Pages

Sunday, June 27, 2010

Bagai Titanic sebenar

ULANG tahun ke-100 tragedi karamnya kapal Titanic semakin hampir. Walaupun sekian lama ia tenggelam di dasar Lautan Atlantik selepas berlanggar dengan bongkah ais, peristiwa pada 1912 itu tetap mendapat tarikan.
Muzium itu, Titanic of Pigeon Forge, yang hanya membabitkan pembinaan 50 peratus daripada skala haluan Titanic sebenar dirasmikan baru-baru ini selepas pembinaannya dimulakan setahun lalu dengan perbelanjaan kira-kira RM77 juta.

Pengusahanya yakin dapat menarik kira-kira sejuta pengunjung setiap tahun. Ia bagaimanapun adalah muzium kedua seumpamanya di Amerika Syarikat. Yang pertama ialah di Branson, Missouri.

“Muzium ini bukan seperti taman tema atau muzium gaya Hollywood. Ia satu pengalaman interaktif yang menggabungkan semua elemen berkait dengan kisah terkenal dan tragis Titanic,” kata pemilik Tarikan Muzium Titanic, Mary Kellogg-Joslyn.

Setiap pengunjung dikenakan bayaran RM63 dan mereka akan diberi tiket yang tertera nama seorang penumpang yang mati dalam pelayaran itu.

Apabila memasuki ruang utama, pengunjung akan berdepan tangga hampir serupa yang dibina dalam Titanic sebenar. Syarikat itu membelanjakan RM3.3 juta untuk membina semula tangga berkenaan.

“Kami mempunyai 75 kakitangan yang berpakaian seperti petugas Titanic asal. Ini bermakna kami ada pekerja dan pegawai kapal yang mempunyai maklumat mendalam mengenai kapal dan tragedi yang menimpanya. Mereka juga akan berjenaka apabila menghalang anda memasuki kawasan kelas satu jika anda hanya mempunyai tiket kelas tiga.” Di dalamnya ada lebih 400 artifak daripada Titanic asal. Bagaimanapun, menurut Kellog-Josyln, tidak satu pun diperoleh daripada rangka kapal asal itu yang dikesan pada 1985, sedalam 3.2 kilometer di tengah Lautan Atlantik.

“Kami mempunyai sudu, garfu dan pisau White Star dan set minuman teh daripada syarikat yang membina kapal itu di Belfast pada 1910.

“Kami juga mempunyai gigi seorang penumpang kelas dua yang mencabutnya selepas dia diselamatkan kerana giginya sakit ketika dalam kapal itu.

“Pameran kami yang paling menarik ialah jaket keselamatan Madeline Astor, jutawan warga Amerika yang diselamatkan daripada kapal yang karam itu,” kata Kellog-Josyln.

Muzium asal Titanic di Brancon mempunyai ruang lebih kecil berbanding versi baru dan Kellogg Joslyn menjangka jumlah pengunjung ke replika baru itu akan bertambah dua kali ganda.

“Kami mempunyai replika kabin kelas tiga yang mempunyai empat katil dua tingkat di dalamnya dan menunjukkan keadaan majoriti penumpang yang terbunuh dalam tragedi itu.

“Kami juga melengkapkan satu bahagian dengan tangki untuk membolehkan anda meletakkan tangan dalam air yang sejuknya lebih -2 darjah Celsius, suhu laut ketika kapal itu tenggelam. Itu yang menjadi penyebab utama kematian kerana tidak mungkin anda boleh hidup ketika dalam air sesejuk itu selama 15 minit.

“Kami turut membina ruang dalam kabin kelas satu yang reka bentuknya sama seperti tempat Leonardo DiCaprio melukis potret Kate Winslet ketika mereka melakonkan watak Jack dan Rose dalam filem Titanic arahan James Cameron pada 1997. Pengunjung pasti mengenalinya serta-merta,” kata Kellogg-Joslyn.

Selain ciri-ciri interaktif, turut disediakan ialah keadaan pelbagai sudut ketika Titanic sebenar tenggelam.

“Kami berharap pengunjung berpuas hati dengan tarikan ini dan sedar, walaupun Ttitanic gagal tiba di Amerika, ia tetap menakjubkan.”

No comments: