barat juga jatuh ke tangan mereka membawa pemberontak semakin hampir ke kawasan dikuasai Gaddafi.

Pasukan yang setia kepada Gaddafi, semalam menyerang militia anti kerajaan yang menguasai Misrata dan membunuh beberapa pemberontak dalam pertempuran berhampiran lapangan terbang bandaraya itu.

“Briged yang pro-Gaddafi berjaya menguasai lokasi terbabit, tetapi kami masih berusaha untuk mengusir mereka. Pertempuran masih berlaku sekarang,” kata saksi kepada Reuters.

Keganasan juga melanda bandar Az-Zawiyah 50 kilometer ke barat Tripoli. – Reuters
Berita Harian Online

No comments: