Pages

Friday, July 23, 2010

Kontroversi pembekuan otak




DANILA MEDVEDEV (kiri) melihat unit penyimpanan otak manusia bersuhu rendah sambil disaksikan oleh Innokenty Osadchy.

“SAYA tidak pernah mahu mati lagi…sebab kematian tidak sesuai untuk saya,” kata Innokenty Osadchy, 35 tahun. Nasib baik, pegawai pelaburan bank itu yakin dia telah menemui kelemahan daripada kematian.
Osadchy telah bersedia untuk membelanjakan sejumlah wang bagi membekukan otaknya. Tindakan ini dilakukan sementara dia menunggu kecanggihan teknologi masa hadapan yang membolehkannya meneruskan kehidupan. Kaedah itu boleh dilaksanakan setelah otaknya dipindahkan ke dalam sekujur tubuh baru dan dihidupkan semula.
“Mengapa saya perlu mati dalam tempoh beberapa dekad lagi? Saya tidak rasa ini berasas. Bukannya saya akan ada satu lagi kehidupan. Tetapi, ini satu lanjutan kepada kehidupan ini.
“Saya tidak ingin mati. Tidak dalam setahun atau sejuta tahun akan datang,” katanya.
Osadchy merupakan sebahagian daripada pelanggan syarikat pembekuan bahagian-bahagian tubuh si mati atau cryonic, KrioRus. Mereka percaya otak beroperasi seperti sebuah pemacu cakera komputer yang boleh dibekukan isi kandungannya dan disimpan untuk masa hadapan.
“Kita tahu bahawa personaliti manusia tersimpan di dalam otak. Jadi, apabila seseorang itu telah berusia, tiada sebab untuk kita menyimpan tubuh itu lagi,” kata Danila Medvedev yang menguruskan KrioRus. KrioRus merupakan syarikat pembekuan bahagian-bahagian tubuh si mati pertama di luar Amerika Syarikat (AS).
Menurut Medvedev, KrioRus telah berusaha menyakinkan para pelanggannya bahawa pembekuan otak merupakan kaedah pemeliharaan yang lebih murah dan selamat.
Kaedah pembekuan manusia sebagai harapan untuk dihidupkan semula pada masa hadapan sebenarnya merupakan satu prosedur haram di Perancis dan di mana-mana negara di dunia. Namun, setakat ini, KrioRus telah menyimpan empat tubuh dan lapan kepala manusia di dalam tong-tong besi berisi cecair nitrogen.
Biarpun terdapat segelintir bahagian tubuh disimpan di kediaman milik saudara mara pelanggannya, sebahagian besarnya dilonggokkan di dalam bekas-bekas di gedung usang syarikat itu. Sebuah meja lama ditinggalkan sebagai tangga yang membolehkan golongan pelawat melihat ke dalam lokasi tempat simpanan tubuh itu.
“Anda hanya perlu lancarkan jantung-jantung mereka…kemudian, seseorang itu akan hidup semula,” kata Medvedev. Medvedev cukup berbangga dengan perkembangan dunia perubatan dan teknologi nano yang berupaya mengundurkan punca awal sesuatu kematian.
Pihaknya juga percaya apabila pembedahan nano seperti itu boleh dijalankan di peringkat selular, kecanggihan sains perubatan juga boleh menghidupkan seseorang semula menerusi beberapa peringkat.
Yuran mahal
“Kita boleh mengeluarkan seseorang daripada proses cryotasis (pemeliharaan organisma hidup menggunakan suhu rendah), panaskannya sedikit demi sedikit dan dengan itu dia akan hidup,” tambahnya.

BAWAH: Perdana Menteri Kenya, Ralla Odinga (tengah) selepas menjalani pembedahan otak. Beliau ditemani isterinya, Ida Odinga.

Sejak dilancarkan pada tahun 2005, KrioRus telah membina banyak tong besi baru. Ini bagi menampung keperluan 30 orang pelanggannya termasuk Osadchy yang telah memiliki kontrak. Yuran untuk prosedur pembekuan otak ialah RM41,633 manakala pembekuan seluruh tubuh ialah sebanyak RM124,918.
“Semua kos ini perlu dibayar terlebih dahulu. Sebabnya apabila anda mempunyai pelanggan yang merupakan si mati, jadi, anda dikehendaki meminta wang pendahuluan,” jelas Medvedev.
Bagi kes kematian pula, satu-satunya peluang untuk menghidupkan semula si mati iaitu menerusi kaedah cryo-storage. Cryo-storage merupakan satu kaedah pemeliharaan sel-sel atau seluruh tisu dengan menyejukkannya pada suhu hampir mencecah takat beku.
Bagi Osadchy, segala-gala yang bersifat ketuhanan dan berkuasa ghaib seperti puntianak, syurga dan neraka hanya fantasi semata-mata.
Namun, para saintis di bekas institut cryo-biology utama milik Kesatuan Rusia mencemuh prosedur tersebut.
“Mereka menipu orang ramai dan menelan banyak wang. Segala-galanya adalah satu penipuan.
“Biar pun jika anda membekukan satu tubuh hidup yang sihat, mustahil ia masih hidup sepenuhnya selepas dicairkan. Hari ini, kita langsung tidak boleh beku atau memulihara organ manusia kecuali sel-sel tubuh,” kata Valentin Grishenko, pengarah institut yang kini berpangkalan di Ukraine.
Berikutan peningkatan keraguan terhadap kaedah cryonic, para pengamal prosedur itu di KrioRus meletakkan etika dan garis panduan. Bagi pelanggan prosedur itu, kematian tidak berlaku apabila degupan jantung berhenti.
“Anda memang dah mati sepenuhnya apabila otak anda sudah lembik,” kata Medvedev.
Aspek psikologi
Sebab itulah, golongan penyokong kaedah cyronic berharap otak mereka dapat dibekukan secepat mungkin selepas atau sebelum kematian. Ini bagi membolehkan darah seseorang dikeluarkan sebelum cecair pelindung cryo dipam ke dalam.
Pelanggan pertama KrioRus, Lidia Ivanova telah meninggal dunia sebelum syarikat itu ditubuhkan.
Medvedev bagaimanapun berjaya membantu cucu Lidia untuk meletakkan otak neneknya di atas bekalan ais kering. Otak itu kemudiannya disimpan di dalam apartmennya selama lapan bulan sehingga KrioRus mendapat tong besi pertamanya. Malah, golongan penyokong kaedah cryonic juga boleh melindungi bahagian tubuh saudara-mara menerusi pembekuan andainya itu harapan mereka.
Biar pun ibu Osadchy yang merupakan seorang penganut agama Katolik ortodoks membantah kaedah tersebut, Osadchy berkata, dia tidak teragak-agak untuk mengeluarkan otaknya bagi tujuan pembekuan.
“Selepas mati, sesiapa pun tidak boleh menolak,” katanya.
Kaedah cryonic yang menawarkan peluang kehidupan abadi dikatakan seakan-akan satu ganjaran buat mereka yang telah kehilangan orang tersayang.
“Ia sebenarnya lebih baik untuk aspek psikologi seseorang. Sebabnya kematian boleh membuatkan orang hilang akal akibat kesedihan. Jadi, menerusi kaedah cryonic, kami menawarkan sesuatu untuk membantu,” katanya.
Medvedev bagaimanapun menafikan KrioRus menawarkan harapan kosong kepada para pelanggan.
“Kami tidak memberi jaminan. Cuma kami kata adalah bodoh jika tidak mencuba,” tambahnya.
Bagi Viktor Grebenshchikov, 52, yang merupakan antara pengasas KrioRus pula, pembekuan otak sememangnya satu peluang untuk kehidupan baru.
“Saya menyayangi kehidupan. Saya rasa kehidupan itu menyeronokkan. Saya suka wanita dan minum wain serta bermain gitar,” katanya sambil ketawa.
Beliau mengakui bahawa anak-anaknya telah mentertawakan kepercayaannya itu. Namun dia dengan selambanya berkata: “Jika saya mati dalam satu kemalangan jalan raya esok dan walaupun hanya terdapat satu peluang untuk hidup semula, sudah tentu saya akan berasa gembira,” katanya. – AFP
kredit : kosmo.com.my

No comments: