Pages

Monday, November 22, 2010

Rakyat mahu William jadi raja



William dan Middleton (gambar kiri) yang baru mengumumkan pertunangan 16 November lalu, lebih disukai rakyat berbanding dengan Charles dan Camilla - REUTERS


LONDON 21 Nov. - Majoriti rakyat Britain mahu Putera William dan tunangnya, Kate Middleton menjadi raja dan permaisuri yang akan datang, dan bukan pewaris takhta sekarang, Putera Charles dan isterinya, Camilla.
Tiga tinjauan pendapat umum yang disiarkan hari ini menunjukkan gelombang sokongan padu terhadap William selepas anak lelaki sulung Charles dengan mendiang bekas isterinya, Putera Diana itu mengumumkan beliau dan Kate akan berkahwin pada tahun depan.
Akhbar News of the Worldmenyiarkan hasil tinjauan ICM yang mendapati 55 peratus rakyat mahu William, 28, memintas bapanya, Charles, 62, untuk terus menaiki takhta apabila neneknya, Ratu Elizabeth II meninggal dunia.
Tinjauan terhadap 2,015 orang itu juga mendapati, 64 peratus responden percaya William dan bakal isterinya adalah pasangan diraja yang lebih baik untuk menjamin masa depan monarki Britain, berbanding hanya 19 peratus yang beranggapan demikian mengenai Charles dan Camilla.
Akhbar tersebut menyiarkan gambar olok-olok menunjukkan William dan Kate memakai mahkota dan menduduki takhta.
Dalam tinjauan berasingan Sunday Times-You Gov, 44 peratus responden berpendapat Charles patut memberi laluan kepada William untuk menjadi raja manakala 37 peratus mengatakan sebaliknya.
Sebanyak 56 peratus responden menganggap William akan menjadi raja yang lebih baik berbanding Charles yang hanya mendapat sokongan 15 peratus responden.
Tinjauan OnePoll untuk akhbar People pula mendapati 49 peratus daripada 2,000 responden ingin melihat William dan Kate menaiki takhta berbanding hanya 16 peratus yang memilih Charles dan Camilla.
Semua tinjauan itu juga menunjukkan rakyat Britain rata-rata belum dapat menerima kenyataan yang dibuat oleh Charles pada satu wawancara di televisyen kelmarin.
Dalam kenyataan itu, Charles buat kali pertama mengatakan bahawa Camilla yang dikahwininya pada 2005, boleh menjadi permaisuri suatu hari nanti. - AFP

No comments: