Pages

Friday, October 22, 2010

Wanita muda jadi ketua polis di wilayah penyeludup dadah


Marison Valles garcia sedang bercakap melalui telefon semasa bertugas di balai polis di bandar Praxedis G. Guerrero di utara sempadan mexico, kelmarin. – AFP


PRAXEDIS G. GUERRERO, Mexico 21 Okt. - Seorang wanita yang belum menghabiskan pengajiannya dalam bidang jenayah dilantik sebagai ketua polis baru di wilayah di sempadan Amerika Syarikat (AS), kawasan tumpuan penyeludup dadah yang telah membunuh beberapa pegawai awam dan mengancam keselamatan penduduk setempat.
Marison Valles Garcia, 20, mengangkat sumpah jawatan semalam bagi menguatkuasa undang-undang dan ketenteraman awam di bandar yang mempunyai penduduk kira-kira 8,500 orang yang telah bertukar daripada kawasan pertanian yang tenang kepada negeri tanpa undang-undang dan tidak bertuan.
Penyandang jawatan tersebut sebelum ini telah ditembak mati pada Julai 2009 dan jawatan tersebut sukar diisi dan tiada pengganti yang kekal lebih dari setahun.
Dua kumpulan penyeludup dadah yang bersaing, Juarez dan Sinaloa telah bertempur untuk mengawal sebatang lebuh raya utama di wilayah ini, sebuah laluan perdagangan dadah yang menguntungkan di sempadan Texas.
Valles Garcia yang bertubuh kecil itu hanya mempunyai pengalaman dalam bidang polis ketika bertugas sebagai setiausaha jabatan.
Beliau mahu 13 orang pegawainya dilatih sebagai polis khas.
Valles Garcia turut merancang untuk mengupah lebih ramai wanita dan menghantar mereka ke kawasan penduduk untuk bercakap dengan penduduk, menyemai nilai-nilai sivik dan mengesan jenayah sebelum ia berlaku.
"Orang saya akan pergi dari rumah ke rumah bagi mengesan penjenayah dan jika tidak ada, pihak kami cuba mengajar nilai-nilai murni di kalangan keluarga terlibat.
"Projek ini ... mudah, berdasarkan nilai-nilai, prinsip-prinsip dan pencegahan jenayah dari rumah ke rumah," katanya ketika mula menjalankan tugas secara rasmi semalam. - AP

No comments: