Pages

Sunday, June 14, 2015

$100 bilion untuk beli 3 telur

Harare: Bank Pusat Zimbabwe menawarkan kepada rakyat negara itu untuk menukar wang kertas Zimdolar kepada dolar Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, untuk menukar 100 trilion dolar Zimbabwe mereka hanya akan memperoleh AS$0.40 saja.
Zimbabwe tidak lagi menggunakan nilai matawangnya sendiri sejak 2009 dan menggantikannya dengan sistem dikuasai dolar AS dan rand Afrika Selatan selepas inflasi yang melanda negara itu menjangkau 230 juta peratus.
Sejak itu, penjaja jalanan juga enggan menerima not Zimdolar.
Dengan wang 100 bilion Zimdolar pembeli hanya boleh membeli tiga biji telur. Sementara 100 trilion Zimdolar hanya boleh digunakan untuk tambang bas selama seminggu.
Tidak hairanlah jika melihat rakyat negara itu membawa beberapa bungkusan wang untuk membeli roti dan susu.
Mulai esok, mereka boleh menukar Zimdolar yang masih disimpan kepada dolar AS.
Ia sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk menarik balik peredaran matawang tempatan secara menyeluruh.
Sebahagian penduduk di Harare berkata, mereka sudah lama membuang Zimdolar.
“Saya jadikannya baja untuk tanaman saya,” kata penjaja Isaac Mutezowepasi.
Yang lain berkata, mereka masih menyimpan wang kertas itu dan tidak tertarik dengan tawaran kerajaan.
“Saya mahu menyimpannya untuk ditunjukkan kepada cucu saya. Tambahan pula, saya yakin nilai Zimdolar akan meningkat kerana banyak permintaan apabila ia semakin pupus,” kata pereka grafik Tendai Nyaundi. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:07 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57702#sthash.1ROhpxUo.dpuf

Penceraian termahal dunia

GAMBAR saat-saat bahagia Natalia dan Vladimir semasa bercuti di Jordan pada tahun 2010. - AGENSI


MOSCOW – Isteri kepada seorang bilionair Rusia akan membuat tuntutan separuh daripada £10 bilion (RM58.3 bilion) kekayaan suaminya sekali gus bakal mencatat perceraian termahal di dunia, lapor MailOnline.
Kes tuntutan Natalia Potanina terhadap Vladimir Potanin yang dikurniakan tiga orang cahaya mata hasil perkongsian hidup selama 30 tahun akan dibicarakan di mahkamah Moscow bermula 1 Julai ini.
Vladimir, 54, yang merupakan pemilik syarikat perlombongan dan pelaburan melahirkan hasrat untuk menceraikan Natalia kerana dia mempunyai hubungan dengan seorang wanita lain dan turut mempunyai dua anak.
“Dia memberitahu hasrat untuk bercerai pada satu majlis makan malam bersama anak-anak kami. Saya tidak menjangka perkara ini berlaku, malah tidak sanggup untuk memikirkannya,” luah Natalia.
Sebelum ini, Vladimir menawarkan kepada Natalia wang £32 juta (RM186 juta) berserta elaun tetapi ditolak dan menuntut separuh daripada kekayaannya.
Tawaran itu termasuk elaun bulanan £250,000 (RM1.45 juta) serta rumah di Moscow, London dan New York.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0614&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3czI45N5h 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, June 13, 2015

Supercar RM12.8 juta secara rasmi menjadi polis

Lykan Hypersport
Lykan Hypersport

ABU DHABI - EMERIAH ARAB BERSATU. Lykan Hypersport secara rasmi 'dilantik' menjadi polis selepas ianya dipasang kelengkapan dan lampu peronda, baru-baru ini.
 
Untuk rekod, supercar berharga USD2.4 juta (RM12.8 juta) tersebut hanya dihasilkan sebanyak tujuh buah sahaja di serata dunia.
 
Kereta tersebut yang dijana oleh enjin 3.7 liter dwi-turbo mampu menghasilkan kuasa 551kW dan berupaya memecut dari 0 hingga 100km per jam dalam masa 2.8 saat.
 
Penyenaraian Lykan Hypersport juga menjadikan ianya kenderaan paling jarang dijumpai dalam angkatan polis seluruh dunia.
 
Pihak berkuasa Arab Saudi sebelum ini menyenaraikan kereta jenis Nissan GT-R dan Chevloret Camaro, tapi masih 'berada dibelakang' pihak berkuasa Dubai.
 
Angkatan polis Dubai pula dilengkapi kereta futuristik, BMW i8, Bugatti Veyron, Lamborghini Aventador, Ferrari FF, McLaren MP-12C, Mercedes Benz SLS dan pelbagai lagi.
 
Selain berfungsi untuk mengejar penjenayah, kereta supercar tersebut juga digunakan untuk menarik pelancong.

13,000 orang berpiknik serba putih



PARA peserta berpakaian serba putih menyertai jamuan makan di Palais Royal di Paris kelmarin.- AFP


PARIS – Lebih 13,000 orang berpakaian serba putih menghadiri acara piknik Diner en blanc
ke-27 di sini kelmarin.
Mereka turut membawa sejumlah meja dan kerusi sebelum berkumpul di dua tempat awam untuk menyertai acara yang kini merupakan tradisi di Taman Tuileries serta Palais Royal. Jamuan itu mencetuskan fenomena antarabangsa
Acara itu berasal daripada satu majlis yang diadakan di sebuah taman di Paris 26 tahun lalu. Para penganjurnya meminta tetamu supaya berpakaian serba putih agar mereka mudah dikenali.
Laman web acara itu menyatakan, beribu-ribu orang yang berpakaian serba putih menjamu selera dengan sopan dan elegan di kawasan awam.
Para tetamu diminta memastikan kawasan diduduki kembali seperti asal termasuk membawa pulang sampah masing-masing. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3cthcfF69 
Hakcipta terpelihara 

Dapat anak kembar walaupun umur 85 tahun



ABDULLAH memangku bayi kembarnya Turki baru-baru ini. - AGENSI


ANKARA – Seorang lelaki berusia 85 tahun di Turki terkejut apabila dia menjadi bapa semula selepas isterinya melahirkan anak kembar lelaki.
Lelaki itu yang merupakan seorang petani, Abdullah Sevinc menyambut kelahiran anak ke-15 itu selepas isterinya, Hanifa Abdullah Mihrinaz yang berusia 46 tahun melahirkan anak kembar di bandar Van, baru-baru ini.
Sebelum ini, warga emas berkenaan mempunyai 10 orang anak namun isteri pertamanya meninggal dunia kira-kira 15 tahun lalu.
Abdullah kemudian berkahwin dengan isteri keduanya, Hanifa pada 2006 dan dikurniakan tiga anak.
"Ini semua kuasa Tuhan. Saya tidak menyangka akan mendapat anak kembar.
"Saya memang sudah berusia tetapi masih sihat. Namun, saya agak malu tetapi tiada apa yang boleh saya lakukan kerana ini adalah rezeki," katanya.
Menurutnya, dia tidak mahukan anak lagi pada masa hadapan memandangkan bilangan 15 anak sudah mencukupi. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3ctgC8n4x 
Hakcipta terpelihara 

Keluarga pilih huni pulau terpencil



BORIS (dua dari kiri) bersama isteri dan anak-anaknya bergambar di hadapan rumah mereka di Pulau Fofoa, Tonga. - AGENSI


NUKU'ALOFA, Tonga – Sebuah keluarga dari New Zealand sanggup meninggalkan kemajuan di negara itu untuk meneruskan kehidupan mereka di sebuah pulau terpencil di Tonga.
Pasangan suami isteri, Boris dan Karyn von Engelbrechten yang masing-masing merupakan bekas pengurus sebuah hotel dan pengurus teknologi maklumat telah menetap di pulau kecil itu di Fofoa, Neiafu sejak lapan tahun lalu.
Mereka turut membawa tiga anak lelaki, Jack, Luca dan Felix.
Pasangan itu membina sebuah rumah tepi dengan menggunakan bahan-bahan terbuang yang ditemui di pesisir pantai termasuk kayu hanyut dan menjadikan terumbu karang sebagai perhiasan rumah.
Rumah mereka yang memiliki dua bilik tidur, dua bilik mandi, ruang tamu dan ruang makan dibina dengan kos £70,000 (RM408,000).
"Kami berpindah ke Tonga kerana mahu memulakan satu pengembaraan baharu bersama-sama.
"Pulau ini sangat hebat. Kami berasa lebih tenang berbanding tinggal di sebuah negara yang sibuk. Kami mahu anak-anak berasa bebas dan menikmati keindahan semula jadi," kata Boris.
Di kepulauan itu, pasangan itu menjadikan rumah mereka sebagai rumah tamu bagi membolehkan pelancong menyewa kediaman bagi menyara kehidupan.
Kisah keluarga berkenaan kini disiarkan dalam rancangan Escape To The Wild yang ke udara pada setiap hari Isnin. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3ctfnqiXP 
Hakcipta terpelihara 

Kanak-kanak ‘bertelur’ gemparkan penduduk


Akmal menunjukkan sebutir telur yang keluar dari saluran duburnya.
Akmal menunjukkan sebutir telur yang keluar dari saluran duburnya.
GOWA, Sulawesi Selatan – Penduduk Kampung Mangngempang, Mukim Bungaya, di daerah ini gempar selepas tersebar berita tentang seorang kanak-kanak lelaki mengeluarkan tiga biji telur dari duburnya sejak Mei lalu.
Kompas.com melaporkan keadaan bertukar menjadi kecoh selepas penduduk berjaya merakam sendiri detik kanak-kanak bernama Akmal itu ‘mengeluarkan’ telur dari duburnya dengan menggunakan telefon pintar. Video itu mula tersebar sejak 4 Jun lalu.
Akmal, 12, merupakan anak lelaki ketiga kepada pasangan Muhammad Ruslim, 42, dan Nawasiah, 42 tahun.
Akmal mempunyai seorang kembar perempuan, Jusmala dan kanak-kanak lelaki itu juga mempunyai fizikal yang cacat iaitu ukuran kakinya yang kecil sebelah.
Kanak-kanak itu dilaporkan mula mengeluarkan telur dari duburnya sejak 28 Mei lalu selepas dia mengadu sakit perut dan terasa ingin membuang air besar.
Telur pertama keluar dari duburnya bersama dengan najis, manakala telur kedua dilaporkan dikeluarkan pada 31 Mei lalu.
Telur pertama dan kedua itu kemudiannya dipecahkan oleh ahli jawatankuasa kampung (Sekdes).
“Saya pecahkan dan isinya berwarna putih dan tidak ada bahagian kuning seperti telur ayam. Namun isinya amat kental seperti telur setengah masak,’’ kata Sekdes Mangngempang, Arifuddin.
Sementara itu, telur ketiga keluar pada 1 Jun lalu di rumah Dari, bapa saudara Akmal.
Bapa saudaranya yang ingin tahu akan fenomena yang berlaku ke atas anak saudaranya itu kemudiannya merakam sendiri detik-detik Akmal mengeluarkan telur menggunakan telefon bimbitnya.
“Pada awalnya saya tidak percaya. Tetapi selepas saya rakam, ternyata kejadian itu betul,’’ katanya.
Telur ketiga yang dikeluarkan Akmal berukuran sama seperti telur ayam biasa, namun mempunyai garis seperti urat dan berbintik coklat.
Telur ketiga itu masih disimpan keluarga Akmal, sementara menunggu pasukan perubatan setempat untuk membuat pemeriksaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kanak-kanak-8216-bertelur-8217-gemparkan-penduduk-1.102323#sthash.zoAXzgMd.dpuf

Budak lelaki mendakwa dikhatankan oleh jin


Kemaluan Aziz didakwa dikhatankan oleh jin sewaktu dia bermain
Kemaluan Aziz didakwa dikhatankan oleh jin sewaktu dia bermain basikal.
KLATEN, Jawa Tengah – Seorang kanak-kanak lelaki di Mukim Wedi di daerah ini mendakwa dia dikhatankan oleh jin dalam satu kejadian ketika dia sedang menunggang basikal di sini, baru-baru ini.
Ironinya, kejadian yang berlaku ke atas Muhammad Aziz itu disedari setelah dia mengadu tidak mahu berkhatan kerana takut dan berdoa agar dia disunatkan oleh jin. Kakak kanak-kanak itu,  Latifah Rahmadhani, berkata, kejadian itu berlaku pada 29 Mei lalu ketika dia dan adiknya sedang bermain basikal.
Namun, Aziz secara tiba-tiba menjerit dan mengadu sakit di bahagian alat kelaminnya.
“Saya terus maklumkan perkara itu kepada orang tua kami, dan setelah seluarnya dibuka, kami terkejut melihat alat kelamin adik saya seperti sudah dikhatankan,’’ katanya sebagaimana dilaporkan portal Merdeka.com.
Latifah berkata, ibu bapanya telah merujuk adiknya kepada doktor dan doktor mengesahkan adiknya telah dikhatankan.
Aziz ketika ditemui pula berkata, dia mengaku pernah meminta supaya dikhatankan oleh jin semasa melihat kawannya berkhatan pada bulan lalu.
Menurut Aziz, dia menjadi takut selepas luka pada bahagian alat kelamin rakannya tidak pulih dengan cepat sehingga dia berdoa supaya dikhatankan oleh jin sahaja.
“Saya sering lihat di televisyen dalam program ‘Rahasia Tuhan’ yang menunjukkan babak kanak-kanak disunat oleh jin,’’ kata murid tahun dua Sekolah Dasar 1 Kadilanggon itu.
Aziz dilaporkan terpaksa pergi sekolah dengan memakai kain pelikat bagi menduduki peperiksaan kenaikan kelas sambil menahan sakitnya itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/budak-lelaki-mendakwa-dikhatankan-oleh-jin-1.102321#sthash.Xn9F0VuQ.dpuf

Umat Islam di Kutub Artik perlu berpuasa 24 jam


Umat Islam di Lingkaran Kutub Artik dijangka berpuasa selama 24
Umat Islam di Lingkaran Kutub Artik dijangka berpuasa selama 24 jam berikutan waktu siang di negara-negara di benua itu boleh mencecah sehingga 24 jam. AGENSI
BERN 12 Jun – Penduduk Islam yang tinggal di Lingkaran Kutub Artik perlu segera mencari kaedah terbaharu untuk menentukan cara menetapkan berpuasa berikutan waktu siang di negara-negara berkenaan boleh mencecah sehingga 24 jam.
Sebuah Pertubuhan Masyarakat Islam di Sweden berkata, kaedah terbaharu itu sedang dirangka untuk bulan Ramadan yang akan bermula pada 18 Jun ini, untuk menetapkan waktu berpuasa dan berbuka seperti umat Islam lain.
Hanya tiga hari sahaja lagi merupakan hari-hari terpanjang tahun ini, apabila matahari bersinar selama 24 jam di atas Lingkaran Kutub Utara dan sebaliknya jauh di se­belah selatan.
“Kami mempunyai dua persoalan yang sukar, tidak hanya waktu berbuka di utara tetapi juga waktu mula berpuasa,” ujar Mohammed Kharraki, jurucakap Pertubuhan Ma­syarakat Islam Sweden, kepada AFP.
“Anda sepatutnya mula berpuasa sebelum matahari terbit, pada waktu subuh. Tetapi tidak ada waktu subuh pada musim panas di Stockholm,” tambahnya.
Pada tahun sebelum ini, umat Islam di bandar-bandar di pinggir Lingkaran Kutub Artik seperti Kiruna dinasihatkan berbuka puasa pada masa yang sama dengan orang lain di Selatan.
Namun, beberapa perjumpaan dengan imam-iman di Sweden dan Eropah di utara Sweden pada minggu ini mencadangkan pendekatan terbaharu perlu dilaksanakan.
“Sekarang ini anda perlu berpuasa seperti kali terakhir matahari terbit dan terbenam,” kata Kharraki.
Tambahnya, garis panduan ter­perinci masih diusahakan dan mung­kin membabitkan waktu berbuka puasa pada awal petang selaras dengan sebahagian negara di dunia.
Peraturan terbaharu itu dirangka oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah yang dijangka diguna pakai di seluruh benua dan termasuk nasihat mengenai keadaan di mana umat Islam boleh berbuka puasa untuk mengelakkan pengsan kerana kekurangan makanan dan air. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/umat-islam-di-kutub-artik-perlu-berpuasa-24-jam-1.102231#sthash.VQF0Dbfp.dpuf

Friday, June 12, 2015

Pelajar sekolah rendah di Britain dilarang puasa

Pelajar sekolah rendah di Britain dilarang puasa
Sybourn Primary School turut melaksana larangan berpuasa kepada pelajarnya.

LONDON - BRITAIN. Sebuah sekolah rendah di Britain melarang pelajar Muslim di sekolah berkenaan berpuasa semasa Ramadan kerana mendakwa amalan itu akan menjejaskan kesihatan pelajarnya.

Barclay Primary School, timur London, mengeluarkan surat arahan kepada ibu bapa bahawa pihak sekolah tidak membenarkan pelajar hadir ke sekolah dengan berpuasa untuk melindungi kesihatan dan pendidikan kanak-kanak itu.

Langkah itu bagaimanapun telah dibidas oleh komuniti Islam dan berkata, pihak sekolah perlu meminta pendapat dari ibu bapa sebelum membuat keputusan apatah lagi perkara berkaitan agama.

Dalam surat yang dikeluarkan semalam, pihak sekolah mendakwa, perkara tersebut dirujuk terlebih dahulu sebelum melaksanakan larangan itu.

'Kami dimaklumkan bahawa, dalam Undang-undang Islam, kanak-kanak tidak diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan, dan hanya dikehendaki untuk berbuat demikian apabila mereka sudah dewasa," katanya dipetik Mail Online.

Selain itu, larangan itu turut dilaksanakan di tiga buah sekolah lain di Britain seperti Sybourn Primary School, Thomas Gamuel Primary School dan Brook House Primary School.

Sementara itu, Persatuan Islam Britain berkata, terdapat peraturan yang mencukupi untuk melindungi orang berpuasa tanpa campur tangan pihak sekolah.

"Dalam Islam, terdapat peraturan yang membolehkan umatnya berbuka puasa jika tidak mampu berpuasa.

"Peraturan-peraturan ini termasuk kepada orang-orang yang sakit, golongan kanak-kanak dan orang uzur,"  katanya.

Dalam pada itu, menurut Presiden Persatuan Muslim Britain, Dr Omer El Hamdoon, pihak sekolah seharusnya berbincang terlebih dahulu mengenai isu ini sebelum terus melaksanakannya.

Peluru tertanam 64 tahun tanpa sedar

Peluru tertanam 64 tahun tanpa sedar
Hasil imbasan x-ray yang menunjukkan peluru yang tertanam.

SICHUAN - CHINA . Seorang bekas tentera terkejut selepas sebutir peluru tertanam di dalam badannya sejak 60 tahun lalu tanpa menyedarinya.
 
Duan Zhi Chai, 94, yang terlibat dalam peperangan di antara Jepun dan Amerika Syarikat pada tahun 1943 dan 1950 hanya menyedarinya selepas dimasukkan ke hospital dua tahun lalu selepas mengadu sakit di bahagian abdomen.
 
Memetik laporan China News, doktor yang menjalankan pemeriksaan dan imbasan x-ray terkejut selepas terjumpa sebutir peluru di bahagian kiri pelvis warga emas itu.
 
Menurut laporan perubatan, peluru tersebut berukuran tiga sentimeter panjang dan atas nasihat doktor, peluru tersebut tidak dibuang kerana faktor umur.
 
Memandangkan kedudukan peluru tersebut berada dalam keadaan menegak dan tiada luka di perut Duan, pegawai perubatan percaya Duan dipukul di bahagian punggung sejak bertahun yang lalu.
 
Duan berkata, dia pernah mengalami kecederaan sebanyak dua kali semasa perang dan masih mempunyai bekas parut akibat peluru di tangannya.

Jutawan lepaskan kekayaan untuk jadi sami

12 Jun 2015 12:34 AM



NEW DELHI 11 Jun – Seorang ahli perniagaan India, Bhanwarlal Raghunath Doshi mencuri tumpuan media negara ini minggu lalu selepas secara terbuka mengumumkan bakal meninggalkan kekayaannya semata-mata untuk menjadi seorang sami.
‘Raja Plastik’ dari Delhi itu menyerahkan hartanya dari empayar perniagaan yang dianggarkan berjumlah 600 kror (RM373 juta) dalam satu majlis yang berlangsung penghujung Mei lalu kepada sebuah pertubuhan agama Jain.
Keputusan Doshi, 58, bagaimanapun bukanlah suatu perkara yang baharu kerana beliau telah menganggap dirinya sebagai sami Jain yang menariknya dalam bidang kerohanian sejak 1982, lapor portal Oddity Central.
Namun keluarganya iaitu isteri, dua anak lelaki dan seorang anak perempuannya pada mulanya enggan membenarkan jutawan tersebut menjadi sami, namun terpaksa akur tahun lalu.
Permulaannya sebagai seorang sami berlangsung dalam satu majlis selama tiga hari di Persatuan Pendidikan Ahmedabad, di Ahmedabad, Gujarat pada penghujung Mei lalu.
Pentas berlangsungnya majlis itu dibina menggunakan 20,000 batang buluh melibatkan seramai 3,000 orang pekerja dan sebanyak 200 pengawal keselamatan diupah bagi menjaga keselamatan majlis berkenaan.
Sekurang-kurangnya 150,000 orang menghadiri majlis itu termasuk 7,000 orang datang dari luar bandar dan Doshi menempah sebanyak 500 buah bilik hotel untuk menempatkan mereka.
Majlis itu turut menyaksikan perarakan sejauh tujuh kilometer yang dibarisi lebih 1,000 orang sami, 12 buah kereta, sembilan ekor gajah, sembilan kereta unta, dan kumpulan pemuzik.
Difahamkan, hampir 100 kror (RM59 juta) dibelanjakan untuk majlis itu yang menyaksikan wang, syiling emas, dan kunci kereta turut dicampak ke arah orang ramai yang menhadirinya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jutawan-lepaskan-kekayaan-untuk-jadi-sami-1.101828#sthash.mKgCWp5b.dpuf


Remaja genius lulus ujian fizik angkasa lepas


LONDON 11 Jun – Ketika remaja lain asyik bermain bola di taman pada waktu petang, seorang remaja Britain ‘sibuk’ mempelajari kiraan dan fizik untuk menerangkan perjalanan di angkasa lepas, lapor Mail Online.
Connall Cairns
Usaha Connall Cairns, 13, itu membuahkan hasil apabila dia mencatatkan keputusan pa­ling tinggi dalam satu ujian kursus fizik angkasa lepas yang dijalankan oleh sebuah universiti terkemuka dunia.
Cairns yang mendaftar untuk kursus dalam talian itu di Institut Teknologi Massachusetts (MIT) walaupun masih belum menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran Menengah (GSCE), mencapai keputusan 81 peratus dalam kursus kejuruteraan aeroangkasa peringkat mahasiswa.
Antara topik yang dipelajarinya dalam kursus Pengenalan kepada Kejuruteraan Aeroangkasa: Astronautik dan Penerbangan Angkasa Lepas melibatkan Manusia adalah peraturan pergerakan planet Kepler, persamaan roket Tsiolkovsky yang mengira pelbagai faktor pelancaran ke angkasa lepas dan undang-undang graviti universal Newton.
Remaja tersebut yang bersekolah di Gosfield di Essex bercita-cita menjadi seorang ahli fizik nuklear.
“Apa yang saya pelajari, sangat menyeronokkan. Sains roket merupakan minat saya sejak berumur tujuh tahun.
“Kursus ini melibatkan matematik, jadi saya ajar diri saya untuk memahami persamaan,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/remaja-genius-lulus-ujian-fizik-angkasa-lepas-1.101825#sthash.c3IoM0y1.dpuf

Thursday, June 11, 2015

Bingung budak lelaki bertelur

Gowa, Indonesia: Sekumpulan doktor di sebuah hospital di sini terkejut selepas seorang remaja lelaki berusia 12 tahun mendakwa mengeluarkan telur melalui duburnya.
Remaja yang dikenali sebagai Akmal itu mendakwa sudah mengeluarkan tujuh biji objek seperti telur ayam sejak beberapa hari lalu.
Keluarga Akmal yang berasal dari Desa Mengempang dekat sini yang bimbang dengan keadaan anaknya membawa remaja itu ke hospital untuk rawatan lanjut.
Doktor di Hospital Syech Yusuf Sungguminasa yang merawat Akmal semalam membuat imbasan X-ray dan terkejut apabila mendapati ada satu objek seperti telur di bahagian dubur remaja itu.
Tidak lama selepas dimasukkan ke hospital itu, Akmal sekali lagi mengeluarkan objek seperti telur ayam berkenaan.
Akmal berkata, telur itu mula keluar dari duburnya selepas dia tiba-tiba sakit perut sejak beberapa hari lalu.
“Sebelum telur ini keluar saya akan sakit perut sebelum tiba-tiba telur ini keluar dari dubur saya,” katanya.
Katanya, sehingga semalam dia sudah mengeluarkan tujuh objek yang menyerupai telur ayam.
“Bapa saya memecahkan sebiji telur itu dan mendapati dalamnya sama seperti telur ayam,” jelasnya.
Sementara itu, Dr Ferliyani berkata, pasukan perubatan masih bingung bagaimana objek asing itu boleh berada di dalam tubuh remaja berkenaan.
“Kami masih memantau keadaan Akmal dan telur yang dikeluarkan remaja itu sedang dianalisis,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 7:26 AM


AKMAL menunjukkan objek seperti telur ayam yang keluar dari duburnya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/56803#sthash.MY1BHS9j.dpuf

Penduduk India dibayar guna tandas awam



GAMBAR fail pada 18 November 2014 menunjukkan dua lelaki India membuang air kecil pada sebuah dinding bangunan di New Delhi. - AFP


AHMEDABAD – Sebuah dewan bandar raya di barat India merancang membayar warga kota supaya menggunakan tandas awam selepas terdesak untuk menghentikan orang ramai daripada membuang air kecil dan besar di tempat awam.
Perbadanan Dewan­ Bandar Raya Ahme­dabad (AMC) memutuskan untuk membayar orang awam 1 rupee (5 sen) untuk setiap kunjungan dalam usaha memancing mereka menggunakan 300 tandas awam yang disediakan dan tidak lagi membuang air kecil pada dinding bangunan.
Pegawai kesihatan AMC, Bhavikk Joshi berkata, tawaran itu akan dilaksanakan di 67 tandas awam di seluruh Ahmedabad yang merupakan bandar utama negeri Gujarat, barat India.
“Sekiranya berjaya, projek ini akan dilaksanakan di semua 300 tandas di Ahmedabad,” kata Bhavikk.
Langkah itu merupakan usaha terbaru untuk menggalakkan rakyat India menggunakan tandas selepas pengumuman kempen kebersihan yang diterajui Perdana Menteri, Narendra Modi pada tahun lalu.
“Idea projek ini adalah untuk menghalang pembuangan najis di tempat awam di beberapa bahagian di bandar raya ini di mana orang ramai masih membuang air besar secara terbuka walaupun terdapat kemudahan tandas awam,” kata pengerusi jawatankuasa AMC, Pravin Patel.
Dalam pada itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan hampir 594 juta orang atau separuh populasi India masih membuang air di tempat terbuka. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3chS1aZav 
Hakcipta terpelihara 

Kopi gajah antara minuman termahal



GAMBAR dirakam pada 10 April lalu menunjukkan biji-biji kopi yang telah diasingkan daripada tahi gajah. - AFP


CHIANG SAEN – Di kawasan berbukit-bukau di utara Thailand, seorang wanita teliti mengutip biji kopi daripada timbunan tahi gajah yang merupakan proses utama dalam menghasilkan antara minuman termahal di dunia.
Kawasan pedalaman Thailand dan bersempadan dengan Myanmar serta Laos itu lebih dikenali kerana kegiatan penyeludupan dadah berbanding penghasilan kopi. Namun, seorang pengusaha Kanada, Blake Dinkin memutuskan lokasi itu sempurna untuk perniagaan kopinya selain memulihara alam sekitar.
“Apabila saya menjelaskan projek saya kepada gembala-gembala gajah, saya sedar mereka menyangka saya gila,” kata Dinkin, 44, yang merupakan pengasas jenama Black Ivory Coffee.
Dia menggunakan sistem pencernaan gajah untuk menghasilkan biji kopi berkualiti dan bernilai tinggi.
“Saya pernah menimbang untuk menggunakan singa dan zirafah sebagai pencerna kopi tetapi memilih gajah kerana haiwan ini memakan kopi semasa musim kemarau di Asia Tenggara,” katanya.
Untuk menghasilkan sekilogram (kg) kopi, gajah-gajah itu perlu memakan sekitar 33kg biji kopi bersama makanan yang biasa diberikan seperti nasi dan pisang.
Pada tuaian ketiganya tahun ini, Black Ivory menghasilkan 150kg kopi yang berharga sekitar AS$1,880 (RM7,009) sekilogram manakala secawan kopi itu pula berharga AS$13 (RM48). – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3chRfcSEb 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki jalani 32 pembedahan plastik


LOS ANGELES 10 Jun – Demi untuk kelihatan segak dan bergaya, seorang lelaki kelahiran Brazil sanggup menahan kesakitan selama lapan jam dan mengeluarkan belanja sebanyak AS$25,000 (RM93,600) semata-mata untuk menjalani pembedahan pemindahan rambut, di sebuah klinik di Beverly Hills, baru-baru ini.
Rodrigo Alves sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk menjalani pembedahan plastik semata-mata mahu kelihatan kacak dan sempurna. AGENSI
Menurut portal Mail Online, Rodrigo Alves, yang dikenali sebagai ‘Manusia Ken Doll’ kerana memiliki penampilan seperti patung kanak-kanak itu, sanggup menghabiskan wang kira-kira AS$250,000 (RM936,925) untuk menjalani pelbagai pembedahan plastik bagi ‘membetulkan’ badan supaya menjadi lebih sempurna.
Sebelum ini, lelaki berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pembantu penerbangan itu telah menjalani kira-kira 32 pembedahan plastik termasuk pembedahan hidung, pembinaan semula rahang, pipi dan membentuk dagu yang runcing.
“Julai ini, saya akan menjangkau usia 32 tahun dan tanda-tanda penuaan akan bermula sebab itu saya mahu melakukannya (pembedahan plastik) bagi kelihatan sentiasa muda,” ujarnya.
Alves berkata, faktor keguguran rambut yang ke­terlaluan mendorong dirinya membuat pemindahan rambut yang dilakukan dengan menggunakan kaedah FUT (Follicular Unit Transplantion).
“Pembedahan plastik telah mengubah kehidupan saya dan saya kini semakin yakin dan gembira,” ujarnya yang juga bekerja sebagai perunding imej bagi golongan lelaki.
Baru-baru ini, Celso Santebanes, yang juga dikenali sebagai Manusia Ken Doll kedua meninggal dunia pada usia 20 tahun selepas lima bulan bertarung dengan penyakit leukemia.
Santebanes dikatakan antara yang terkenal daripada ketiga-tiga karektor Manusia Ken Doll, termasuk Justin Jedlica dan Rodrigo Alves kerana mempunyai model anak patung sendiri dan sering bekerjasama dengan ‘Barbie Manusia’, Valeria Lukyanova.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lelaki-jalani-32-pembedahan-plastik-1.101322#sthash.IMkAbMuP.dpuf

Wednesday, June 10, 2015

14 kali gagal, dia tetap tekad mahu cuba lagi

14 kali gagal, dia tetap tekad mahu cuba lagi
Wang Xia dipimpin untuk memasuki dewan peperiksaan.

SHANGHAI - CHINA. Seorang warga emas berusia 86 tahun tidak pernah mengenal erti putus asa untuk menduduki satu peperiksaan di negara itu walaupun pernah gagal sebanyak 14 kali.

Wang Xia, menduduki peperiksaan gaokao 2015 iaitu peperiksaan untuk masuk ke universiti dan dianggap paling sukar di China, Ahad dan Isnin lalu.

Wang Xia yang menamatkan pengajian sekolah tinggi pada tahun 1949 menduduki peperiksaan gaokao buat kali pertama pada tahun 1954.

Walaupun tidak lulus, namun dia tidak pernah berputus asa dan kemudian mengambil semula peperiksaan itu sebayak 3 kali iaitu pada tahun 1955,1956,1960.

Selepas gagal sebanyak empat kali, dia mengambil keputusan untuk tidak menduduki peperiksaan itu lagi dan meneruskan kerjayanya sebagai ahli farmasi.

Pada tahun 1966 hingga 1979, kerajaan China kemudiannya melancarkan Cultural Revolution di mana pihak universiti menghentikan pengambilan pelajar melalui sistem peperiksaan.

Namun pada tahun 1977, peperiksaan gaokao diperkenalkan semula namun calon yang layak mengambilnya hanyalah di bawah 25 tahun dan tidak berkahwin.

Kerajaan China kemudiannya melonggarkan syarat untuk tiada had umur pada tahun 2001 dan ketika usia 72 tahun, Xia sekali lagi mencuba nasib menduduki peperiksaan itu.

Selepas gagal sekali lagi pada tahun 2002, semangat dan kesungguhannya itu mendapat perhatian media di China dan berikutan itu Nanjing Medical University menawarkannya untuk menyambung pelajaran di universiti berkenaan selama lima tahun, namun Xia menolaknya.

Memetik laporan Chinanews, Xia berkata, walaupun sudah bekerja dalam bidang famasi lebih dari 40 tahun, namun dia masih berkeinginan untuk memperoleh diploma bagi membuktikan kemahiran perubatannya.

"Saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menduduki peperiksaan gaokao 2015, walaupun pernah gagal sebanyak 14 kali," katanya ketika ditemui sebelum menduduki peperiksaan itu.

Tahun lepas, seorang warga emas 73 tahun turut menduduki peperiksaan ini selepas pernah menduduki peperiksaan sama 40 tahun lalu.