Pages

Thursday, December 2, 2010

Korea Utara mungkin serang lagi: Ketua perisik





2010/12/02

SEOUL: Ketua agensi perisikan Korea Selatan, Won Sei-hoon berkata Korea Utara kemungkinan besar melancarkan serangan lagi, seminggu selepas Pyongyang melepaskan bedilan meriam ke atas pulau Yeonpyeong, lapor agensi berita Yonhap. 

“Kemungkinan bagi Korea Utara melancarkan satu lagi serangan adalah amat besar,” kata beliau pada mesyuarat parlimen semalam.
Yonhap melaporkan, serangan dilakukan ketika perasaan tidak puas hati dalam negara semakin memuncak membabitkan pengganti pemimpin Korea Utara dan keadaan ekonominya yang semakin buruk.
Di BEIJING, Menteri Luar China, Yang Jiechi semalam menggesa semua pihak yang terbabit dengan krisis di semenanjung Korea agar mengelak sebarang tindakan yang akan ‘memburukkan lagi keadaan’, lapor agensi berita Xinhua. 

“Pihak terbabit perlu bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan melulu, sebaliknya berusaha membawa mereka ke meja rundingan,” katanya yang dipetik agensi itu. 

Sementara iti keadaan di semenanjung Korea terus tegang selepas serangan meriam ke atas pulau Yeonpyeong minggu lalu yang mengorbankan empat orang. 

China berdepan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat agar mengambil tindakan tegas menghalang Korea Utara daripada terus melancarkan serangan ke atas Korea Selatan. 
Beijing setakat ini masih enggan menyertai masyarakat antarabangsa yang mengkritik sekutunya, Pyongyang. 

Sebaliknya Ahad lalu, negara itu mencadangkan agar pertemuan perwakilan enam negara untuk mengadakan perbincangan tergempar mengenai pelucutan senjata nuklear Korea Utara pada awal Disember di Bejing. 

“China membuat keputusan berdasarkan kepentingan setiap kes dan tidak berhasrat melindungi mana-mana pihak,” katanya. 

Yang berkata perbincangan perlu diadakan kerana ia “akan dapat membantu mengurangkan ketegangan dan mewujudkan ruang untuk mengembalikan semula perwakilan enam negara ke meja rundingan”. 

Bagaimanapun, Jepun, Amerika dan Korea Selatan memberi sambutan dingin kepada gesaan itu. – Reuters/AFP

No comments: