Pages

Friday, January 29, 2010

Henti ceramah Anwar, Imej Polis Semakin Buruk - Mahfuz Omar

Monday, 25 January 2010 11:22 AM Oleh Roziyah Mahamad


KUALA LUMPUR : Imej polis akan lebih buruk apabila menghentikan ceramah umum Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana majlis tersebut jelas tidak menimbulkan kekecohan dan lebih menonjolkan perpaduan.


"Bila berlaku pembakaran gereja, polis mengarahkan pihak gereja sendiri yang mengawal keadaan kerana alasan mereka tidak cukup anggota tetapi bila majlis seperti ini berlangsung polis boleh hantar begitu ramai anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk menghentikan program tersebut," jelas Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar ketika dihubungi Era Pakatan.com.
Beliau berkata, ini merupakan provokasi yang cuba dicetuskan oleh pihak polis dan kerajaan seharusnya serius melihat perkara.


"Pimpinan pegawai polis harus dirombak dan jawatan ketua polis yang ada sekarang harus dilucutkan dengan segera," jelas Mahfuz lagi.
Menurut beliau, pihaknya berjaya mengawal keadaan dan meminta semua hadirin bersurai bagi menghormati keputusan pihak polis ketika itu. Tindakan itu katanya tidak wajar kerana program itu lebih mesra rakyat dan mengumpulkan pelbagai kaum selain amalan Pakatan Rakyat (PR) yang sentiasa turun bersemuka dengan rakyat.


Terdahulu, program ceramah umum Anwar di Kampung Kerinci malam tadi bertukar kecoh apabila polis bertindak dengan menaiki pentas dan memberhentikan program tersebut. Kejadian itu berlaku selepas setengah jam Anwar memulakan ceramahnya.


Polis yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid bersama-sama beberapa anggotanya bertindak menaiki pentas ceramah itu di Blok L Flat PKNS Kampung Kerinci meminta ketua pembangkang itu berhenti menyampaikan ceramah.
Penyokong yang hadir ketika itu lantang berteriak membantah tindakan polis yang menghalang ceramagh itu daripada dilangsungkan.

Ekoran perkara itu, majlis tersebut terpaksa dihentikan dan para penyokongnya membawa ketua pembangkang itu ke dalam sebuah rumah yang terletak bersebelahan dengan pentas tersebut.
Pihak urusetia juga bertindak menutup lampu dipentas tersebut, menyebabkan para penyokong bersorak dan melaungkan 'Reformasi' kepada beberapa kali kepada anggota polis yang masih berada di atas pentas.
Kekecohan yang berlaku hampir 10 minit itu disaksikan hampir 500 hadirin yang hadir di situ sejak jam 8.30 malam tadi. Lebih 30 anggota polis termasuk FRU kelihatan di tempat ceramah tersebut.
Posted by WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI at Monday, January 25, 2010 0 comments

No comments: