Pages

Thursday, March 4, 2010

Pecah Amanah Musuh Agama Dan Negara


Dr. Mohd Sani bin Badron Fellow Kanan

24/04/2007 | Berita Harian
Pada zaman Rasulullah, para pegawai kerajaan diarahkan supaya menyimpan apa sahaja yang mereka terima sebagai hasil Negara dalam Perbendaharaan Awam. Rasulullah turut memberi peringatan, "Wahai manusia! Sekiranya ada di kalangan kamu yang dilantik sebagai wakil pentadbir oleh kami, dan kemudian menyorokkan daripada kami walaupun hanya sebatang jarum, ataupun lebih, dia telah berkhianat, dan akan membawanya di Hari Kebangkitan" (riwayat Abu Dawud).
Peringatan Rasulullah itu selaras dengan amaran Allah dalam al-Qur'an, "sesiapa yang berkhianat menggelapkan sesuatu harta (kepunyaan semua), dia akan datang menanggung apa yang dikhianatkan itu pada Hari Kiamat; kemudian akan dibalas tiap-tiap seorang apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka tidak dianiayai" (Ali 'Imran, 3: 161).
Peringatan tersebut sangatlah penting, kerana mereka yang diamanahkan untuk memerintah memiliki kuasa yang sangat besar terhadap cara hasil Negara dibelanjakan. Untuk mendokong sifat amanah terhadap kuasa inilah Allah merakamkan dalam al-Qur'an keperluan untuk menyerahkan kerja kepada seseorang yang berperibadi kuat (al-qawiyy), iaitu yang berupaya lagi berkebolehan (al-Qasas, 28:26).
Justeru itu juga, Rasulullah pernah memberi peringatan bahawa ada tiga tanda seseorang yang munafiq: apabila dia berbicara, dia berdusta; apabila dia berjanji, dia menyalahi janji; dan apabila dia diamanahkan, dia berkhianat. Hadith sahih ini diriwayatkan oleh banyak imam termasuklah Bukhari dan Muslim. Dalam riwayat yang dirakamkan oleh Imam Muslim, ada pernyataan tegas Rasulullah bahawa ini "walaupun dia turut puasa, sembahyang dan menganggap dirinya Muslim."
Keprihatinan akhlak yang menjadi lunas Islam ini tidaklah berlawanan dengan apa yang pernah dinyatakan oleh Marcus Tullius Cicero (m. 43 SM) dalam risalahnya De Officiis, bahawa "tidak ada perbuatan aniaya yang lebih menonjol daripada perlakuan seseorang hypocrite, yang serentak dengan sifatnya yang khianat, berpura-pura berbuat kebajikan."
Sesungguhnyalah perlakuan aniaya yang paling membinasakan kepada diri sendiri,  masyarakat dan Negara berkisar sekitar tiga  kejahatan tersebut, iaitu berdusta, mungkir janji, dan mengkhianati amanah. Dunia Islam semasa telah lama diperingatkan untuk mengawal kebobrokan tersebut semenjak Persidangan Pertama Sedunia mengenai Pendidikan Islam di Mekah, dalam bulan April 1977, apabila Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas membentangkan kertas-kerja sidang pleno mengenai "the Dewesternization of Knowledge". Beliau juga mengingatkan bahawa, walaupun tiga sifat tersebut kedengarannya seperti tiga perlakuan yang berbeza, pada hakikatnya ia adalah tiga darjat pendustaan-berdusta apabila berbicara, berdusta apabila memungkiri janji, dan berdusta melalui perlakuan pecah amanah dan menyelewengkan kuasa.
Banyak ayat-ayat al-Qur'an dan hadith-hadith sahih yang lain memperkuatkan lunas Islam ini. Dalam agama Islam, sifat khianat adalah musuh kepada keimanan yang hakiki dan kesedaran untuk menyerahkan diri hanya kepada Allah Tuhan Yang Maha Esa tidak kepada yang selain-Nya. Seseorang Mukmin atau Muslim tidak mungkin berakhlak dusta atau pecah amanah.
Rasulullah bersabda bahawa sesiapa yang tidak memiliki kejujuran, tidak memiliki iman; dan sesiapa yang tidak memelihara janji, bukanlah seorang yang beragama (riwayat Tabrani dan Bayhaqi).
Penting untuk diamati bahawa kesarjanaan Islam telah mentakrifkan insan sebagai al-hayawan al-natiq. Secara harfiah, insan adalah "hidupan yang berkata-kata", dengan makna bahawa bertalian dengan tutur-katanya, seseorang itu akan mencerminkan jiwa dalamannya (nutq sebagai 'aql).
Berkenaan dengan perkara ini, pemikir Perancis Michel Eyquem de Montaigne (m. 1592) pernah menyatakan bahawa, "Sebagai manusia, kita terikat hanya dengan apa yang kita tuturkan...Oleh kerana persefahaman antara seorang manusia dengan manusia yang lain boleh dinyatakan hanya melalui tutur-kata, sesiapa yang berdusta dalam tutur-bicaranya adalah mengkhianati masyarakat manusia. Tutur-kata adalah satu-satunya alat untuk menyampaikan iradat dan fikiran kita; tutur-bicara merupakan penterjemah jiwa. Dengan berdusta, tiadalah lagi tali yang mengikat antara manusia. Pendustaan memutuskan semua perhubungan masyarakat dan meleburkan semua ikatannya."
Bijak-pandai Melayu telah mengungkapkan lunas akhlak yang bersifat alami ini menerusi pepatah kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji. Justeru manusia yang berkhianat pada janji dan ikatan-amanah adalah lebih hina dari kerbau dan lembu, persis peringatan al-Qur'an, "mereka itu seperti binatang, bahkan lebih sesat lagi" (al-A'raf, 7: 179). Rosak sifat insaniahnya, mereka adalah musang yang berbulu ayam.
Demi mempertegaskan kewajiban untuk tidak berkhianat terhadap amanah, dalam ayat pertama surah al-Ma'idah, Allah memerintahkan orang-orang yang beriman supaya menyempurnakan 'uqud, iaitu satu istilah al-Qur'an yang cukup sempurna untuk merujuk kepada "ikatan janji-amanah yang kukuh" (shadd wa shiddat wuthuq).
Al-Raghib al-Isfahani telah menjelaskan bahawa perjanjian yang dirujuk dalam ayat ini terdiri dari tiga jenis ikatan-amanah. Pertama-tamanya, Perjanjian antara insan dengan Tuhan, iaitu kewajiban manusia kepada Allah yang berpandukan Agama Islam (al-A'raf, 7: 172). Keduanya, janji antara manusia dengan dirinya sendiri. Iaitu, untuk meletakkan sifat-sifat haiwaniahnya di bawah kendalian akal dan kalbu. Dan yang ketiganya, janji antara seseorang manusia dengan manusia yang lain yang serasi dengan persyaratan Agama. Misalnya, perjanjian perdagangan antara penjual dengan pembeli, persepakatan masyarakat antara pelbagai kelompok kaum, akad-nikah perkahwinan, dan persetiaan antarabangsa.
Para ahli dalam pentafsiran al-Qur'an telah menerangkan bahawa kewajiban ini turut merangkum perjanjian yang tersirat, yang kerana itu perlu ditunaikan dengan saksama. Sebagai contoh, terdapat perjanjian yang tersirat antara seorang tuanrumah dengan tetamunya, antara seorang pengembara dengan pengiringnya, antara seorang majikan dengan pekerjanya, dan seterusnya. Abdullah Yusuf Ali menyatakan bahawa seseorang yang meninggalkan mereka yang berada di bawah tanggungjawabnya dan sebaliknya pergi "beribadah" berseorangan di padang pasir adalah seorang yang bacul yang telah mengabaikan 'uqud atau tugas-tugas wajibnya.
Tambahan pula, "Allah telah memerintahkan kamu supaya menyerahkan Amanah kepada yang berhak" (al-Nisa', 4: 58). Ayat al-Qur'an ini merangkum segala amanah, sama ada yang berkaitan dengan harta-benda, mahupun yang berkaitan dengan akhlak. Sekiranya ada sebarang tugas yang perlu ditunaikan kepada seseorang yang lain, tugas tersebut adalah satu amanah yang wajib ditegakkan. Sekiranya seseorang itu ditugaskan untuk mengusahakan sesuatu kerja, maka mengerjakannya dengan sempurna dan penuh rasa tanggung-jawab adalah satu perbuatan menyerahkan amanah kepada yang berhak.

No comments: