Pages

Wednesday, December 8, 2010

Argentina iktiraf negara Palestin

BUENOS AIRES: Kerajaan Argentina semalam memutuskan untuk mengiktiraf negara Palestin dengan sempadan sebelum Perang 1967.
Langkah itu adalah serupa seperti yang diumumkan negara jirannya, Brazil, baru-baru ini. Kementerian Luar Argentina berkata, Presiden Cristina Fernandez sudah memaklumkan keputusan itu kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

“Kerajaan Argentina berkongsi kepercayaan dengan rakannya dalam Mercosur, Brazil dan Uruguay bahawa sudah tiba masanya untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara bebas dan merdeka,” kata Menteri Luar, Hector Timerman kepada wartawan di Buenos Aires.

Kementerian itu berkata, pengiktirafan berkenaan adalah selaras dengan usaha Argentina untuk mempertahankan hak rakyat Palestin bagi membina sebuah negara merdeka serta hak Israel untuk hidup secara aman dengan negara jirannya dalam lingkungan sempadan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva sebelum ini menghantar surat kepada kerajaan Palestin untuk mengumumkan keputusan negara itu mengiktiraf negara Palestin berdasarkan sempadan sebelum 1967.

Menurut kerajaan Argentina, lebih 100 negara sudah mengiktiraf negara Palestin dengan sempadannya sebelum Israel menawan Tebing Barat pada Perang 1967.

Kementerian Luar negara itu juga berkata, pengiktirafan berkenaan adalah selaras dengan permintaan Mahmoud ketika melawat Argentina tahun lalu. - Reuters

No comments: