Pages

Sunday, January 9, 2011

Hotel mewah ala Burj Khalifa di China

Utusan Malaysia Online - Luar Negara



BANGUNAN tertinggi di dunia, Burj Khalifa di Dubai akan dijadikan model kepada pembinaan hotel tujuh bintang di Mentougou, Beijing. - Agensi


BEIJING 8 Jan. - Pihak berkuasa Beijing merancang untuk membina sebuah hotel tujuh bintang bermodelkan bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa di Dubai dalam satu projek bersama Arab Saudi yang bernilai AS$1.3 bilion (RM4.03 bilion).
Akhbar Beijing Morning Post yang memetik satu mesyuarat perwakilan melaporkan, hotel berkenaan akan dibina di daerah Mentougou, yang terletak kira-kira 30 kilometer dari ibu negara China.
Seorang pegawai daerah yang enggan dikenali mengesahkan projek tersebut dan kos yang diperlukan.
Beliau berkata, pihak Arab Saudi dijangka menanggung semua kos pembinaan itu.
Beliau bagaimanapun enggan memberikan maklumat lain seperti mengapa kawasan luar bandar yang masih belum dimajukan dipilih.
Akhbar tersebut berkata, bangunan itu akan direka mengikut bentuk Burj Khalifa setinggi 828 meter tetapi ia tidak menyatakan ketinggian struktur yang dirancang.
Klasifikasi tujuh bintang tidak diiktiraf pada peringkat antarabangsa kerana tiada badan rasmi yang menganugerahkan lebih daripada lima bintang tetapi terdapat sejumlah hotel mewah yang menggunakannya.
Antara hotel yang menggunakan klasifikasi tujuh bintang selain Burj Al Arab di Dubai ialah Pangu 7 Star Hotel, Beijing yang terletak berdekatan stadium semasa penganjuran Olimpik 2008.
Pengumuman projek tersebut dibuat ketika China cuba mengurangkan pembinaan bertaraf tinggi dan membina perumahan mampu milik ekoran perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat berikutan kenaikan harga hartanah. - AFP

No comments: