Pages

Thursday, June 17, 2010

Bah di Jeddah



Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my



Bencana manusia atau pemanasan global?

BANJIR kilat di bandar besar di Malaysia adalah perkara biasa kerana negara kita diakui sering menerima jumlah hujan yang banyak sepanjang tahun, ada kalanya melebihi jangkaan mengakibatkan banjir besar.

Jumlah hujan berlebihan ini diakui kesan fenomena cuaca dunia yang tidak stabil, sering berubah dan kadang kala sukar diramal. Banjir kilat berpunca daripada sistem pengairan air yang tidak lengkap, tidak cukup menampung jumlah air berlebihan secara serentak.

Jika berlaku di Malaysia, ia bukannya sesuatu yang pelik atau di luar dugaan, tetapi apabila berlaku di bandar raya di padang pasir dikelilingi gurun, pastinya menjadi tanda tanya bagaimana ia berlaku dan apa puncanya.

Itulah yang berlaku apabila jumlah hujan yang turun di bandar pelabuhan Jeddah minggu meningkat sekali ganda daripada kebiasaannya sepanjang tahun sebanyak 54 milimeter tetap kali ini hujan jumlah hujan yang diterima dianggarkan berukuran 90 milimeter cuma dalam masa enam jam.

Akibatnya, 106 maut manakala 1,400 yang terperangkap diselamatkan pihak berkuasa tempatan dan kebanyakan mangsa yang terbunuh akibat mati lemas atau terbunuh berikutan jambatan runtuh serta kemalangan kenderaan.
Keadaan jalan raya ditenggelami banjir di Jeddah, minggu lalu.
Laporan Arab News memetik pakar cuaca, Mansour Almazroui, yang juga Ketua Jabatan Meteorologi Universiti Raja Abdul Aziz, menggesa penduduk Arab Saudi supaya bersedia menghadapi ancaman banjir kilat berikutan lebih banyak hujan lebat, kemarau dan cuaca kering bakal melanda negara itu akibat perubahan cuaca.

Katanya, hujan lebat itu berlaku selepas Semenanjung Arab berdepan kemarau berpanjangan yang menyebabkan masalah kekurangan air dan kebanyakan perigi pula kering.

Pakar Metereologi tempatan yang juga Pengarah Pusat Kajian Antartik Kebangsaan Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, menjelaskan, hujan lebat luar jangkaan itu berlaku akibat perubahan iklim semasa yang berpunca daripada pengaruh angin kebaratan di kawasan Meditterranean.

"Angin di barat tidak stabil dan perubahan itu dibawa masuk ke kawasan Jeddah. Memang diakui bulan November dan Disember adalah musim sejuk atau musim hujan di sana cuma kali ini jumlah hujan lebih banyak daripada biasa.
"Sebenarnya, tanda awal sudah boleh dikesan berdasarkan ribut petir menandakan hujan akan berlaku. Hujan ribut jenis ini biasanya hanya akan turun secara setempat dan kali ini lokasinya ialah di Jeddah," katanya.

Sekali pun kawasan Jeddah diakui tidak mempunyai sungai atau lembah, Prof Azizan menjelaskan, kemungkinan besar bandar raya Jeddah juga dibina di atas 'wadi' iaitu kawasan subur yang rendah dan menjadi tadahan air, sama seperti di Makkah.

Sehubungan itu, apabila hujan turun dengan jumlah besar, tahap takungan air akan meningkat secara mendadak dan disebabkan sistem pengairan lemah, ia mengakibatkan limpahan kerana jumlah air masuk melebihi jumlah air keluar daripada takungan.

Akibatnya, kira-kira tiga juta penduduk di bandaraya itu ditenggelami air banjir kilat sedalam dua meter dan majoritinya dikatakan panik kerana tidak pernah merasai bencana seperti itu kerana kali terakhir banjir buruk melanda sejak 27 tahun lalu.

"Dalam istilah kajian cuaca, cuaca buruk itu berlaku selepas melalui proses 'return period' (tempoh berulang) selepas 27 tahun lalu. Itu adalah perkara normal, mungkin selepas ini, akan berlaku perkara sama pada 27 tahun akan datang.

"Ada sesetengah kawasan yang dilanda bencana setiap 50 dan 100 tahun. Sebab itulah kena sentiasa bersedia dan secara peribadi, saya rasakan penduduk Jeddah terkejut dan memang tidak bersedia, jauh daripada rakyat Malaysia yang memang biasa dengan banjir banjir besar dan banjir kilat," katanya.

Katanya, dalam keadaan tidak bersedia disebabkan paras air naik mendadak, pelbagai perkara luar jangkaan boleh berlaku seperti kesesakan teruk di jalan raya, sedangkan jika dibandingkan di Malaysia, ramai warga kota tidak akan keluar jika hujan lebat berterusan kerana bimbang terperangkap dalam kesesakan atau banjir kilat.

Selain itu, Prof Azizan juga tidak menafikan pembangunan pesat di Jeddah yang menjadi pintu masuk utama jemaah haji ke Makkah turut memberi kesan langsung kepada sistem pengairan hujan kerana banyak liang air ditutup akibat pembinaan bangunan dan jalan diturap.

"Apabila liang air diturap dengan tar, air akan mengalir pantas seperti sungai menuju ke kawasan rendah. Sebab itu di Malaysia, kita boleh jumpa banyak longkang besar khas untuk menghadapi hujan monsun secara bermusim.

"Saliran itu juga biasanya dibina untuk menampung jumlah keseluruhan air hujan yang melebihi jumlah sebulan. Ada yang dibina untuk menampung air melebihi jumlah 50 atau 100 hari hujan. Apa yang berlaku di Jeddah ialah hujannya melebihi purata setahun dalam masa enam jam," katanya.

Ditanya adakah perubahan cuaca buruk itu berlaku akibat pemanasan global, Prof Azizan menegaskan, ia sebenarnya tiada kaitan secara langsung kerana tidak bukti secara tepat, tetapi sedikit sebanyak ancaman itu diakui memberi kesan kepada perubahan iklim.

Saintis sememangnya menyedari dan mengesan perubahan iklim itu bahkan mengakui suhu bumi semakin meningkat dengan meramalkan akan berlaku perubahan cuaca secara ekstrem iaitu tenaga yang dihasilkan petir, ribut dan taufan semakin kuat.

"Perlu diakui, 30 peratus ais di atas permukaan laut di Larsen Field di Timur Antartika sudah hilang selepas ais cair akibat pemanasan. Itu bukti cukup kuat," katanya.

No comments: