Pages

Tuesday, December 7, 2010

Didenda sebabkan Concorde terhempas




GAMBAR fail menunjukkan api pada sayap kiri pesawat Concorde Air France sebelum ia terhempas di Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris pada 25 Julai 2000.




PONTOISE, Perancis - Sebuah mahkamah memutuskan bahawa syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), Continental Airlines dan seorang mekaniknya didapati bersalah membunuh 113 orang dalam nahas pesawat supersonik Concorde yang terhempas di Lapangan Terbang Charles de Gaulle di sini.
Pesawat Air France menuju ke New York itu terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle pada 25 Julai 2000 mengorbankan 109 orang yang menaikinya, kebanyakannya warga Jerman dan empat orang di darat.
Mahkamah di bandar Ponoise di sini mengarahkan syarikat penerbangan Continental membayar denda AS$265,000 (RM833,716) manakala mekaniknya, John Taylor didenda sebanyak AS$2,650 (RM8,335).
Taylor juga dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan manakala semua tertuduh lain termasuk bekas penyelia Taylor yang kini sudah bersara, Stanley Ford dibebaskan daripada sebarang tuduhan.
Hakim mengesahkan hujah para penyiasat bahawa nahas tersebut berpunca daripada sekeping logam titanium milik pesawat DC-10 syarikat penerbangan Continental yang terjatuh di atas landasan.
Pesawat itu lebih awal berlepas dari pesawat Concorde.
Menurut siasatan lagi, satu tayar pesawat Concorde tersebut koyak apabila ia melanggar kepingan titanium itu.
Tayar itu meletup dan serpihannya mengenai enjin dan tangki minyak pesawat Concorde sehingga menyebabkannya terbakar sebelum ia terhempas. - AP

No comments: