Pages

Sunday, February 27, 2011

Loji minyak terbesar Iraq diserang




GAMBAR fail bertarikh 18 September 2003 merakamkan anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran di loji penapis minyak di bandar Beiji di sempadan Iraq-Turki akibat diletupkan oleh kumpulan bersenjata. - AP


SAMARRA 26 Feb. - Loji penapis minyak terbesar di Iraq diserang awal hari ini, menyebabkan dua jurutera terbunuh dan memaksa kemudahan itu ditutup apabila satu unit penapisnya mengalami kerosakan teruk.
Sekumpulan lelaki bersenjata menggempur loji penapis di Baiji, di wilayah Salaheddin, ke utara Baghdad pada kira-kira pukul 4.30 pagi ini (9.30 pagi waktu Malaysia), membunuh jurutera tersebut dan memasang bom di unit penapis.
"Kumpulan bersenjata memasuki loji penapis dan menembak mati dua juruteranya," kata timbalan ketua keselamatan loji, Abdul Qader al-Saab.
Penyerang kemudian meletupkan bom di sebuah unit penapis, unit Al-Shamal yang menghasilkan 25 peratus daripada keluaran loji itu, katanya.
Seluruh loji penapis terpaksa ditutup kerana unit itu rosak teruk.
Iraq buat masa ini mempunyai tiga loji penapis iaitu Baiji di utara, Basra di selatan dan Dora di selatan Baghdad.
Ketiga-tiga loji tersebut mengendalikan kapasiti 550,000 tong minyak mentah sehari, menghasilkan produk bertapis termasuk 12 juta liter petrol, 15 juta liter diesel, sembilan juta liter minyak pemanas dan sejumlah besar minyak bahan bakar untuk stesen jana kuasa.
Baiji sahaja mempunyai kapasiti keseluruhan untuk menapis 290,000 tong minyak mentah tetapi beroperasi pada tahap 70 peratus daripada kapasiti sebelum serangan itu. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: