Pages

Saturday, May 8, 2010

Pikap Terlaris di Thailand




MAJALAH The Maxim mencari supermodel yang cantik dan bijak.


MEMANG benar, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk melawat Thailand. Dengan penunjuk perasaan antikerajaan Baju Merah tidak menunjukkan sebarang tanda akan berundur dari Bangkok, keadaan di sana mungkin kurang selamat.
Mujurlah jemputan untuk melawat entiti yang bertanggungjawab mengilang dan memasarkan kenderaan berjenama Isuzu di Thailand Isuzu hadir sedikit awal. Lebih tepat, ketika protes kumpulan Baju Merah baru seminggu berlangsung.
Mungkin atas sebab itu, perjalanan menuju ke bangunan ibu pejabat Isuzu Operations Thailand (IOT) di Chatucak, Bangkok berjalan lancar. Sesekali, pemandu pelancong kami menunjukkan lokasi kumpulan Baju Merah yang berkampung di tepi jalan dan di bawah stesen LRT. Ia lengkap dengan khemah dan tempat untuk mandi.
Di IOT, delegasi media dari Malaysia disambut oleh Presidennya, Ken Takashima, Naib Presiden Kanan, Panatda Chennavasin dan beberapa orang pegawai tertinggi IOT. Wakil media diberi taklimat ringkas mengenai operasi IOT dan jenama Isuzu di Thailand.
Ditubuhkan pada Mac 2002, IOT berperanan menghasilkan dan mengeksport trak pikap Isuzu ke pasaran seluruh dunia termasuklah Malaysia. Tidak terkecuali pasaran Asia Barat dan Eropah.
Kira-kira 90 peratus pasaran automotif di Thailand dikuasai trak pikap dan ia menjadi pilihan utama warganya. Situasi itu banyak disumbang oleh aspek geografi dan bidang tugas yang memerlukan mereka menggunakan kenderaan komersial lasak.
Maka tidak hairanlah jika Isuzu merupakan nama besar di negara Gajah Putih tersebut, selain Toyota menerusi model Hilux dan Mitsubishi Triton. Lebih-lebih lagi apabila Isuzu menjadi jenama pertama memperkenalkan trak pikap berenjin diesel.
MODEL SUV MU-7 Groove Edisi Khas dilengkapi sistem audio terbaik.


Populariti Isuzu terbukti apabila model D-Max menerjah pasaran Thailand pada Mei 2002. Dalam tempoh hanya sepuluh hari, sebanyak 10,000 unit D-Max sudah terjual.
Angka dan minat terhadap produk Isuzu juga nampaknya tidak pernah menyusut. Menjelang tahun ketujuh berada di pasaran (Oktober 2009), jualan kenderaan Isuzu mencecah satu juta unit.
Ini sekali gus menjadikan Isuzu diangkat sebagai jualan kenderaan terbaik dalam sejarah automotif Thailand. Antara faktor utamanya ialah Isuzu berjaya mengekalkan rasa percaya pengguna terhadap jenama ini.
"Sebagai contoh bagi memastikan harga D-Max tidak jatuh kami tidak terlibat dalam perang harga atau promosi dengan jenama-jenama lain.
"Selain itu, para pelanggan adalah segala-galanya kepada kami. Maka, setiap aduan dan akan diberi perhatian sebaik-baiknya," jelas Takashima sambil memberitahu harga D-Max adalah RM3,000 lebih mahal berbanding mana-mana pesaingnya.
Menyokong pandangan tersebut, Panatda mengakui harga Isuzu D-Max terpakai juga cukup stabil. Adakah krisis politik yang melanda menjejaskan aktiviti jualan D-Max?
"Kebetulan sewaktu tunjuk perasaan berlaku, kami sedang mengadakan pameran jualan di sebuah kompleks beli-belah. Tiada sebarang insiden buruk terjadi, sebaliknya kira-kira 450 unit D-Max dibeli oleh pelanggan yang datang melihatnya," cerita Panatda.
Bagi menjangkau khalayak pembeli yang lebih luas, IOT mengetengahkan model yang lebih ranggi dikenali sebagai D-Max X-Series. Di samping model SUV MU-7 Groove Edisi Khas yang dilengkapi dengan sistem audio terbaik, Isuzu MU-7 Super Platinum dan Isuzu D-Max Super Platinum.
Semua model itu menjadi penghias tapak pameran milik Isuzu pada Bangkok International Motor Show 2010 yang berlangsung baru-baru ini. Memperkenalkan konsep gaya hidup X-Style dengan warna hitam dan merah, ia memberi perspektif baru terhadap sebuah trak pikap.
Paling menyerlah satu unit D-Max X Series yang telah menerima pengubahsuaian ekstrem. Dengan rim sport 20 inci, skirting dan pelekat belang pada bahagian hudnya, sekali pandang jentera itu langsung tidak kelihatan seperti sebuah trak pikap.

D-MAX X-Series model yang lebih ranggi.


Bagi kami, model yang menarik perhatian pastinya model MU-7. Ia mengaplikasikan konsep sama seperti model Pajero Sport. Maksudnya, sebuah pikap trak yang dibina menjadi sebuah SUV tujuh tempat duduk. Dengan enjin diesel penuh kuasa dan menjimatkan, pasti ia antara model yang ditunggu-tunggu oleh pengguna tempatan.
Namun, tidak perlu memasang angan-angan untuk melihat ia dijual di sini. Sebabnya, kualiti diesel Euro2M yang ada sekarang dilihat tidak sesuai untuk dihirup oleh MU-7.
"Buat masa ini, kami masih belum ada perancangan untuk membawa MU-7 ke Malaysia," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn. Bhd.," Takashi Hata.
Ruang pameran Isuzu yang bersebelahan dengan Proton itu turut dimeriahkan dengan kehadiran sekumpulan gadis cantik dan seksi. Mereka ialah finalis program realiti TV Miss Maxim the Supermodel 2010 by Isuzu.
Dianjurkan oleh majalah popular Maxim, program itu bertujuan untuk mencari supermodel yang bukan sahaja cantik, malah bijak. Disiarkan di saluran True Inside bermula 3 April lalu, ia bakal menyaksikan pemenangnya membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.
Saya juga diberitahu bahawa jelitawan itu bukan sahaja pandai bergaya dengan kenderaan Isuzu, malah mereka mempunyai pengetahuan luas mengenai produk tersebut.
Bagaimanapun, usaha saya untuk mengetahui sejauh mana dakwaan itu kurang berjaya. Sebabnya, soalan saya dijawab dengan senyuman manis atau campuran bahasa Inggeris dan bahasa Thailand.

No comments: