Pages

Thursday, November 18, 2010

Tragedi kereta dirempuh treler


kereta Proton Iswara yang dinaiki enam beranak remuk selepas dirempuh treler dekat Slim River, Perak, semalam. - utusan/Sin Chew jit poh

TANJONG MALIM 17 Nov. - Sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini sudah pasti menyedihkan buat dua beradik apabila mereka kehilangan empat ahli keluarga sekali gus termasuk ibu dan bapa dalam tragedi kemalangan di Kilometer 377.6 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Slim River, awal hari ini.
Kemalangan berlaku apabila kereta dinaiki enam sekeluarga itu tiba- tiba dirempuh sebuah treler dari belakang yang gagal berhenti ketika kereta mereka dan kenderaan lain bergerak perlahan ke susur keluar Slim River.
Mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta, Shaiful Fadzilah Shahar, 36, isterinya Siti Suzana Mohd. Nor, 33, dan dua anak kembar pasangan itu, Fitri dan Fikri, berusia enam tahun.
Shaiful Fadzilah, Siti Suzana dan Fitri meninggal dunia dalam kejadian pukul 2 pagi itu akibat cedera parah di kepala manakala Fikri meninggal di Hospital Slim River (HSR).
Dua lagi anak pasangan itu yang mengalami kecederaan ialah Fatihah, 4, yang sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Firdaus, 8, di HSR.
Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Anuar Osman berkata, ketika kejadian, kesemua mangsa yang menaiki kereta Proton Iswara dalam perjalanan pulang dari Seremban untuk berhari raya di Lenggong.
Katanya, bagaimanapun semasa melalui jalan itu, kereta tersebut dirempuh treler dari belakang ketika hujan.
"Rempuhan itu menyebabkan kereta Shaiful Fadzilah merempuh sebuah lori di hadapannya. Treler itu turut merempuh sebuah teksi tetapi pemandunya hanya cedera ringan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Anuar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River dipanggil untuk mengeluarkan mangsa-mangsa dalam kereta yang remuk itu.
Menurut beliau, siasatan polis percaya treler itu dipandu laju dan gagal berhenti ketika kenderaan lain bergerak perlahan ke susur keluar Slim River.
Pemandu treler terlibat yang cedera ringan dirawat di Hospital Slim River.
"Polis sedang mengambil sampel darah pemandu itu untuk pemeriksaan lanjut," katanya.UTUSAN

No comments: