Pages

Sunday, February 13, 2011

Pasangan kekasih sedang khayal dicekup khalwat





2011/02/13

GUA MUSANG: Seorang gadis dipercayai pernah melahirkan anak luar nikah, dicekup kerana berkhalwat dengan pasangan bukan beragama Islam di sebuah hotel bajet di Jalan Besar di sini, malam kelmarin.

Lebih mengejutkan, pasangan yang diberkas itu juga menjadikan bilik di hotel bajet terbabit sebagai tempat melepaskan gian menagih dadah, ketika diserbu jam 11.30 malam kelmarin.
Pegawai Agama Jajahan, Anuar Hashim, berkata gadis itu ditahan bersama pasangannya iaitu seorang lelaki Cina berusia 29 tahun dan berasal dari Kampung Baru, di sini.
“Ketika diserbu, lelaki terbabit cuba melarikan diri namun gagal kerana pintu bilik dikepung manakala gadis terbabit sedang khayal dadah,” katanya di sini, semalam.

Serbuan itu dikendalikan Skuad Amru dan Jabatan Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) diketuai Iman Muda Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang, Hazuari Che Hamid, selepas menerima maklumat orang awam.

Anuar berkata, pasangan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk membuat laporan sebelum dibawa ke Pejabat Agama Jajahan bagi siasatan lanjut.

“Manakala lelaki bukan Islam itu dibebaskan kemudian,” katanya.
Anuar berkata, gadis itu akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang kerana berkhalwat dengan lelaki bukan agama Islam pada 5 April depan.
“Dia akan didakwa mengikut Seksyen 9(2), Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan No 2/85.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,’ katanya.
Berita Harian Online 

No comments: