Pages

Sunday, September 19, 2010

PBB seru RM6.4 bilion bantu Pakistan


MANGSA banjir Pakistan menunjukkan kad pengenalan masing-masing ketika berebut mendapatkan wang bantuan kerajaan di sebuah pusat pemindahan sementara di Karachi, semalam. - AP


NEW YORK 18 Sept. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menyeru negara-negara anggota menyumbang AS$2 bilion (RM6.4 bilion) bagi membantu Pakistan pulih daripada banjir besar yang menyebabkan jutaan mangsa hilang tempat tinggal, rayuan bantuan terbesar dalam sejarah PBB.
Menurut Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB dalam satu kenyataan, rayuan bantuan sebanyak AS$460 juta (RM1.5 bilion) dilancarkan 11 Ogos lalu.
Kenyataan sama menyatakan, jumlah itu diperlukan untuk menampung sehingga 14 juta mangsa banjir dalam tempoh 12 bulan akan datang.
"Kita harus jalankan tugas kita. Kita tidak boleh hanya memerhati dan melihat penderitaan dalam skala bencana seumpama ini," kata Setiausaha Rendah Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, Valerie Amos.
Beliau memberitahu pemberita bahawa 80 peratus daripada AS$460 juta (RM1.5 bilion) bantuan kecemasan yang diminta PBB untuk Pakistan telah pun diterima.
OCHA menyatakan, rayuan yang diteliti semula dari 192 negara anggota PBB itu meliputi keperluan kemanusiaan dan pemulihan untuk Pakistan, termasuk projek-projek pertanian, pemulihan masyarakat, pendidikan, kesihatan dan tempat tinggal.
Rayuan bantuan terbesar yang diminta PBB sebelum ini adalah sebanyak AS$1.5 bilion (RM4.8 bilion) untuk Haiti selepas satu gempa bumi kuat menggegar negara Caribbean itu pada Januari lalu.
Dalam perkembangan berasingan, India hari ini memberitahu, negaranya menyumbang sebanyak AS$20 juta (RM64 juta) kepada PBB untuk digunakan dalam usaha membantu Pakistan.
Bulan lalu, India menyumbang AS$5 juta (RM16 juta) bagi usaha bantuan sama.
Pakistan selama berhari-hari enggan menerima sumbangan tersebut sebelum bersetuju menerimanya melalui PBB. - Reuters

No comments: