Pages

Wednesday, December 8, 2010

Kapsul angkasa pertama swasta


Imej yang dikeluarkan oleh syarikat SpaceX merakamkan kapsul angkasa lepas The Dragon yang akan dilancarkan ke orbit esok. - AFP


WASHINGTON 7 Dis. - Sebuah syarikat di Amerika Syarikat (AS) akan melancarkan kapsul angkasanya ke ruang orbit selewat-lewatnya Khamis ini, yang pertama dilakukan oleh syarikat swasta.
Ia bertujuan menguji kapal komersial angkasa pada masa depan selepas Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) mengumumkan untuk menghentikan program komersialnya.
Kapal angkasa The Dragon itu, mempunyai tujuh tempat duduk dengan ruang kargo yang luas dan ia direka untuk memasuki ruang orbit sebelum 'dijatuhkan' ke Lautan Pasifik empat atau lima jam kemudian, kata syarikat berkenaan, SpaceX.
Kapsul angkasa berbentuk peluru yang mampu membawa bekalan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) itu dijangka dilancarkan ke angkasa lepas dari Cape Canaveral, Florida.
Pelancaran yang sepatutnya dibuat semalam itu terpaksa ditangguhkan selepas jurutera mengesan keretakan sebesar lapan sentimeter di ruang enjin roket Falcon 9, yang digunakan pada kapal angkasa The Dragon itu, kata NASA.
"SpaceX sedang menimbangkan beberapa pilihan termasuk membaiki kesan retakan itu atau membawa alat ganti baru dari California. Maklumat baru tentangnya akan diumumkan kemudian," kata NASA.
Presiden SpaceX, Gwynne Shotwell berkata, ia mungkin ditangguhkan hingga Khamis ini apabila beberapa keretakan dikesan.
Sebelum ini, tidak ada syarikat swasta yang berjaya melancarkan kapal angkasa dan ia merupakan satu operasi yang mempunyai risiko yang tinggi termasuk ketika memasuki orbit dengan kelajuan 27,360 kilometer sejam sebelum mendarat di laut menggunakan paracut.
Kapal angkasa milik syarikat Virgin Galactic yang dimiliki seorang jutawan, Richard Branson dilancarkan pada Oktober lalu tetapi ia tidak pernah memasuki ruang orbit.
Bulan lalu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan memberi lesen kepada SpaceX bagi membenarkannya memasuki ruang orbit Bumi. - AFP

No comments: