Pages

Wednesday, October 6, 2010

Lumpur toksik landa tiga daerah Hungary




BEBERAPA orang penduduk membersihkan lumpur toksik di kampung Devecser, Hungary semalam.


BUDAPEST - Pihak berkuasa semalam mengisytiharkan darurat di tiga buah daerah yang dicemari tumpahan lumpur toksik, kata Kementerian Dalam Negeri Hungary.
Setakat ini, tiga orang terbunuh manakala 120 yang lain cedera dalam tragedi berkenaan.
Kementerian itu memberitahu, darurat dikuatkuasakan di daerah, Veszprem, Gyor-Moson-Sopron dan Vas, barat Hungary selepas sebuah takungan sisa sebuah loji aluminium pecah dan mengeluarkan lumpur merah yang membanjiri perkampungan Devecser dan Kolontar serta mengancam lima kampung lain.
Datuk Bandar Kolontar, Karoly Tily berkata, antara yang maut termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun manakala jumlah kecederaan meningkat kepada 120 orang.
Sementara itu, Setiausaha Kementerian Alam Sekitar Hungary, Zoltan Illes, menyifatkan tragedi tersebut sebagai kemalangan kimia terburuk pernah melanda Hungary.
Sisa toksik merah itu terhasil daripada pengeluaran aluminium dan mengandungi bahan-bahan berbahaya seperti plumbum serta bahan menghakis.
Sebanyak tiga tan sisa itu dihasilkan dalam pengeluaran setiap satu tan aluminium. - AFP

No comments: