Pages

Thursday, November 11, 2010

Gunung berapi Bulusan meletus dua kali


Petani sedang menuai padi di kaki gunung berapi Bulusan di wilayah Sorsogon, tengah Filipina. Gunung itu telah mengeluarkan dua kali letusan dan pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran tahap satu kepada penerbangan dan penduduk yang tinggal di sekitar gunung tersebut. - REUTERS


MANILA 10 Nov. - Pihak berkuasa Filipina hari ini mengeluarkan amaran penerbangan dan peringatan kepada penduduk yang tinggal berhampiran terhadap kemungkinan letusan gunung berapi Bulusan, yang ketika ini sedang aktif mengeluarkan debu.
Institut Gunung Berapi dan Seismologi Filipina berkata, gunung berapi Bulusan telah mengeluarkan dua letusan dan menghamburkan abu setinggi 1.565 meter semalam, menyebabkan masyarakat sekitarnya bermandikan debu.
Pihak berkuasa penerbangan perlu menasihati juruterbang bagi mengelak melakukan penerbangan berhampiran puncak gunung berapi itu, yang sedang mengeluarkan debu dan serpihan volkanik akibat letusan, yang boleh menimbulkan bahaya," katanya.
Gunung berapi Bulusan 250 kilometer di tenggara ibu negara Manila di pulau utama Luzon, adalah salah satu daripada 23 gunung berapi aktif di Filipina.
Penduduk yang tinggal berhampiran sungai dan lembah-lembah di daerah itu diberi amaran bahawa banjir lumpur debu gunung berapi tersebut boleh tercetus jika berlaku hujan lebat.
Kerajaan masih tidak mengeluarkan perintah pemindahan, namun berkata 75,000 penduduk bandar berhampiran iaitu Irosin dan Juban menghadapi risiko sekiranya gunung tersebut terus meletus.
Gunung berapi Bulusan telah meletus sebanyak 16 kali dalam sejarahnya dan kali terakhir ia meletus ialah pada 2006. Kini, ia sekali lagi meletus sejak 6 November lalu. - AFP

No comments: