Pages

Thursday, June 24, 2010

Jutawan Asia atasi kekayaan Eropah



SINGAPURA 23 Jun – Jutawan Asia yang didahului jutawan dari China dan India buat pertama kali didapati memiliki kekayaan lebih daripada jutawan di Eropah.
Laporan mengenai individu nilai bersih tinggi (HNWI), ditakrifkan sebagai mereka yang memiliki aset boleh labur bernilai sekurang-kurangnya AS$1 juta (RM3.2 juta), dikeluarkan hari ini oleh Merrill Lynch Global Wealth Management dan firma pakar runding, Capgemini.
Selepas kemelesetan global, jumlah HNWI di seluruh dunia kembali mencecah 10 juta orang pada 2009 dengan bilangan terbesar masih tertumpu di Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Jerman.
“Selepas merosot 14.2 peratus pada 2008 kepada 2.4 juta, jumlah HNWI di Asia Pasifik meningkat semula pada 2009 untuk mencecah tiga juta orang, menandingi jumlah HNWI di Eropah untuk kali pertama,” menurut satu kenyataan akhbar.
Tiga juta HNWI di Asia Pasifik menyaksikan keseluruhan kekayaan mereka meningkat hampir 33 peratus kepada AS$9.7 trilion (RM31 trilion), menebus kerugian mereka pada 2008 dan mengatasi nilai kekayaan AS$9.5 trilion (RM30.4 trilion) milik jutawan di Eropah, menurut kenyataan itu.
Perubahan kedudukan itu berikutan peningkatan nilai aset di Eropah sungguhpun signifikan adalah jauh lebih kecil daripada peningkatan di Asia Pasifik, rantau yang mengalami pertumbuhan pesat berterusan dari segi faktor ekonomi dan pasaran yang memacu kekayaan.
“Hong Kong dan India mendahului pertumbuhan di Asia Pasifik setelah mengalami kemerosotan besar dari segi bilangan dan kekayaan HNWI pada 2008,” menurut kenyataan itu.
Di seluruh dunia, golongan kaya sudah hampir menebus kerugian pada 2008 dan jumlah aset kini hampir mencapai paras pada 2007, sebelum krisis perumahan di AS mencetuskan kemelesetan global.
“Kebangkitan semula itu akan terus dipacu oleh negara-negara membangun yang berkembang pesat, terutamanya India dan China serta Brazil,” kata pengarah urusan bagi perkhidmatan kewangan global di Capgemini, Bertrand Lavayssiere.
Malah, Asia Pasifik ialah satu-satunya rantau di mana faktor-faktor makroekonomi dan pasaran yang memacu kekayaan meningkat dengan ketara pada 2009, katanya.
Sementara itu kajian berasingan oleh majalah Forbes menunjukkan, China sudah mengatasi India dengan mempunyai bilangan bilionair paling ramai tetapi India masih menempatkan individu paling kaya di rantau ini.
Sepuluh daripada 25 bilionair paling kaya di Asia adalah dari India, diketuai oleh ahli perniagaan minyak dan gas, Mukesh Ambani yang memiliki kekayaan dianggarkan AS$29 bilion (RM92.8 bilion), diikuti oleh tokoh industri keluli, Lakshmi Mittal dengan kekayaan bernilai AS$28.7 bilion (RM91.84 bilion).
Hong Kong mempunyai lima bilionair dalam senarai 25 teratas Forbes, diketuai oleh tokoh perniagaan Li Ka-shing, manakala Jepun turut mempunyai bilangan bilionair yang sama.
Hanya seorang bilionair China termasuk dalam senarai 25 teratas iaitu raja industri minuman, Zong Qinghou yang memiliki kekayaan bernilai AS$7 bilion (RM22.4 bilion). – AFP

No comments: