Pages

Thursday, November 18, 2010

Jemaah haji berjumlah 2.8 juta


JEMAAH haji melakukan tawaf di hadapan Kaabah di Masjidil Haram, Mekah, kelmarin. - AFP


MINA 17 Nov. - Jabatan Statistik dan Maklumat Awam Arab Saudi melaporkan hampir 2.8 juta jemaah mengerjakan haji musim ini, peningkatan 11.2 peratus berbanding 1.6 juta jemaah tahun lalu.
Menurut satu kenyataan yang dipetik agensi berita Saudi Press (SPA), seramai 1.8 juta jemaah datang dari luar negara, sementara kira-kira sejuta lagi merupakan jemaah tempatan.
Semalam, jemaah melontar jamrah dalam keadaan lancar sebelum ibadah korban dilaksanakan sempena Hari Raya Aidiladha yang disambut pada 10 Zulhijah setiap tahun.
Di bandar-bandar negara ini, ibadah korban dilaksanakan selepas solat Subuh yang menyaksikan kerja-kerja penyembelihan ternakan serta melapah daging boleh dilihat di tepi-tepi jalan.
Jutaan jemaah haji dari seluruh dunia akan terus melontar jamrah selama tiga hari sehingga Ahad ini.
Di Malaysia, India dan sebahagian Indonesia, sambutan Hari Raya Aidiladha dimulakan dengan solat sunat pagi ini, diikuti ibadah korban.
Di Pakistan, sambutan Hari Raya Aidiladha berlangsung sederhana semalam apabila harga ternakan yang naik lebih dua kali ganda akibat musim banjir lalu, menyukarkan penduduknya melaksanakan ibadah tersebut.
Di wilayah bergolak Kashmir, sambutan hari raya korban berlangsung dalam suasana kelam kabut apabila polis terpaksa melepaskan tembakan amaran ke udara untuk menyuraikan beratus-ratus penunjuk perasaan semasa solat sunat raya pagi ini.
Kebanyakan keluarga di wilayah itu hanya menyambut perayaan tersebut secara sederhana selepas perintah berkurung dikuatkuasakan selama berbulan-bulan yang menyaksikan pertempuran antara penunjuk perasaan dengan anggota tentera.
Umat Islam di Genting Gaza yang menderita akibat sekatan rejim Yahudi, turut menyambut Hari Raya Aidiladha semalam tanpa sebarang sambutan besar-besaran. - AGENSI

No comments: