Pages

Thursday, July 22, 2010

Nombor plat jadi kegilaan


KUALA LUMPUR 21 Julai - Percaya atau tidak, rakyat Malaysia telah membelanjakan lebih RM500 juta dalam tempoh empat tahun hanya sekadar untuk mendapatkan nombor plat kenderaan mereka.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Jelaing Anak Mersat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memperoleh sejumlah RM70 juta hasil bayaran tender nombor pendaftaran kenderaan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
"Walaupun hanya lima bulan, jumlah tersebut sudah melebihi separuh daripada kutipan sepanjang tahun lalu iaitu sebanyak RM137 juta," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Sim Kheng Hui pada sidang Dewan Negara hari ini.
Kheng Hui meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sama ada tindakan menaikkan harga tender nombor plat kereta oleh pihak berkuasa bersesuaian dengan polisi kerajaan dan bagaimana dengan harga tender tertinggi yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Jelaing berkata, tiada had harga tertinggi ditetapkan oleh JPJ bagi tempahan nombor pendaftaran kenderaan.
Katanya, sistem tender atau tawaran nombor pendaftaran yang dilaksanakan oleh pihak JPJ adalah berdasarkan kepada konsep tempahan melalui jawatankuasa yang ditubuhkan.
Jelasnya, mana-mana pemohon yang menempah sesuatu nombor pendaftaran pada harga tempahan yang tertinggi akan ditawarkan nombor pendaftaran tersebut.
Beliau berkata, pihak JPJ tidak menaikkan harga tempahan nombor pendaftaran kenderaan baik sebelum atau semasa mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Tempahan Nombor Pendaftaran.
"Ini bagi memastikan ketelusan sistem Pengurusan Tempahan Nombor Pendaftaran Kenderaan," katanya.

No comments: