Pages

Monday, September 20, 2010

Filem Facebook sertai tayangan perdana


Mark Zuckerberg


SAN FRANCISCO 19 Sept. - Janji-janji elitisme, individu yang pakar dalam teknologi, pengkhianatan dan tamak, merupakan antara babak yang dapat disaksikan dalam filem The Social Network yang akan ditayangkan pada 1 Oktober ini, sebuah filem yang mengisahkan tentang 'kelahiran' jaringan sosial popular, Facebook.
Facebook dan pengasasnya, Mark Zuckerberg, tidak menyetujui penerbitan filem tersebut yang diadaptasi daripada sebuah buku bertajuk The Accidental Billionaires.
Filem tersebut diarahkan David Fincher, yang pernah menerima pencalonan Oscar menerusi filem 'The Curious Case of Benjamin Button'.
Menurut satu draf yang boleh didapati di Internet, skrip filem Facebook yang ditulis Aaron Sorkin, pencipta siri televisyen hangat The West Wing, bermula dengan kisah Zuckerberg sebagai pelajar berusia 19 tahun yang sangat pemalu di Harvard.
Dalam filem itu, Zuckerberg yang bijak mula 'mengalihkan' tumpuan kepada komputer selepas ditinggalkan kekasihnya, menggunakan saat-saat kecewa itu untuk mewujudkan Facebook.
Penganalisis syarikat penyelidik teknologi dan pasaran bebas, Forrester, Josh Bernoff yang juga penulis bersama buku jaringan sosial seperti Groundswell dan Empowered berkata, beliau faham mengapa Hollywood menerbitkan filem tersebut.
"Terdapat satu tarikan utama yang tidak boleh dielakkan terhadap lelaki seperti Zuckerberg yang berjaya mewujudkan sesuatu yang sangat berharga dan mempunyai satu personaliti luar biasa.
"Ditambah dengan kewujudan Facebook sebagai subjek kontroversi, disebabkan beberapa tuntutan mahkamah yang mempersoalkan idea penciptaan Facebook itu milik siapa serta nilai Facebook yang diperdebatkan," katanya.
Filem tersebut membawa penonton menyelami kehidupan Zuckerberg di Harvard, seorang pelajar yang mempunyai kemahiran komputer yang tinggi tetapi tidak memenuhi status universiti elit itu.
Sepasang kembar, Tyler dan Cameron Winklevoss, senior Zuckerberg di Harvard yang mendakwa pengasas Facebook itu mencuri idea mereka untuk melancarkan jaringan sosial terkenal tersebut pada Jumaat lalu berkata, mereka akan hadir menyaksikan tayangan perdana filem berkenaan di New York. - AFP

No comments: