Pages

Friday, December 10, 2010

Seoul bekal topeng gas hadapi serangan





2010/12/10

PANGLIMA Angkatan Tentera Korea Selatan, Han Min-koo (kanan) semalam memeriksa pangkalan meriam yang dibedil Korea Utara di pulau Yeonpyeong 23 November lalu.
PANGLIMA Angkatan Tentera Korea Selatan, Han Min-koo (kanan) semalam memeriksa pangkalan meriam yang dibedil Korea Utara di pulau Yeonpyeong 23 November lalu.
Bimbang diserang senjata kimia oleh Pyongyang 

SEOUL: Korea Selatan berkata ia akan membekalkan topeng gas kepada penduduknya di pulau sempadan bagi digunakan untuk perlindungan jika Korea Utara melancarkan serangan menggunakan senjata kimia, ketika ketegangan masih memuncak selepas kejadian pengeboman bulan lalu.
Pegawai di Agensi Pengurusan Kecemasan Nasional, berkata ia akan membekalkan 1,300 topeng lagi kepada penduduk di lima pulau sempadan hadapan termasuk Yeonpyeong, tahun depan.


Pengeboman 23 November lalu oleh Korea Utara ke atas Yeonpyeong mengorbankan dua orang awam dan dua anggota tentera laut, memusnahkan 29 rumah dan mencetuskan krisis serantau. 

“Kami akan memastikan topeng gas diperoleh semua penduduk di lima pulau terbabit,” kata pegawai yang enggan namanya didedahkan kepada AFP, menambah 87 peratus sudah menerima topeng itu. 

Agensi itu juga merancang untuk memulakan perolehan tambahan 610,000 topeng gas dalam tempoh lima tahun bermula 2012 untuk memastikan semua anggota pertahanan awam berjumlah 3.93 juta orang memilikinya. 

Agensi itu juga mengkaji cara mengubah suai ribuan pusat perlindungan kecemasan, termasuk di stesen kereta api bawah tanah atau tempat letak kereta bawah tanah untuk melindungi pengguna daripada senjata kimia. 
Kementerian pertahanan Selatan berkata Korea Utara memiliki di antara 2,500 dan 5,000 tan ejen kimia. 

Bajet tahun depan yang diluluskan kelmarin memberi peruntukan tambahan 261 bilion won (RM719.63 juta) untuk meningkatkan keupayaan dan menambah anggota tentera. 

Tentera juga akan memasang lebih banyak radar anti-persenjataan, pelancar roket pelbagai dan senjata pemandu tepat ke atas pulau Laut Kuning, selepas Seoul berazam untuk membuat Pyongyang menanggung ‘harga yang mahal’ terhadap sebarang serangan akan datang. 

Pyongyang mempertahankan serangannya, menyatakan Seoul yang dianggapnya ‘boneka pencetus peperangan’ memprovokasi insiden untuk mencetuskan konflik lebih besar. 

Pyongyang mengulangi dakwaan ia hanya menentang latihan ketenteraan Korea Selatan. 

Yeonpyeong di bahagian selatan sempadan Laut Kuning dikenali Garisan Had Utara, yang ditanda pasukan keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selepas perang. 

Korea Utara tidak mengiktiraf garisan itu dan berkata ia sepatutnya lebih jauh ke selatan. Dalam satu laporan semalam, ia berkata Yeonpyeong terletak ‘jauh di dalam’ jajahan perairannya. – AFP 

No comments: