Pages

Friday, August 27, 2010

UPM cipta alat kesan pengawet


Oleh Hazwan Faisal Mohamad
bhnews@bharian.com.my
2010/08/27


DR. FATIMAH (kiri) menunjukkan cara menggunakan alat pengesan bahan pengawet mayat dalam ikan di Universiti Putra Malaysia, di Serdang, semalam.
DR. FATIMAH (kiri) menunjukkan cara menggunakan alat pengesan bahan pengawet mayat dalam ikan di Universiti Putra Malaysia, di Serdang, semalam.

Formaldehid dalam ikan punca kanser
 

SERDANG: Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta alat pengesan bahan pengawet formaldehid dalam ikan dan makanan laut yang hanya mengambil masa 10 minit berbanding kaedah konvensional sehari.Penyelidiknya, Prof Madya Dr Fatimah Abu Bakar berkata, alat menggunakan teknologi biosensor berperantarakan enzim menggantikan penggunaan sedia ada membabitkan analisis pakar di makmal.Katanya, keputusan yang diperoleh tepat kerana ia sensitif dalam mengesan kandungan kadar formaldehid antara 0.1 hingga 20 bahagian perjuta (bpj) dalam produk makanan yang diuji. 

Sehubungan itu, katanya, penemuan tersebut memudahkan agensi pengawasan dan pemantauan termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia membuat pemeriksaan. 

“Pengawasan itu sekali gus memantau penyalahgunaan bahan kimia terlarang,” katanya pada sidang media mengenai penyelidikan pantas mengesan penggunaan formaldehid dalam ikan dan makanan laut di sini, semalam. 

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPM, Prof Datuk Dr Abu Bakar Salleh yang juga ketua penyelidik. 
Dr Fatimah berkata, harga peralatan itu bergantung kepada pengilang yang mengeluarkannya tetapi purata harga satu kit bio sensor RM50 dan boleh digunakan selama 60 kali. 

“Namun ia masih dalam peringkat prapengkomersialan dan menunggu syarikat berminat memasarkannya,” katanya. 

Formaldehid adalah bahan pengawet mayat yang banyak digunakan dalam sektor perkilangan seperti pembuatan kertas, papan lapis dan pengawetan tisu spesimen. 

Kajian mendapati tahap penggunaan bahan itu dalam ikan dan makanan laut yang selamat tidak melebihi lima bpj dan di Amerika Syarikat ia menjadi toksik apabila mencapai kadar 20bpj. 

Formaldehid berbahaya kepada manusia kerana boleh menyumbang kepada risiko penyakit barah paru-paru, otak dan leukemia. 

No comments: