Pages

Saturday, September 25, 2010

Jepun bebaskan kapten kapal nelayan China




GAMBAR fail menunjukkan sebuah kapal nelayan China yang dikendalikan Kapten Zhan Qixiong diiringi sebuah bot pengawal pantai Jepun pada 8 September lalu.


TOKYO - Pihak pendakwa raya Jepun semalam mengambil keputusan untuk membebaskan seorang kapten sebuah kapal nelayan China yang terlibat dalam satu pelanggaran berhampiran kawasan pulau yang menjadi perbalahan antara kedua-dua buah negara di Laut China Timur.
Pembebasan itu dibuat selepas pemerintah China memberi reaksi keras berhubung penangkapan tersebut selain mengancam untuk bertindak balas.
Insiden yang berlaku pada 8 September lalu itu telah mencetuskan ketegangan paling buruk antara kedua-dua buah negara yang berjiran itu.
Pembebasan itu dilihat mampu mengendurkan sedikit ketegangan apabila Jepun menahan kapten kapal nelayan itu yang berlanggar dengan dua buah bot peronda Jepun.
Sebelum ini, ekoran penahanan itu, Beijing menggantung dialog peringkat menteri dengan Tokyo selain menangguhkan rundingan untuk membangunkan tapak-tapak gas di lokasi yang menjadi rebutan kedua-dua negara.
Perdana Menteri China, Wen Jiabao sebelum ini mengancam mengenakan 'tindakan lanjut' jika Jepun tidak membebaskan kapten itu serta-merta.
Pada Khamis lalu, pemerintah China menyatakan ia sedang menyiasat empat rakyat Jepun yang disyaki merakamkan imej beberapa sasaran ketenteraan secara haram dan memasuki satu zon tentera tanpa kebenaran.
Terdapat juga laporan bahawa China telah menggantung penghantaran logam-logam ke Jepun yang penting untuk proses pengilangan.
Penangkapan kapten dan ditambah dengan perbalahan wilayah telah mencetuskan sentimen nasionalisme di China dan Jepun.
Ia turut mengancam hubungan perniagaan melibatkan dua kuasa ekonomi dunia itu.
Pendakwa raya di Okinawa, lokasi Kapten Zhan Qixiong ditahan selama dua minggu memberitahu, rakyat China itu dibebaskan kerana dia didapati tidak berniat merosakkan bot peronda Jepun selain alasan-alasan diplomatik.
Namun, Gabenor Tokyo, Shintaro Ishihara menyelar kerajaan Jepun kerana pembebasan itu menunjukkan ia telah tunduk kepada tekanan China. - AP

No comments: