Pages

Monday, September 20, 2010

Lelaki kudung berjaya rentas Selat Inggeris


Gambar yang dikeluarkan oleh Jeremy Croizon, anak lelaki Philippe Croizon merakamkan ayahnya membuat persiapan akhir sebelum memulakan renangan bagi merentas Selat Inggeris dari pantai Folkestone di Britain kelmarin. Croizon berjaya merentasi selat itu dan mendarat di pantai Wissant di Perancis. - AFP


LILLE Perancis 19 Sept. - Seorang lelaki Perancis yang kudung kedua-dua belah kaki dan tangannya akibat kejutan elektrik, berjaya berenang merentasi Selat Inggeris, semalam.
Philippe Croizon, 42, yang melakukan persiapan selama dua tahun bagi cabaran itu, berenang dari Folkestone, selatan England pada kira-kira pukul 8 pagi semalam (2 pagi semalam waktu Malaysia) dan tiba di pantai Perancis berhampiran Wissant pada kira-kira pukul 9.30 malam waktu tempatan.
Dia berenang dengan bantuan kaki palsu berbentuk sirip yang direka khas.
"Saya berjaya melakukannya. Ini satu kerja gila!," kata Croizon kepada radio France Info sambil menyatakan bahawa dia berharap dapat menjadi simbol 'mengatasi kemampuan seseorang'.
Pasukannya berkata, lelaki itu berjaya mengekalkan kelajuan berenang dalam cuaca bagus dan dia turut diiringi ikan lumba-lumba di sebahagian daripada usahanya merentasi Selat Inggeris.
Croizon berenang pada kelajuan tiga kilometer sejam, agak perlahan berbanding antara empat hingga lima kilometer sejam yang boleh dicatat atlet renang normal.
Pada 1994, pekerja logam itu terkena renjatan elektrik 20,000 volt ketika cuba mengalihkan aerial televisyen dari sebuah bumbung rumah apabila aliran elektrik dari sebuah talian kuasa berhampiran secara tiba-tiba mengenainya.
Doktor terpaksa memotong kedua- dua kaki dan tangannya.
Croizon terpanggil untuk berenang merentasi Selat Inggeris apabila menonton satu dokumentari televisyen tentang seorang perenang yang berjaya menyeberangi selat tersebut semasa menjalani rawatan di hospital.
Bapa kepada dua orang anak itu berkata, dia mahu menamatkan cabaran itu untuk dirinya, keluarganya serta semua rakan senasibnya, yang kehilangan satu nikmat hidup. - AFP

No comments: