Pages

Thursday, October 21, 2010

Rozaliya lari ke Kuala Lumpur


Oleh Abdul Razak Raaff dan Irwan Shafrizan Ismail
bhnews@bharian.com.my
2010/10/21

Mohd Helmi Mohd Noor (kiri) dan  Rozaliya Mat Lazim.
Mohd Helmi Mohd Noor (kiri) dan Rozaliya Mat Lazim.
Gadis hilang bekerja di kedai serbaneka, enggan teruskan perkahwinan 

KUANTAN: Kehilangan Rozaliya Mat Lazim, 20, yang bakal berkahwin pada 12 November ini sejak seminggu lalu, terjawab apabila beliau melarikan diri dan bekerja di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur kerana enggan meneruskan perkahwinan dengan tunangnya, Mohd Helmi Mohd Noor, 24.Gadis yang dikatakan hilang ketika membeli-belah kelengkapan perkahwinan di sebuah pusat beli-belah di sini bersama Mohd Helmi, Rabu lalu, bekerja di kedai serbaneka di ibu kota sejak dua hari lalu.Rozaliya bagaimanapun dikesan jam 12.30 tengah hari semalam, selepas pengurus kedai serbaneka itu yang terlihat gambar Rozaliya dalam akhbar menghubungi polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini. 

Bapanya, Mat Lazim Mat Ismail, 52, berkata anaknya memaklumkan perubahan sikap Mohd Helmi menjadi pemarah dan suka mengongkong membuatkan Rozaliya tawar hati dan memutuskan melarikan diri bagi mengelak perkahwinan diteruskan. 

Beliau berkata, berikutan tindakan yang diambil anaknya itu, keluarganya bersetuju membatalkan perkahwinan dirancang sebelum ini dan perkara berkenaan akan dibincangkan dengan lebih lanjut antara dua pihak. 

"Mereka bertunang pada April tahun lalu selepas saling mengenali empat bulan. 
"Rozaliya tawar hati untuk mengahwini Mohd Helmi lalu bertindak melarikan diri selepas takut dan tidak tahu bagaimana mahu memaklumkannya kepada keluarga," katanya ketika ditemui pada sidang media yang diatur di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, malam tadi. 

Hadir sama ialah Mohd Helmi dan beberapa ahli keluarga Rozaliya, manakala ibu Rozaliya, Sabariah Mansor, 42, tidak datang kerana kakinya dipatuk ular, Isnin lalu. 

Rozaliya yang kelihatan sugul dan hanya menundukkan muka enggan ditemuramah dan hanya mendiamkan diri sepanjang sidang media berlangsung. 

Terdahulu pada hari kejadian, mangsa dikatakan keluar dari rumah keluarganya dengan berpakaian blaus berwarna hitam dan seluar jeans gelap bersama Mohd Helmi kira-kira jam 11 pagi. 

Selepas membeli-belah di sebuah kedai peralatan pengantin di sini, Mohd Helmi dikatakan terpaksa pulang ke pejabatnya di Bandar Cheneh Baru kerana terpaksa menyelesaikan satu urusan penting dan berjanji untuk menemui Rozaliya semula pada kira-kira jam 3 petang pada hari yang sama. 

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata Rozaliya pergi ke Kuala Lumpur sehelai sepinggang pada hari dia dilaporkan hilang. 

“Sebaik menerima maklumat, sekumpulan anggota polis bergegas ke kedai terbabit dan membawa pulang gadis berkenaan dan tiba di balai polis kira-kira jam 8 malam sebelum kita menghubungi keluarganya bagi memaklumkan penemuannya,” katanya. 

Sementara itu ketika ditanya mengenai pembatalan perkahwinannya, Mohd Helmi berkata, beliau menyerah perkara itu kepada kedua-dua pihak keluarga untuk membincangkannya. 

"Saya maafkan dia (Rozaliya) atas apa yang berlaku. Saya memang sayangkan dan suka kepadanya, tapi selepas perkara ini saya tidak tahu nak gambarkan macam mana perasaan saya," katanya yang bersyukur Rozaliya ditemui semula dengan keadaan selamat. 

No comments: