Pages

Sunday, October 3, 2010

Hotel terpencil

SEBUAH motel di dalam air di Key Largo, Florida, Amerika Syarikat disenaraikan antara destinasi percutian eksklusif paling terpencil yang menenangkan.

Rumah Tumpangan Dalam Air Jules disenaraikan bersama sembilan lagi hotel atau pusat penginapan sebagai destinasi paling terpencil oleh majalah Forbes Amerika Syarikat (AS).

Walaupun pusat penginapan itu di dalam air, ia boleh berbangga kerana mampu menawarkan keselesaan kepada tetamu yang menginap di situ apabila pengunjung berpeluang melihat ikan berenang, selain menikmati panorama kehidupan pelbagai haiwan laut lain menerusi tingkap kaca.

Hotel penginapan paling terpencil yang turut disenaraikan majalah Forbes termasuk Gua Kokopelli di New Mexico yang dibina 70 kaki di bawah tanah berhampiran Tugu Kebangsaan Mesa Verde.

Pengunjung yang berhasrat ke Gua Kokopelli perlu menuruni anak tangga untuk sampai di pintu masuknya.

Hotel yang dibina antara tebing tinggi daripada struktur batu pasir berusia 65 juta tahun itu menyajikan pemandangan indah serta menjanjikan keadaan persekitaran tenang dan tenteram.
Bagi yang benar-benar mahukan ketenteraman dan mengelak sebarang hiruk-pikuk gangguan, rumah tumpangan musim sejuk di tepi tasik di Alaska bersesuaian sebagai destinasi percutian terpencil yang aman damai.

Rumah tumpangan yang dibina di laluan bersejarah Iditarod di Alaska itu menawarkan pengunjung dengan pemandangan alam semula jadi yang mengagumkan.

Pengunjung juga akan menikmati kehidupan yang sangat terasing dan sunyi sepanjang berada di situ. — Agensi


Senarai 10 hotel terpencil
1. Rumah Tumpangan Bloomfield, Cairns, Australia
2. Rumah Tumpangan Winterlake, Alaska, AS
3. Gua Kokopelli, New Mexico, AS
4. Rumah Tumpangan Dalam Air, Florida, AS
5. Pusat Penginapan Andean, Peru
6. Rumah Pantai Manafaru, Maldives
7. Pusat Peranginan Kepulauan Desroches, Seychelles
8. Hotel Arctic, Greenland
9. Pusat Peranginan Petit St Vincent , St Vincent dan Grenadines
10. Hotel Garvault Hotel, Sutherland, Scotland

No comments: