Pages

Friday, August 6, 2010

Seoul anjur latihan kapal selam terbesar


Anggota tentera laut Korea Selatan mengangkat bot-bot getah semasa menyertai latihan di pulau Baengnyeong, dekat sempadan Korea Utara, semalam. - AP



SEOUL 5 Ogos - Korea Selatan hari ini melancarkan latihan antikapal selam terbesar dalam sejarah negara ini, termasuk tembakan peluru hidup dekat sempadan maritimnya dengan Korea Utara, tanpa menghiraukan ugutan Pyongyang untuk bertindak balas.
Seoul memberi amaran kepada Korea Utara bahawa ia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang provokasi sepanjang latihan lima hari di Laut Kuning.
Latihan perang itu dilancarkan sebagai reaksi terhadap serangan torpedo Korea Utara ke atas kapal perang Korea Selatan, Cheonan sehingga karam menyebabkan 46 kelasi terkorban pada Mac lalu.
"Latihan antikapal selam ini adalah yang terbesar dalam sejarah kami, melibatkan tentera darat, laut, udara dan askar marin," kata seorang jurucakap Ketua Turus Bersama (JCS) tentera Korea Selatan.
Seoul mengerahkan 4,500 anggota tentera, dengan bantuan jentera perang tercanggih termasuk 29 kapal seperti kapal selam dan kapal pemusnah di samping 50 pesawat udara seperti jet pejuang dan helikopter pembedil.
Latihan itu bermula lapan hari selepas Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) menamatkan latihan perang bersama tentera laut dan udara di Laut Jepun bagi memperlihatkan kemampuan mereka menghadapi sebarang serangan Korea Utara.
Pyongyang menafikan ia bertanggungjawab menenggelamkan kapal perang Cheonan dalam insiden yang meningkatkan ketegangan di semenanjung Korea.
JSC berkata, latihan terbaru itu bersifat defensif dan tertumpu kepada gerakan menangkis serangan laut, termasuk serangan oleh komando Korea Utara yang menaiki hovercraft.
Askar marin Korea Selatan yang ditempatkan di pulau-pulau dekat sempadan Korea Utara di Laut Kuning menjalankan latihan tembakan meriam peluru hidup tetapi tembakan dihalakan ke arah barat laut.
"Kami tidak melepaskan tembakan ke arah sempadan laut, sekalipun Korea Utara berbuat demikian sebagai perbuatan provokasi," kata jurucakap JCS itu. - AFP

No comments: