Pages

Tuesday, October 5, 2010

Yahudi bakar lagi masjid Tebing Barat





2010/10/05

Berlaku ketika rundingan damai bermasalah

RAMALLAH: Pemimpin Palestin menuduh pendatang Yahudi di Tebing Barat, membakar sebuah masjid ketika Amerika Syarikat berusaha menyelamatkan rundingan damai yang terhenti akibat pertikaian mengenai kerja pembinaan kediaman penceroboh itu. 

Sebanyak 15 naskhah kitab suci al-Quran dan permaidani masjid terbakar, kata Ali Thawabti, seorang pegawai perbandaran di kawasan perkampungan Beit Fajjar.
Kejadian keempat sejak Disember lalu apabila sebuah masjid di Tebing Barat dirosakkan dalam serangan dilakukan penduduk Yahudi.
“Apabila orang ramai nampak api marak, mereka berkejar memadamkannya. Pendatang Yahudi memasuki kereta Peugeot berwarna putih dan cabut lari,” kata Ali.

Tentera Israel yang berkuasa di Tebing Barat sejak 1967, berkata ia sedang menyiasat kejadian di Beit Fajjar, berhampiran bandar Baitulaham. 

“Ini kejadian serius dan kami berhasrat mencari mereka yang bertanggungjawab dengan segera,” kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Avital Liebowitz.

Mei lalu, penduduk Palestin menuduh pendatang membakar sebuah masjid di perkampungan Libban al-Sharqia di Tebing Barat, berhampiran bandar Nablus. Pihak berkuasa Israel berkata, besar kemungkinan ia berpunca daripada kerosakan elektrik ketika kerja pembinaan.

April lalu, pendatang Yahudi dituduh membuat grafiti di dinding sebuah masjid di Hawara, dan Disember lalu, permaidani dan al-Quran dibakar di Yasuf. Tiada dakwaan dibuat berhubung kejadian itu.

Kini terdapat hampir setengah juta pendatang Yahudi di Tebing Barat dan kawasan Baiulmaqdis yang ditawan Israel daripada Jordan dalam peperangan Asia Barat 1967.

Sabtu lalu, barisan pemimpin Palestin berkata rundingan damai dengan Israel, yang bermula pada 2 September lalu, tidak akan diteruskan sehingga ia menghentikan sepenuhnya kerja pembinaan penempatan Yahudi.

Tempoh pembekuan pembinaan oleh pendatang Israel tamat seminggu lalu dan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu tidak mengendahkan tekanan Amerika dan antarabangsa supaya menghentikan kerja pembinaan.

Pertubuhan yang bertanggungjawab memantau hak asasi manusia di Tebing Barat berkata serangan pendatang terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka dijangka meningkat apabila penceroboh itu menganggap kawasan penempatan mereka terancam. – Reuters

No comments: