Pages

Thursday, October 7, 2010

Arab Saudi perketat syarat haji, umrah





2010/10/07

RIYADH: Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengeluarkan peraturan kesihatan kepada jemaah haji dan umrah yang perlu dipatuhi sebelum dibenarkan mendapat visa mulai tahun ini. 

“Peraturan bagi haji hanya memfokuskan kepada demam kuning, meningitis dan polio sebagai tambahan kepada vaksin bagi mencegah selesema bermusim,” kata Pengarah Perhubungan Media di Kementerian Kesihatan, Dr Khalid Al Mirghalani, dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, seseorang jemaah dari negara yang terjejas akibat demam kuning perlu menyerahkan sijil vaksin yang sah, selaras dengan Peraturan Kesihatan Antarabangsa.
Sijil berkenaan perlu menyebut bahawa pemegangnya sudah menerima vaksin demam kuning 10 hari sebelum ketibaan atau tidak lebih 10 tahun lalu. 

Pesawat, kapal dan pengangkutan lain yang datang dari negara terjejas dengan demam kuning juga dikehendaki menyerahkan sijil sah menyebut bahawa pencegahan serangga (nyamuk) dilakukan di dalam kenderaan mereka mengikut Peraturan Kesihatan Antarabangsa. 

Kenyataan itu juga menyebut bahawa jemaah perlu dimaklumkan bahawa mereka perlu membawa sijil vaksin ACYW135 bagi meningitis 10 hari sebelum ke Arab Saudi dan tidak lebih dari tiga tahun lalu. 

Peraturan ini turut membabitkan pekerja bermusim dan pengunjung lain ke Arab Saudi dari negara asing. Pihak berkuasa kesihatan di negara lain juga perlu memastikan kanak-kanak (dua tahun dan ke atas) serta orang dewasa diberikan vaksin ACYW135. – Agensi

No comments: