Pages

Wednesday, September 22, 2010

USM realisasi Universiti Albukhary



Lakaran artis Kompleks Universiti Antarabangsa Albukhary bercirikan reka bentuk Asia Timur yang bakal dibina di Alor Setar.


PULAU PINANG 21 Sept. - Universiti Sains Malaysia (USM) akan membantu proses penubuhan Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), iaitu satu-satunya universiti swasta yang dibangunkan khusus bagi membantu golongan bawahan mendapat akses pendidikan tinggi.
Naib Canselornya, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, USM buat masa ini terlibat dengan pembangunan kurikulum dan latihan staf bagi membolehkan tiga buah pusat pengajian terawal diwujudkan di AIU.
''Misi USM dan AIU mempunyai kesamaan iaitu kita sama-sama ingin membantu masyarakat terkebawah mendapat peluang melanjutkan pengajian.
"Sebagai sebuah universiti 'premier' sememangnya kita bertanggungjawab membantu penubuhan universiti baru.
''Justeru, USM amat bersedia untuk menghulurkan sebarang bentuk bantuan yang diperlukan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara USM dan AIU di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Ahli Lembaga Gabenor AIU, Datuk Dr. Sharom Ahmat menjelaskan, AIU dijangka beroperasi November ini dengan pengambilan pertama seramai 100 pelajar dari 30 negara.
Menurutnya, ia melibatkan tiga jurusan pengajian iaitu Perniagaan dan Pengurusan, Teknologi Maklumat serta Sains Kemasyarakatan.
Tambah beliau, AIU menyasarkan pengambilan 3,000 pelajar dalam tempoh lima tahun dengan 70 peratus pelajarnya dari luar negara.
''AIU akan memberikan bantuan sepenuhnya kepada pelajar tidak berkemampuan untuk membolehkan mereka memperolehi segulung ijazah.
"Kita mahu mereka ini kelak memperjuangkan aspek-aspek kemanusiaan dan kesejagatan," ujarnya.
Beliau memberitahu, pihaknya juga sedang meneliti beberapa tokoh untuk mengisi jawatan pengurusan tertinggi universiti berkenaan.

No comments: