Pages

Tuesday, October 19, 2010

Raja Maghribi tolak usul Israel




2010/10/19

WANITA Palestin menunjukkan gambar keluarga mereka yang ditahan di penjara Israel dalam protes di hadapan pejabat Pertubuhan Palang Merah di Bandar Raya Gaza semalam serta menuntut dibebaskan.
WANITA Palestin menunjukkan gambar keluarga mereka yang ditahan di penjara Israel dalam protes di hadapan pejabat Pertubuhan Palang Merah di Bandar Raya Gaza semalam serta menuntut dibebaskan.
Shimon Peres mohon temui Raja Mohammed VI akibat rundingan buntu 

BAITULMAQDIS: Raja Maghribi menolak permintaan Presiden Israel untuk mengadakan perjumpaan dengannya berikutan kebuntuan dalam rundingan damai di Asia Barat.Presiden Shimon Peres memohon untuk menemui Raja Mohammed VI ketika mereka menghadiri persidangan antarabangsa di Marrakech minggu depan. Namun raja berkenaan berkata masa tidak sesuai bagi pertemuan berkenaan dan merujuk kebuntuan rundingan itu sebagai alasan, kata pembantunya.Peres, pemenang hadiah keamanan Nobel yang diminta berucap pada Forum Ekonomi Dunia mengenai Asia Barat dan Afrika Utara minggu depan, memutuskan untuk tidak hadir kerana merasa tersinggung, kata pembantunya. 

Israel dan Maghribi tidak mempunyai hubungan diplomatik tetapi pegawai mereka kadang kala mengadakan pertemuan dan rakyat Israel yang mempunyai keluarga di Maghribi sering mengunjungi negara berkenaan. 

Rundingan damai Israel – Palestin, yang dilancarkan awal bulan lalu di Washington, terbantut berikutan keengganan Israel untuk menyambung sekatan ke atas kerja pembinaan di kawasan pendudukan Yahudi di Tebing Barat. 

Pemimpin Palestin tidak mahu menyambung rundingan jika Israel meneruskan pembinaan di tanah diduduki yang dituntut sebagai kawasan yang bakal menjadi negara Palestin. Mereka memberi tempoh sehingga awal November kepada Amerika Syarikat, selepas pilihan raya pertengahan penggal Amerika, untuk cuba menyelesaikan pertikaian itu.
Presiden Barack Obama berharap dapat memeterai perjanjian damai dalam tempoh setahun, tetapi ia sebaliknya menemui kebuntuan, menyebabkan mereka saling menuding jari antara satu sama lain selepas penyambungan rundingan di Rumah Putih awal September lalu. 

Di RAMALLAH, Presiden Palestin, Mahmud Abbas mempertahankan keputusannya tidak menyambung rundingan damai sehingga Israel menghentikan kegiatan pendudukan, dan menarik perhatian bahawa masyarakat antarabangsa sebulat suara mahukan pembekuan. 

“Apabila Obama memperoleh kuasa, beliau mengumumkan bahawa kegiatan pendudukan mesti dihentikan,” kata Abbas. “Jika Amerika menyatakannya, Eropah menyatakannya dan seluruh dunia menyatakannya, apakah anda mahu saya tidak menyatakannya?” 

Sejak bermulanya rundingan, Abbas berkata beliau menghabiskan kira-kira 25 jam bercakap secara terus dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan mereka bercakap secara bebas. 

Abbas berkata apabila beliau merayu kepada Netanyahu agar dihentikan kerja pembinaan di kawasan pendudukan, pemimpin Israel itu memberitahunya kerajaannya akan jatuh. Netanyahu mengetuai gabungan kerajaan tengah-kanan dengan beberapa parti propendudukan. – AP http://www.bharian.com.my

No comments: