Pages

Thursday, January 21, 2010

Apa itu Doa??

BAHAGIAN PERTAMA : APA ITU DOA?



Siang malam kita berdoa, tetapi pernahkah kita bertanya tentang pengertian doa?



Menurut bahasa : Doa berasal dari perkataan arab "da'a" ertinya memanggil.



Menurut istilah syara' : Doa beerti “Memohon sesuatu yang bermanfaat dan memohon terbebas atau tercegah dari sesuatu yang memudharatkan”.[1]



Maka apabila kita berdoa, sudah tentu kita memohon sesuatu yang bermanfaat dan memberi kebaikan kepada kita. Dan tidak dinamakan berdoa bahkan merupakan perkara yang salah jika kita memohon sesuatu yang tidak baik tentang diri kita, seperti memohon supaya dimatikan Allah. Pernah suatu ketika Nabi Shallalaahu ‘alaihi wa sallam menziarahi salah seorang sahabat Baginda yang sedang sakit, beliau berkata : Ya Allah matikanlah aku, aku tidak tahan lagi. Nabi Shallalaahu ‘alaihi wa sallam menegur sahabat-Nya dan Baginda memerintahkan supaya dia berdoa dengan lafaz : Ya Allah hidupkanlah aku jika kehidupan itu lebih baik untukku, dan matikanlah aku jika kematian itu lebih baik untukku.



Oleh itu, sama-samalah kita memohon segala kebaikan dari Allah.



Q&A



Ada soalan yang diajukan kepada saya, bunyinya lebih kurang begini : Adakah berdosa jika mendoakan keburukan kepada orang lain?



Jawapan : Pada asalnya kita dianjurkan mendoakan kebaikan, seperti mana Nabi Shallalaahu ‘alaihi wa sallam mendoakan kebaikan bagi kaum taif yang menghina serta melontar Baginda dengan batu. Tetapi di sana juga terdapat keharusan mendoakan keburukan bagi manusia contohnya; musuh-musuh islam yang terdiri dari kafir, munafiq dan lain2. Harus juga mendoakan keburukan bagi seseorang yang menzalimi kita kerana Nabi Shallalaahu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda : “takutlah kamu kepada doa orang yang dizalimi.”. Hadis menunjukkan Nabi Shallalaahu ‘alaihi wa sallam membenarkan orang yang dizalimi berdoa ke atas orang yang menzaliminya.



Walaubagaimanapun, berdoa dengan kebaikan adalah yang terbaik apatah lagi memaafkan orang tersebut, bahkan Allah berfirman : “jika kamu memaafkan mereka, maka itu adalah lebih baik.”



Wallaahua’alam.

No comments: