Pages

Thursday, May 13, 2010

Cameron jadi PM termuda sejak 1812




DAVID CAMERON (kiri) dan Nick Clegg melambaikan tangan di Pejabat Downing Street,
London semalam.


LONDON - Britain kini diterajui oleh pemimpin Parti Konservatif, David Cameron, 43, yang menjadi Perdana Menteri Britain termuda sejak Lord Liverpool memegang jawatan sama pada tahun 1812 semasa berumur 42 tahun.
Beliau menjadi Perdana Menteri selepas berjaya membentuk kerajaan perikatan dengan Parti Liberal Demokrat pimpinan Nick Clegg yang menduduki tempat ketiga selepas keputusan pilihan raya umum Britain Khamis lalu diumumkan.
Ekoran persetujuan untuk membentuk perikatan itu, Clegg yang turut berumur 43 tahun turut menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Ia merupakan kerajaan perikatan pertama di Britain sejak tahun 1945.
Kerajaan baru itu berazam mempercepatkan usaha untuk mengurangkan bajet defisit selain mengeluarkan negara berkenaan daripada kemelesetan ekonomi.
Cameron merupakan pemimpin yang bertanggungjawab membawa perubahan ke atas parti yang pernah dipimpin oleh bekas Perdana Menteri wanita pertama Britain, Margaret Thatcher.
Kemenangan Cameron dalam pilihan raya Britain itu menamatkan penguasaan pemerintahan Parti Buruh selama 13 tahun.
Dalam pakatan itu, lima orang pemimpin kanan Parti Liberal Demokrat bakal dilantik menjadi menteri.
Cameron dan Clegg yang tiba awal pagi semalam berjabat tangan dan bergambar sebelum mereka memasuki pejabat Downing Street untuk memulakan tugas.
Cameron berjanji bahawa kerajaan perikatan itu akan memberi fokus kepada pembangunan keluarga dan masyarakat.
"Saya menyertai politik kerana cintakan negara ini. Britain kini berdepan masalah defisit dan sosial yang serius. Sistem politik memerlukan pembaharuan. Atas alasan ini, saya membentuk kerajaan bersama Parti Liberal Demokrat," katanya.
Sementara itu, Clegg berkata: "Lebih penting lagi, kami akan membentuk satu kerajaan yang baru."
Sementara itu, George Osborne yang berusia 38 tahun pula menjadi Menteri Kewangan yang dikenali sebagai Chancellor of the Exchequerdi Britain yang paling muda dalam tempoh 125 tahun.
Malam kelmarin, Cameron dan isteri, Samantha telah mengadap pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham untuk mendapat perkenan membentuk kerajaan baru. Sebelum itu, Gordon Brown juga telah menemui Ratu Elizabeth II untuk mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Cameron turut menerima ucapan tahniah daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan beberapa pemimpin dunia lain.
Parti Konservatif memenangi 306 enam kerusi, kurang 20 kerusi untuk mendapat majoriti kukuh bagi membentuk kerajaan.
Parti Buruh mendapat 258 kerusi dan Parti Liberal Demokrat memperoleh 57 kerusi.
Sebelum Parti Konservatif dan Parti Liberal Demokrat mencapai persetujuan membentuk kerajaan perikatan, Parlimen Britain terpaksa digantung buat pertama kalinya sejak 36 tahun lalu kerana ketiadaan parti tunggal yang mendapat majoriti kukuh bagi membentuk kerajaan. - Agensi

No comments: