Pages

Thursday, February 17, 2011

Doktor hadapi hukuman mati



Syarif Usman ketika dihadapkan ke Mahkamah Daerah Jakarta Selatan, November tahun lalu. – Agensi


JAKARTA 16 Feb. – Seorang doktor dan seorang pekerja perkhidmatan kiriman cepat dibicarakan di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan hari ini atas tuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan.
Dr. Syarif Usman dipercayai membiayai kegiatan pengganas manakala Abdul Haris dituduh menghantar wang untuk aktiviti tersebut, lapor tempointeraktif.com.
Pendakwa raya Mayasari berkata, Syarif menyalurkan 200 juta rupiah (RM70,000) dan sebuah kamera video Sony kepada guru agama, Abu Bakar Bashir (yang turut dibicarakan secara berasingan) menerusi Haris pada Februari tahun lepas.
Wang itu didakwa digunakan oleh Abu Bakar untuk membiayai kegiatan latihan pengganas di Aceh Besar, Aceh.
Jika didapati bersalah, Syarif seperti Abu Bakar boleh dikenakan hukuman mati.
Kedua-dua lelaki itu dijadual dibicarakan minggu lepas, tetapi kes itu ditangguhkan kerana pendakwa raya berkata, mereka belum bersedia.
Perbicaraan tersebut merupakan antara kes keganasan yang dikemukakan ke mahkamah Indonesia, negara yang dihuni majoriti penduduk Islam.
Isnin lalu, Abu Bakar menyifatkan tuduhan keganasan terbaru ke atasnya sebagai satu konspirasi, apabila perbicaraan kesnya kerana didakwa membiayai kumpulan militan ala al-Qaeda disambung semula.
Abu Bakar, 72, yang didakwa menjadi pengasas pertubuhan Jemaah Islamiah (JI) tersenyum dan melambaikan tangan ke arah penyokongnya yang melaungkan takbir setibanya dia di mahkamah di Jakarta Selatan.
“Saya faham bahawa pada dasarnya saya dituduh menjadi ketua sebuah kumpulan militan di Aceh.
“Dakwaan sedemikian telah diada-adakan dan hanyalah omong kosong,” katanya kepada panel hakim selepas mendengar tuduhan dibacakan kepadanya. – Agensi

No comments: