Pages

Tuesday, August 3, 2010

Mangsa banjir marah kerajaan Pakistan lewat bertindak menyelamat



SEORANG wanita berjalan mengharung air banjir sambil mendukung anaknya di kampung Kamp Koroona dekat Nowshera, Pakistan, semalam. - AP


PESHAWAR 2 Ogos - Mangsa banjir yang bersesak-sesak di pusat perpindahan sementara yang tidak cukup, hari ini meluahkan rasa marah terhadap kelewatan kerajaan bertindak ketika angka korban akibat banjir terburuk negara ini melepasi paras 1,200 orang.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menjanjikan bantuan tambahan sebanyak AS$10 juta (RM32 juta) bagi membantu krisis tersebut, dengan pegawai tempatan berkata ia menjejaskan lebih 1.5 juta penduduk di wilayah barat laut, Khyber Pakhtunkhwa.
"Saya membina sebuah rumah dua bilik di pinggir Peshawar dengan wang saya sendiri tetapi saya kehilangannya dalam banjir ini.
"Kerajaan tidak membantu kami, bangunan sekolah yang kami duduki sekarang sesak dengan mangsa banjir tanpa pengurusan makanan dan ubat yang cukup," katanya yang berusia 53 tahun kepada AFP.
Banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan hujan monsun, menutup minggu terburuk buat Pakistan apabila sebuah pesawat penumpang Airblue terhempas di kawasan berbukit di Islamabad Khamis lalu, mengorbankan 152 penumpang dan anak kapal dalam nahas udara terburuk negara ini.
Ki-moon turut menyatakan rasa simpati dan sedih berikutan kehilangan nyawa serta kerugian disebabkan banjir terburuk di Pakistan dalam tempoh 80 tahun, dengan mengulangi satu komitmen penuh untuk 'memenuhi keperluan kemanusiaan' mangsa-mangsa banjir.
Rakaman televisyen Pakistan yang diambil dari helikopter, menunjukkan mangsa banjir terpaksa berpaut pada dinding serta bumbung rumah ketika arus deras melanda kampung mereka, dengan penyakit bawaan air mula menular sebagai satu ancaman kepada mangsa yang masih hidup.
"Kami menerima banyak maklumat kehilangan nyawa dan kerugian harta benda dari semua wilayah. Saya bimbang, angka korban mungkin meningkat," kata Menteri Penerangan wilayah barat laut, Mian Iftikhar Hussain kepada AFP.
Menurutnya, lebih 3,700 rumah dihanyutkan air dan bilangan penduduk yang hilang tempat tinggal kini semakin meningkat.
Beratus-ratus mangsa terpaksa berteduh di sekolah-sekolah di seluruh Peshawar, bandar utama di barat laut Pakistan dan di Muzaffarabad, ibu negeri Kashmir, Pakistan, selepas menyelamatkan diri dari banjir. - AFP

No comments: