Pages

Monday, January 17, 2011

Fadilat azan dan kelebihan orang yang melaungkan azan



i) Keampunan Allah yang banyak, di mana keampunan itu digambarkan sejauh laungan suara yang dilaungkan ketika azan dan baginya pahala sama seperti pahala orang yang sembahyang bersamanya, seperti yang dijelaskan dalam hadis daripada Barra bin Azib, yang menyatakan bahawa Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah dan malaikatnya berselawat ke atas mereka yang berada di saf hadapan, manakala muazzin diampuni dosanya sepanjang suaranya, ucapannya dibenarkan oleh mereka yang mendengarnya, yang terdiri daripada benda basah dan kering dan dia akan memperoleh pahala sebanyak pahala mereka yang sembahyang bersamanya.
Seandainya manusia itu mengetahui kelebihan azan, juga melakukan sembahyang di saf awal, mereka akan berlumba-lumba berbuat demikian. Dijelaskan dalam hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda menyatakan: Sekiranya manusia itu tahu ganjaran yang ada pada azan dan berada di saf awal, tetapi tidak ada jalan lain untuk memperolehnya, kecuali dengan mengadakan undian nescaya mereka akan mengadakan undian.
ii) Iblis dan syaitan lari bertempiaran mendengar bacaan azan, berdasarkan hadis Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda: Apabila azan dilaungkan untuk sembahyang, syaitan lari terkentut-kentut lintang-pukang sehingga tidak mendengar suara azan dan apabila sempurna azan, dia datang hingga apabila dilaungkan iqamah untuk sembahyang dia lari lagi, sehinggalah sempurna iqamah dibaca, lalu dia datang, mengganggu dan menimbulkan rasa waswas dalam diri, membisikkan kepadanya: Ingatkan itu dan ini, sesuatu yang tidak terlintas sebelum itu, menyebabkan seseorang itu tidak sedar berapa rakaat dia sembahyang.
Kerana itu tidak seyogia seseorang itu keluar dari masjid ketika dilaungkan azan, supaya tabiat seseorang itu tidak menyerupai tabiat syaitan. Walaupun demikian tidak mengapa kerana uzur, kerana sesuatu hajat, tetapi seseorang itu hendaklah balik semula ke masjid.
Hadis daripada Said bin Al-Mussayyab, beliau berkata, dikatakan bahawa Rasulullah ada bersabda: Tidak seyogia seseorang itu keluar dari masjid, selepas an-nida,' kecuali dia hendak kembali semula ke masjid atau dia menjadi seorang munafik.
iii) Dengan azan dosa-dosa diampuni Allah dan akhirnya seseorang itu dimasukkan ke syurga berdasarkan hadis Aqabah bin Amir, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah bersabda: Tuhan kamu kagum terhadap orang yang memelihara kambing di atas kelompok bukit yang berazan dan menunaikan sembahyang. Allah berfirman: Lihatlah hamba-Ku ini, dia azan dan mendirikan sembahyang kerana takutkan Aku. Maka sesungguhnya Aku telah ampuni hamba-Ku ini dan Aku masukkan dia dalam syurga.
Azan selepas masuk waktu sembahyang adalah daripada amalan sunah. Azan disyariatkan untuk memberitahu waktu, kerana itu ia tidak disyariatkan untuk dilakukan sebelum masuk waktu, kecuali pada sembahyang subuh, iaitu azan awal untuk memberitahu orang yang sedang tidur.
Orang yang azan atau muazzin hendaklah Islam, baligh lagi berakal. Hanya dilakukan oleh kaum lelaki dan tidak mengurang atau menambah ayat-ayat azan yang telah disyariatkan. Azan adalah ibadah. Ibadah perlu dilakukan menurut apa yang telah disyariatkan. Untuk memperoleh kesempurnaan sembahyang, sunat-sunat azan hendaklah diikuti, iaitu azan hendaklah dilakukan dalam keadaan suci, bersih daripada hadas kecil dan besar dan dilakukan semata-mata kerana Allah.  Berdasarkan keterangan ini, ibu yang baru bersalin tidak boleh membacakan azan, biarpun untuk anak yang baru dilahirkan, kerana ibu berkenaan adalah keadaan berjunub. Perempuan tidak ahli untuk berazan. Azan sembahyang hendaklah dilakukan dalam keadaan berdiri dan menghadap kiblat. Sunat meletakkan tapak tangan kanan di telinga kanan dan tapak tangan kiri di telinga kiri atau memasukkan jari telunjuk dalam telinga kanan dan kiri menurut seperti yang dilakukan oleh Bilal. Bilal berkata: Maka aku masukkan jariku dalam telinga lalu aku azan- hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Hibban. Azan sembahyang hendaklah dilaungkan oleh orang yang bersuara baik lagi lantang kerana Rasulullah pernah bersabda kepada Abdullah bin Zaid agar mengajar azan kepada bilal kerana suara Bilal lebih lantang daripada suaranya.
Kaum wanita yang hendak sembahyang berjemaah tidak disunatkan azan. Suara tinggi wanita boleh membawa fitnah. Hadis daripada Ibn Umar menjelaskan: Kaum wanita tidak boleh azan juga iqamah. Sunat berselawat ke atas Nabi sebaik-baik sahaja azan tamat dilaungkan. Allah akan berselawat kepada orang yang berbuat demikian sepuluh selawat bagi setiap selawat yang dilafazkan. Bacaan iqamah sebaik-baik dibaca oleh orang yang azan. Demikianlah disebut dalam sebuah hadis daripada Ziad bin Harith as-Sadaiy, yang menyatakan bahawa dia pernah azan. Tidak lama selepas itu Bilal datang untuk iqamah. Baginda bersabda: Bahawasanya saudara Sada' (Ziad bin Harith) telah azan, sesiapa yang azan, dialah yang iqamah - Riwayat Abu Daud dan Tarmizi. Rasulullah menyatakan bahawa doa yang dipohon antara azan dan iqamah tidak akan ditolak oleh Allah - Riwayat Abu Daud dan Tarmizi. Sunat bagi makmum bangun untuk mendirikan sembahyang apabila muazzin membaca pada ayat qad qamati `s-salah. Demikianlah yang dijelaskan oleh Anas r.a, Ahmad Rahimu `Llah, juga oleh Abu Hanifah. Ibn Umar tidak berdiri kecuali setelah mendengar muazzin sempurna membaca kalimah-kalimah berkenaan. Menurut mazhab Asy-Syafie, seseorang itu tidak perlu bangun sehingga iqamah yang dibaca oleh muazzin sempurna dibaca.
Muazzin perlu mendapat izin atau persetujuan daripada imam sebelum iqamah, apatah lagi sekiranya iqamah itu dilakukan orang lain. Tidak seyogia seseorang itu masuk urusan iqamah sehinggalah dia mendapat izin daripada imam. Tidak menambah perkataan ``sayyidina'' contohnya ketika iqamah juga azan. Tidak terdapat bukti daripada ulama salaf daripada kitab-kitab hadis, juga daripada amalan sahabat, tabiin, juga daripada ulama fikah, pengikut-pengikutnya juga oleh khulafau `r-rasyidin. Menambah kalimah ini pada ibadah yang disyariatkan bukan merupakan amalan memuliakan Nabi. Setiap amalan mesti ada sandaran.
Dilarang seseorang itu keluar dari masjid ketika atau selepas azan. Hadis daripada Abu Hurairah menjelaskan bahawa dia telah melihat seorang lelaki keluar dari masjid selepas muazzin melaungkan azan. Baginda bersabda: Perbuatan ini sesungguhnya telah mengingkari Abu Al-Qasim s.a.w. - hadis ditakhrij oleh Muslim dalam sahihnya. Hukum iqamah sama seperti hukum azan. Terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan ketika iqamah, antaranya sunat mempercepat bacaan iqamah dengan menghimpunkan dua baris ayat iqamah dengan satu nafas, berdasarkan hadis Jabir yang menyatakan: Apabila azan, hendaklah engkau lambatkan dan apabila iqamah hendaklah engkau cepatkan. Jadikan jarak antara azan dan iqamah sekira-kira orang yang makan dapat menghabiskan makanannya.
Dalam hadis Abdullah bin Maghfal dijelaskan bahawa baginda bersabda: Tempoh antara dua azan ialah satu sembahyang. Menurut Abdul Aziz bin Abdullah Ibn Bazz r.a, iqamah tidak perlu cepat, sehinggalah imam memerintahkan supaya iqamah, di mana ia mengambil masa suku jam, satu per tiga jam atau seumpamanya mengikut keperluan. Sekiranya imam lambat datang, orang lain boleh menjadi imam sembahyang bersama orang lain. Berdasarkan keterangan ini, tukang azan tidak perlu iqamah cepat untuk mendirikan sembahyang kerana tempoh antara azan dan iqamah sebelum menunaikan sembahyang itu adalah jelas. Menurut pendapat ulama Asy-Syafie, sunat dilakukan iqamah di tempat yang lain daripada tempat azan dengan suara yang lebih rendah, perlahan daripada suara azan. Iqamah tidak boleh dilakukan sehinggalah imam memberi keizinan berdasarkan kepada amalan Bilal yang meminta izin baginda sebelum iqamah: Aku berkata kepada Nabi Muhammad, aku hendak melakukan iqamah. Baginda menjawab: Tukang azan lebih berhak dengan azan dan imam lebih berkuasa terhadap iqamah - riwayat Ibn Adiy.
Di luar keperluan sembahyang, sunat azan di sebelah telinga kanan bayi yang baru dilahirkan dan diiqamahkan di telinga sebelah kiri. Azan juga perlu dilakukan ketika berlaku kebakaran, waktu perang, berlaku ribut taufan, juga ketika iblis dan syaitan menjelmakan diri. Begitu juga azan pada telinga orang yang sedih, orang yang jatuh, orang yang sedang marah dalam keadaan panas baran atau ketika seseorang itu tidak sedarkan diri, menjadi liar kelakuannya atau ketika dirasuk iblis dan syaitan. Iblis akan lari jauh hasil daripada azan yang dilaungkan. Tidak disunatkan azan ketika mayat dimasukkan dalam kubur menurut pendapat yang muktamad di kalangan ulama mazhab Asy-Syafie.

No comments: