Pages

Tuesday, June 10, 2014

Episod hitam Bosnia

Episod hitam Bosnia
SEKITAR pertengahan bulan lalu, nama Bosnia Herzegovina dan Serbia sekali lagi mencuri tumpuan dunia apabila kedua-dua negara itu dilanda banjir terbesar yang disifatkan paling teruk dalam tempoh 100 tahun.

Banjir di kawasan bersejarah Balkan juga menyebabkan lebih 2,000 kejadian tanah runtuh dan meragut lebih 70 nyawa, ratusan ribu penduduk terpaksa dipindahkan serta satu perempat daripada 4 juta penduduknya terjejas teruk.

Malah, pihak berkuasa Bosnia turut membandingkan kemusnahan daripada bencana itu dengan kemusnahan ketika perang melanda Bosnia sekitar tahun 1992 hingga 1995.

Difahamkan, hujan lebat turun selama tiga hari hingga mengakibatkan satu pertiga daripada Bosnia menyerupai tasik lumpur apabila landasan kereta api dan jalan raya ditenggelami air.

Menteri Luar Bosnia Zlatko Lagumdzija berkata, lebih 100,000 buah rumah dan bangunan di negara itu musnah dan lebih 1 juta penduduk terputus bekalan air bersih.

“Keadaannya sangat menakutkan. Kemusnahan fizikal yang dialami hampir sama dengan kemusnahan akibat perang.

“Jika 22 tahun dulu, ramai orang kehilangan segala-galanya. Kini, kami sekali lagi tidak mempunyai apa-apa,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Serbia Aleksandar Vucic memberitahu, kewangan di negara tersebut akan terjejas sehingga ratusan juta Euro terutamanya apabila gelombang banjir baharu dari Sungai Rava melanda kompleks Nikola Tesla, sebuah kawasan penjana kuasa utama negara terletak kira-kira 30 kilometer di barat daya ibu negara Belgrade.

“Kami mengharapkan sokongan besar kerana tidak banyak negara pernah mengalami malapetaka seperti ini,” katanya.

Bahagian terjejas banjir

Serbia merupakan bahagian paling teruk terjejas di mana beberapa bandar utama ditenggelami air dan tanah runtuh di kawasan pergunungan. Di Bosnia, khususnya di kawasan Republika Sepska lumpuh akibat banjir.

Sementara itu, di Croatia timur dan selatan Romania juga terlibat banjir. Manakala di Austria, Bulgaria, Hungary, Itali, Poland dan Slovakia terjejas oleh ribut.

Bosnia

Kebanyakan bahagian utara Bosnia dilanda banjir di mana lembah sungai Bosna adalah paling teruk. Kawasan lain terjejas termasuk Sarajevo Canton, Tuzla, dan wilayah Semberija. Manakala sungai yang mencapai paras tinggi hingga melimpah adalah termasuk Bosna, Vrbas, Drina, Sana dan Sava.

Sehari selepas Bosnia dilaporkan banjir, 24 kematian dicatatkan dan timbul spekulasi bahawa banjir mungkin mengganggu kedudukan periuk api yang tertinggal semasa perang Bosnia yang boleh mendatangkan bahaya.

Serbia

Bandar Obrenovac dilanda banjir paling teruk di mana hampir 90 peratus daripadanya ditenggelami air. Pada 15 dan 16 Mei, paras air berhampiran Sungai Kolubara naik beberapa meter secara tiba-tiba menyebabkan seluruh penduduk di kawasan itu dipindahkan.

Sepanjang tempoh banjir, lebih 300,000 isi rumah terputus bekalan elektrik. Menteri Tenaga Aleksandar Antic mencadangkan supaya penduduk menjimatkan elektrik dan menggunakannya dengan lebih berhemah.

Pada 20 Mei, kerajaan Serbia mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari. Malah, Perdana Menteri Aleksandar Vucic menyifatkan banjir itu sebagai bencana paling buruk yang pernah melanda negara itu.

Croatia, Romania, Slovakia

Kawasan paling kritikal terjejas adalah di selatan Slavonia. Benteng di Sungai Sava pecah dan air melimpah berhampiran Rajevo Ranau dan Racinovi. Akibatnya, lebih 15,000 terpaksa dipindahkan.

Merupakan banjir kali ketiga yang melanda Romania sejak April lalu. Lebih 8,000 orang dipindahkan dan 2,000 hektar tanah ditenggelami air. Secara keseluruhannya, 125 kampung terjejas dan 30 laluan jalan raya ditutup kerana rosak teruk serta dilitupi lumpur.

Ekonomi Balkan lumpuh

Bank Eropah untuk Pembinaan Semula dan Pembangunan (EBRD) menganggarkan jumlah kerugian di dua negara itu mencecah lebih 3 bilion Euro (RM13 bilion).

EBRD memaklumkan, pihaknya meletakkan anggaran kasar kerugian antara 1.5 bilion Euro hingga 2 bilion Euro (RM7 bilion hingga RM9 bilion) di Serbia dan 1.3 bilion Euro (RM6 bilion) di Bosnia.

“Banjir juga boleh memberi kesan makro ekonomi yang agak besar di Serbia dan Bosnia dan memberi kesan kepada pertumbuhan jangka pendek dan inflasi serta keutamaan polisi untuk bajet mereka tahun ini,” menurut bank itu dalam satu kenyataan.

Sektor paling teruk terjejas adalah pertanian kerana kebanyakan tanah yang sesuai untuk sektor tersebut musnah. Kerugian di kedua-dua negara boleh mencecah hingga ratusan juta Euro.

Manakala, kerugian pada sektor tenaga juga dijangka tinggi terutamanya di Serbia di mana kompleks perlombongan terbesar Kolubara yang penting untuk sistem tenaga negara telah ditenggelami air.

Selain itu, jutaan penduduk di kawasan terjejas turut hilang pekerjaan sekali gus menambahkan lagi kesukaran mereka.

Sehingga kini, kerajaan belum menjanjikan sebarang pampasan atau ganti rugi kerana ia melibatkan perbelanjaan besar.

Oleh itu apakah nasib mereka selepas ini? Bagaimanakah mereka boleh meneruskan kelangsungan hidup tanpa sebarang bantuan merupa wang ringgit.

Susulan itu, negara-negara jiran ditagih untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

Reaksi antarabangsa

38 negara hulur bantuan

Kejadian ini mencetuskan pelbagai kempen bantuan antarabangsa daripada lebih 38 negara termasuk Malaysia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jerman, Itali dan Jepun.

Agensi Bantuan Malaysia (MRA) menyalurkan bantuan bernilai RM43,780 dalam bentuk makanan dan kit kesihatan kepada wilayah di Bosnia. Selain itu, MRA dan beberapa organisasi swasta turut melancarkan tabung bantuan untuk mangsa bencana terbabit.

Manakala PBB turut menyediakan bantuan segera kepada dua negara itu, terutamanya kapasiti Serbia sebagai sebuah negara calon pertubuhan sekali gus melayakkannya menerima bantuan kewangan.

Sekumpulan pasukan pakar PBB mengatakan bahawa pembinaan semula besar-besaran, pemulihan dan usaha pembersihan amat diperlukan bagi membaik pulih keadaan Serbia selepas dilanda bencana alam itu.

Malah, dalam laporan kepada kerajaan Serbia, PBB memberi amaran berkaitan risiko kesihatan daripada air bertakung, potensi risiko kepada alam sekitar dan kerosakan kepada pertanian selain kemusnahan rumah serta infrastruktur.

“Laporan ini adalah titik permulaan. Kami tidak sabar untuk bekerja dengan kerajaan Serbia, Kesatuan Eropah dan Bank Dunia mengenai penilaian tentang keperluan jangka panjang negara ini yang dipanggil Penilaian Keperluan Selepas Bencana (PDNA),” menurut Penyelaras Residen PBB di Serbia, Irena Vojackova-Sollorano.

Bantuan selebriti

•Pemain tenis Serbia Novak Djokovic mendermakan kesemua wang tunai AS$500,000 (RM1.7 juta) yang dimenanginya pada perlawanan tenis Terbuka Itali 2014 selepas mengalahkan Rafael Nadal. Selain itu, dia turut mengumpul tambahan AS$100,000 (RM321,000) menerusi Dana Novak Djokovic.

•Ahli perniagaan Romania, Ion Tiriac yang juga pemilik Kejohanan Terbuka Masters Mutua Madrilena Madrid tenis, bekas pemain tenis dan hoki mendermakan AS$100,000 (RM321,000) kepada mangsa banjir di Serbia.

•Pelakon Angelina Jolie menderma AS$50,000 (RM161,000) kepada Bosnia dan Serbia.

•Pemuzik terkenal Bosnia, Goran Bregovic mendermakan 20,000 Euro (RM88,000) ke Bosnia.

•Pemain bola sepak Bosnia Miralem Pjanic membeli keperluan perubatan yang sama nilainya seperti sebuah farmasi.

Harley Davidson keluarkan motosikal khas untuk wanita



MINAT yang semakin meningkat dalam kalangan wanita terhadap aktiviti permotoran menyebabkan Harley Davidson mengeluarkan motosikal khusus untuk golongan itu. - Agensi


WISCONSIN - Pengeluar motosikal berkuasa tinggi terkenal, Harley Davidson melancarkan dua rekaan motosikal berkuasa tinggi baharu khusus untuk wanita yang kini didapati semakin meminati aktiviti permotoran.
Idea berkenaan tercetus selepas golongan wanita meminta agar motosikal khas untuk kaum Hawa turut dikeluarkan di pasaran berikutan sebelum ini hanya motosikal yang memiliki rekaan untuk golongan lelaki sahaja dijual.
Motosikal jenis Street 500 dan Street 750 merupakan keluaran terkini yang memiliki ciri-ciri lebih feminin seperti tangki minyak yang bersaiz sederhana berbanding biasa serta bahagian pemegang dan pedal kaki yang lebih kecil.
Bahagian tempat duduk juga turut diberikan perincian khusus bagi memberikan lebih keselesaan kepada wanita dengan paras yang lebih rendah berbanding biasa.
Hasil rekaan baharu itu, pihak Harley Davidson kini menerima peningkatan jumlah jualan sebanyak 30 peratus terhadap produk terbabit di Amerika Syarikat. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz34CpPdcsY 
Hakcipta terpelihara 

Kebaikan berpuasa


LOS ANGELES 9 Jun - Satu kajian baharu mendapati, amalan berpuasa selama dua hari atau lebih dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh manusia.
Saintis dari California yang menjalankan kajian tersebut menyatakan, pesakit kanser merupakan individu yang paling banyak mendapat manfaat daripada berpuasa kerana amalan itu boleh membantu sistem imunisasi yang terjejas akibat rawatan kemoterapi.
Menurut akhbar Daily Mail yang melaporkan penemuan tersebut, apabila sistem imunisasi manusia pulih, keadaan itu boleh menggalakkan badan menggantikan sel-sel lama yang telah rosak.
Pakar jangka hayat dari Universiti Southern California, Profesor Valter Longo berkata, apabila lapar, sistem badan cuba menjimatkan tenaga dan satu perkara yang dilakukan adalah mengitar semula sebanyak mungkin sel-sel imunisasi yang tidak diperlukan, terutamanya yang rosak.
Pasukan penyelidiknya juga mendapati, amalan berpuasa selama dua hingga empat hari setiap enam bulan membolehkan badan menggunakan simpanan lemak dan gula serta menghapuskan sel-sel rosak.
"Badan kemudian bertindak balas dengan menghantar isyarat memberitahu sel-sel stem untuk menjana dan membina semula keseluruhan sistem badan.
"Jika satu sistem itu telah rosak teruk setelah melakukan rawatan kemoterapi dan akibat penuaan, berpuasa secara perlahan-lahan dapat menjana sistem imunisasi badan yang baharu," kata Longo.
Kajian yang dilakukan mendapati, sebelum melakukan rawatan kemoterapi, seseorang pesakit barah akan hilang sedikit sel-sel darah putih jika mereka berpuasa selama 72 jam.
Puasa juga mengurangkan kesan-kesan kurang sihat dan kematian dalam tikus yang terdedah kepada ubat-ubatan kemoterapi dan meningkatkan imunisasi bagi tikus yang tua.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140610/lu_12/Kebaikan-berpuasa#ixzz34BKTllMl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, June 9, 2014

Cara baharu elak kehadiran gelandangan



KAWASAN bawah jambatan diletakkan dengan logam panjang dan tajam bagi menghalang golongan gelandangan menjadikan kawasan itu tempat tidur.


LONDON - Para pemilik premis di bandar ini kini menemui cara untuk mengatasi masalah individu yang tidak memiliki tempat tinggal atau gelandangan tidur di pekarangan bangunan mahupun kediaman penduduk setempat.
Beberapa logam panjang dan tajam setinggi 43 sentimeter diletakkan di bahagian yang sering menjadi tumpuan golongan ini untuk tidur seperti di kaki lima bangunan serta bawah jambatan.
Tindakan itu menyebabkan beberapa pengguna laman sosial Twitter melahirkan rasa tidak puas hati mereka, bagaimanapun ada kalangan pengguna yang bersetuju dengan langkah yang diambil.
"Mereka layak tinggal di kawasan yang lebih baik daripada tidur di sepanjang jalan," kata seorang pengguna Twitter, Katharine Sacks-Jones. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0609&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz345Spni3z 
Hakcipta terpelihara 

Pesawat Boeing diubah suai jadi kediaman



CAMPBELL sedang berehat di dalam pesawat Boeing 727-200 yang telah diubah suai menjadi rumahnya.


HILLSBORO, Oregon - Seorang pesara jurutera, Bruce Campbell telah mengubah suai sebuah pesawat lama jenis Boeing 727-200 menjadi sebuah rumah yang juga kediaman keduanya.
Campbell, 64, telah membeli pesawat lama itu pada harga AS$100,000 (RM321,300) tahun lalu dan kini merancang untuk membeli sebuah lagi pesawat lama yang lebih besar dari Jepun.
Bekas jurutera elektrik itu telah menghabiskan masa selama enam bulan untuk mengubah suai pesawatnya yang dilengkapi dengan sayap dan gear pendaratan sehingga menjadi sebuah kediaman yang lengkap.
Pada tahun 1999, Campbell pernah berikrar untuk menyelamatkan pesawat yang tidak digunakan daripada menjadi besi buruk.
Dianggarkan kira-kira 1,200 hingga 1,800 buah pesawat sedang menunggu masa untuk dilupuskan dengan 500 hingga 600 buah daripadanya sudah digunakan melebihi 20 tahun.
Sebelum tinggal di dalam pesawat itu, Campbell pernah tinggal selama bertahun-tahun di dalam kereta yang menjadi kediamannya dan berpindah ke dalam pesawat apabila permitnya diluluskan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0609&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz345S9XV1q 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, June 8, 2014

Misteri kupu-kupu gergasi



BEBERAPA ekor kupu-kupu gergasi yang ditemui di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang baru-baru ini.


SELASA lalu, akhbar melaporkan fenomena kemunculan ribuan kupu-kupu gergasi sejak seminggu lalu di bandar Kuantan, Pahang di samping beberapa negeri lain di Malaysia yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk.
Rama-rama berwarna hitam dan bertompok putih itu menjadi topik perbualan disebabkan jumlahnya yang begitu banyak berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Serangga bersayap itu dilihat sangat aktif pada waktu malam dan sering mengerumuni kawasan yang melimpahkan cahaya lampu.
Malah, ia turut mengerumuni padang Stadium Darul Makmur ketika perlawanan bola sepak Pahang menentang Johor Darul Takzim dalam saingan separuh akhir Piala FA, 30 Mei lalu.
Menurut pakar entomogi di Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat, Universiti Sains Malaysia, Prof. Che Salmah Mat Rawi, kupu-kupu itu dikenali dengan nama saintifik Lyssa zampa docile.
Tidak berbahaya
Katanya, pelbagai teori boleh dikaitkan dengan kemunculan kupu-kupu itu termasuk faktor perubahan cuaca yang menyebabkan peningkatan mendadak bilangan serangga itu di bandar Kuantan baru-baru ini.
“Lazimnya, serangga ini mendiami kawasan tanah tinggi tetapi ada kemungkinan ia boleh ditemui dengan banyak di kawasan penanaman atau pembangunan pada Mei hingga Ogos setiap tahun.
“Serangga yang bersifat nokturnal ini sangat aktif pada waktu malam dan mudah tertarik dengan cahaya lampu. Pada siang hari, ia akan berehat dan mendiami kawasan teduh dan sejuk seperti bumbung rumah atau pokok besar,” katanya.
Che Salmah berkata, faktor tarikan lampu, perubahan cuaca, banyak sumber makanan serta tiada musuh yang mengancam keselamatannya turut mempengaruhi kemunculan serangga ini.

KUPU-KUPU gergasi ini sering muncul pada bulan Mei hingga Ogos.


“Walaupun kajian menyatakan serangga ini tidak beracun, namun ia mungkin menyebabkan kegatalan pada kulit jika disentuh.
“Bulu pada kepaknya pula dapat mengganggu sistem penafasan dan amat sensitif terhadap penghidap asma,” katanya.
Selain Malaysia, kehadiran kupu-kupu gergasi itu turut disaksikan di Singapura. Menurut pakar rama-rama di Muzium Sejarah Semula Jadi Lee Kong Chian, Khew Sin Khoon, kemunculan kupu-kupu tersebut disebabkan faktor cuaca.
Ujarnya, walaupun muncul sepanjang tahun, ia mencatatkan peningkatan pada bulan Mei hingga Ogos, dengan menunjukkan tanda-tanda awal kemunculan pada bulan April.
Seorang pensyarah di Jabatan Sains Biologi, Universiti Nasional Singapura, N. Sivasothi berkata, serangga yang muncul kali ini merupakan yang terbesar pernah dilihat sejak tahun 2005.
Setakat ini, pihaknya telah menerima lebih daripada 700 rekod kemunculan serangga tersebut di Singapura.
Kupu-kupu yang ditemui di Singapura, Indonesia dan Malaysia itu dipercayai muncul dari kawasan hutan.
Jangka hayat kupu-kupu itu juga tidak panjang. Ia hanya mampu hidup selama dua minggu selepas bertukar daripada seekor ulat beluncas kepada kupu-kupu dewasa.
Untuk menjadi seekor kupu-kupu dewasa, ulat beluncas perlu sentiasa makan sehingga enam minggu sebelum membentuk kepompong.
Kehidupan serangga itu lebih terarah semata-mata untuk pembiakan spesiesnya dan hidup liar di hutan hujan tropika di Asia Tenggara.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0608&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3416uMq66 
Hakcipta terpelihara 

Api misteri cetus ketakutan


API misteri membakar papan seterika secara tiba-tiba ketika wartawan berada di rumah Nurfizah di Kampung Sungai Kuning, Selama, Perak semalam.


LARUT - Sebuah keluarga kini kebingungan apabila kediaman rumah kayu mereka di Kampung Sungai Kuning, Rantau Panjang dekat sini kerap diserang api misteri sejak sebulan lalu.
Terbaharu api tersebut muncul dan membakar sejadah serta papan seterika ketika wartawan Kosmo! Ahad melakukan tinjauan di rumah berkenaan semalam.
Seorang penghuni yang mahu dikenali sebagai Nurfizah Ahmad berkata, pelbagai ikhtiar telah dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut termasuk menggunakan khidmat bomoh tetapi gagal.
"Api misteri muncul di banyak tempat terutama bilik secara mengejut pada waktu siang.
"Kadangkala ia membakar plastik, rak pakaian, buku sekolah, sejadah dan sebagainya," katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Beliau berkata, dalam kejadian semalam segumpal rambut turut ditemui salah seorang anak saudaranya, Norain Nabila.
"Selain itu baju dan surat misteri yang entah dari mana datangnya turut dijumpai di kawasan rumah kami menyebabkan kami menjadi sangat takut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0608&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz33zbtKqAv 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, June 7, 2014

Buah mempelam 'gergasi', berat cecah 3kg sebiji

Norakmar Husein, 32, dan anaknya Muhammad Haris Hafizullah, 1, teruja memegang buah mempelam seberat 2.5 kilogram dan bersaiz 35 sentimeter panjang hasil tanaman bapa sepupunya, Ahmad Tajuddin Nordin, 50, di Kampung Jabi, Jerteh. - Foto Bernama
Norakmar Husein, 32, dan anaknya Muhammad Haris Hafizullah, 1, teruja memegang buah mempelam seberat 2.5 kilogram dan bersaiz 35 sentimeter panjang hasil tanaman bapa sepupunya, Ahmad Tajuddin Nordin, 50, di Kampung Jabi, Jerteh. - Foto Bernama
BESUT - Kediaman seorang staf Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kampung Jabi, Jerteh, dekat sini menjadi tumpuan penduduk setempat apabila pokok mempelamnya mengeluarkan buah bersaiz luar biasa dengan berat purata 2.5 hingga tiga kilogram sebiji.

Ahmad Tajuddin Nordin, 50, berkata lazimnya mempelam jenis itu yang dikenali 'mempelam kelo' oleh penduduk setempat hanya seberat sekilogram sebiji.
  
"Benihnya dibeli di Pasar Tani Kuala Besut kira-kira empat tahun lalu dan kami ingat pokok ini mandul sehinggalah ia berbunga pada April lepas dan menghasilkan 15 biji buah," katanya kepada Bernama, di sini.
  
Katanya beliau hanya menyiram pokok berkenaan dengan air sisa makanan dan langsung tidak menduga mempelam tersebut yang ditanam di halaman rumah akan mengeluarkan buah sebesar itu.
  
Ahmad Tajuddin yang bertugas di JKR Kota Baharu, Kelantan, berkata setiap sebiji buah berukuran 30 hingga 35 sentimeter panjang.
  
Menurutnya rasa buah itu kurang manis berbanding dengan yang dijual di pasaran.
  
"Semalam saya mengadakan kenduri kahwin anak, ramai yang terpegun tengok buah itu.
  
"Ramai yang minta biji mempelam itu untuk dijadikan benih selain ada yang mencadangkan saya buat kaedah 'kawin batang pokok' (tut), tapi saya tidak tahu
cara melakukannya," kata Ahmad Tajuddin. - Bernama

Kaviar dan udang karang dijual RM512.41



GAMBAR menunjukkan hidangan roti yang mengandungi kaviar dan udang karang di Restoran BLT Fish di New York pada 4 Jun lalu.


NEW YORK - Roti yang mengandungi kaviar (telur ikan Sturgeon) dan diperkaya udang karang dijual pada harga AS$160 (RM512.41) di Restoran BLT Fish di sini sejak 4 Jun lalu.
Cef Ekesekutif restoran itu, Luke Venner menghasilkan resipi itu yang turut dihiasi dengan kentang goreng.
Restoran itu sebelum ini terkenal dengan hidangan berasaskan ikan. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0607&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz33vUUYBDc 
Hakcipta terpelihara 

25 tahun jalan gostan


Mani Manithan memilih untuk berjalan secara berundur pada 1989 kerana membantah keganasan yang berlaku di India.
Dia bertegas menyatakan, rutin luar biasa itu tidak mengganggu kehidupan sehariannya kerana selepas 25 tahun, dia telah mahir dengan berjalan seperti itu, termasuk menaiki tangga, menyeberang jalan dan ketika menggunakan kenderaan awam.
Bagaimanapun, menurut pemilik sebuah kedai telefon bimbit di daerah Tiruppatur, Tamil Nadu itu, dia sudah lupa cara berjalan ke depan.
“Berjalan seperti orang biasa kini menjadi cabaran kepada saya.

Jiwa saya sudah lupa cara untuk melakukannya.
Foto
Foto


Saya lebih selesa jalan berundur.
“Kehidupan saya penuh dengan perjuangan, pengorbanan, pencapaian dan bantahan.

Kerana itu, saya tidak ada masalah untuk meneruskan kehidupan dengan berjalan gostan sehingga dunia ini aman sepenuhnya,” katanya.
Dia pernah berjalan secara berundur sejauh 480 kilometer di Chennai dalam keadaan berbogel.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/07

Friday, June 6, 2014

Buku kulit manusia

Risalah   dibalut kulit manusia

Pakar di Universiti Harvard mengesahkan satu naskhah buku dari kurun ke-19 yang tersimpan di perpustakaan pusat pengajian elit itu menggunakan kulit manusia sebagai kemasan akhirnya.

Saintis menjalankan siri ujian ke atas buku karya penulis Perancis, Arsene Houssaye berjudul ‘Des destinees de l’ame’ yang tersimpan di perpustakaan Houghton.

Mereka sangat yakin bahawa bahan yang digunakan untuk kulit buku itu diperbuat daripada kulit manusia.

Menurut jurucakap perpustakaan berkenaan, Houssaye menyerahkan buku dianggap ‘meditasi jiwa dan kehidupan selepas mati’ kepada seorang rakannya yang bertugas sebagai doktor pada pertengahan 1880-an.

Dr Ludovic Bouland yang menerima naskhah itu menjilid buku berkenaan dengan kulit mayat seorang wanita pesakit mental yang tidak dituntut.

Bouland juga meninggalkan sekeping nota di dalam buku itu yang bertulis: “A book about the human soul deserved to have a human covering” (Buku mengenai jiwa manusia layak dibalut manusia).

Walaupun penjilidan buku menggunakan kulit manusia menakutkan pada zaman kini, jurucakap itu berkata, ia bukanlah sesuatu yang baru.

“Dinamakan sebagai anthropodermic bibliopegy, penjilidan buku menggunakan kulit manusia bermula sejak abad ke-16.



“Buku yang memuatkan pengakuan penjenayah juga kadang-kala dijilid menggunakan kulit penjenayah terbabit.

“Begitu juga individu yang mahu diabadikan dalam bentuk buku bagi keluarga atau kekasih mereka,” katanya.

Nota Bouland turut merujuk buku lain dalam koleksinya, De integritatis dan ‘Corruptionis virginum notis’ karya Séverin Pineau turut menggunakan kulit manusia.

Kulit yang digunakan pada buku abad ke-17 itu kini berada dalam koleksi Perpustakaan Wellcome di London.

Laporan akhbar universiti itu pada 2006 menyatakan, sekurang-kurangnya ada tiga naskhah buku di universiti berkenaan menggunakan kulit manusia.

Namun, Perpustakaan Houghton menyatakan, ujian ke atas dua lagi naskhah di Perpustakaan Fakulti Perundangan Harvard dan Perpustakaan Fakulti Perubatan Countway menunjukkan ia sebenarnya adalah kulit kambing.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Cinta tidak kenal usia


Namun, Jones mempunyai selera sendiri.
Dia memilih seorang nenek berusia 91 tahun ketika usia ibunya sendiri baru 50 tahun.
Keanehan cita rasa Jones itu segera mengundang tanda tanya ramai, malah dia turut mendapat gelaran ‘pucuk muda’ sebelum ini kerana beberapa kali menjadi kekasih kepada wanita warga emas.
Sepanjang tempoh lima tahun lalu pemuda dari Florida berkenaan menjadi buah hati Marjorie McCool, 91, dan mereka mendakwa tidak boleh berenggang antara satu sama lain.
Mereka juga mendakwa melalui kehidupan seks yang aktif.
Kata Jones, otak manusia berfungsi secara berbeza antara seseorang.
Justeru, katanya, ada lelaki yang menggemari wanita berambut perang, manakala sebahagian lagi suka kepada warna rambut hitam.
“Saya menggemari wanita tua dan meluat melihat wanita yang mendapatkan kecantikan melalui pembedahan plastik,” katanya.
Untuk mencari pacar, Jones menggunakan kemudahan laman sesawang dan menghubungi wanita berusia antara 60 hingga 80 tahun.
“Apabila saya mula bercakap dengan wanita begitu, reaksi pertama mereka ialah terkejut kerana usia saya terlalu muda,” katanya.
Namun, kata Jones, dia akan cuba meyakinkan wanita terbabit bahawa perbezaan usia akan menjadikan hubungan mereka sesuatu yang menyeronokkan.
Jones bertemu Marjorie kali pertama pada 2009.

Ketika itu Marjorie yang membujang selama 37 tahun bekerja di sebuah kedai buku.
Jones kemudian bertemu dengannya dan meminta nombor telefon.
Sejak itu Marjorie bersetuju keluar bersama Jones.
Foto

Kata ibu kepada enam anak itu, pada awalnya dia cemburu kerana Jones mempunyai hubungan dengan perempuan lain.
“Namun, dia sering kembali kepada saya dan berkata saya adalah yang terbaik,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Makan burger belalang di restoran AS



SEORANG wanita memakan ulat yang telah digoreng.- AFP


WASHINGTON D.C., Amerika Syarikat (AS) - Satu majlis memakan daging burger belalang diadakan di Restoran Occidental di sini kelmarin.
Majlis tersebut ditaja syarikat Kawalan Serangga Ehrlich selama satu hari.
Pada majlis itu, syarikat berkenaan akan menderma sebanyak AS$5 (RM16.12) untuk setiap pelanggan yang memakan burger tersebut, cengkerik dan ulat.
Wang itu akan disumbangkan kepada program kitar semula makanan dan pengedaran daging di Washington D.C. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz33nxSWkjB 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, June 5, 2014

Suami isteri pontianak


Tetapi yang membezakan mereka dengan pasangan lain ialah mereka suka minum darah masing-masing.
Pyretta Blaze dan Andy Filth dari Wales Selatan yang muncul dalam rancangan sembang televisyen This Morning untuk menggesa orang ramai supaya lebih berfikiran terbuka adalah sebahagian daripada 15,000 komuniti pontianak di United Kingdom.
Filth yang mengaku sendiri dia pontianak menyamakan perbuatan minum darah dengan seks.
“Apabila kamu meminum darah masing-masing, kamu menjadi sebahagian daripada mereka,” kata Filth.
Menurutnya, rasa darah itu tidak menyebabkan dia sakit tetapi rasanya bukan seperti strawberi.
“Ia mempunyai rasa metalik,” katanya.
Pasangan itu memenuhi keinginan mereka terhadap darah di bilik tidur saja.
Tetapi pada hari lain, mereka akan merayau seperti anak muda lain.
“Saya biasa menyertai perhimpunan bertukar-tukar darah,” kata Pyretta.
Dia cuba meyakinkan bahawa perbuatan itu semalam dan tiada apa yang perlu dirisaukan masyarakat.
Dia juga memberi jaminan kepada penonton, kumpulan itu tidak bersembunyi dalam gelap untuk menyerang mangsa.
“Kami hanya minum darah dalam kalangan kami,” katanya.
Menurutnya, setiap anggota kumpulan menjalani pemeriksaan bagi memastikan mereka tidak mempunyai sejarah penyakit mental dan mempunyai rekod darah yang sihat.

“Semua orang sudah menjalani pemeriksaan penuh secara mental mahupun fizikal.
“Kamu pilih seorang pasangan yang kamu suka dan ia pasti selamat dan bersih,” katanya.
Dia juga mengaku menganggap kegiatan itu satu bentuk seks.
“Kami amat mementingkan kesihatan sama seperti yang kamu lakukan ketika seks.
Foto

Kami amat bertanggungjawab,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/05

Google lancar 180 satelit


Google merancang menghubungkan dua pertiga kawasan di dunia yang masih tidak menikmati akses Internet dengan kemudahan itu selepas merancang melancarkan sebanyak 180 buah satelit ke angkasa lepas. - AGENSI
NEW YORK 4 Jun - Peneraju enjin carian global, Google Inc dilapor bakal melancarkan sekum-pulan 180 buah satelit ke ruang angkasa lepas dalam usaha syarikat menyediakan akses Internet ke se-luruh dunia.
Dengan pelancaran kumpulan satelit itu, Google bakal memberi manfaat kepada sekurang-kurang-nya 4.8 bilion penduduk atau dua pertiga kawasan di dunia yang masih tidak menikmati kemudahan Internet.
Untuk itu, syarikat yang ber-pangkalan di California, Amerika Syarikat (AS) tersebut bakal mem-belanjakan lebih AS$1 bilion (RM3.2 bilion) untuk pembangunan teknologi tersebut yang akan me-nyaingi usaha Facebook dalam menghubungkan kawasan-kawasan terpencil di dunia.
Bagaimanapun, butiran berhu-bung pelancaran satelit itu ma-sih tidak jelas, namun Wall Street Journal dalam laporannya menga-takan satelit tersebut dibina da-lam saiz yang agak kecil dengan kapasiti yang agak tinggi dan akan mengelilingi Bumi pada ‘ketinggian yang lebih rendah berbanding satelit biasa’.
Usaha Google itu diketuai oleh pengasas komunikasi satelit O3b Networks yang difahamkan akan menggandakan jumlah pe-ngeluaran satelit bergantung ke-pada reka bentuk terakhir peralatan berkenaan.
Menurut Mail Online, projek satelit itu adalah yang terbaharu dihasilkan dari Lembah Silikon dalam usaha menghubungkan dunia dengan rangkaian Internet beserta harapan akan meningkatkan pen-dapatan syarikat.
Facebook dalam pada itu se-dang membangunkan pesawat tanpa juruterbang atau drone yang menggunakan kuasa solar, satelit dan laser dalam usaha menyampaikan akses Internet kepada negara-negara mundur.
Sementara itu, Google dalam projek berasingannya yang di-gelar sebagai 'Projek Loon', se-dang mereka bentuk belon yang diterbangkan pada altitud tinggi bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada kawasan-ka-wasan terpencil di dunia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140605/lu_11/Google-lancar-180-satelit#ixzz33i9Bk75m
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'Bapa Ekstasi' meninggal dunia


SHULGIN


LOS ANGELES - Ahli kimia Amerika Syarikat (AS), Alexander Shulgin yang juga digelar sebagai 'Bapa Ekstasi' meninggal dunia ketika berusia 88 tahun, kata keluarganya.
Dia diberi gelaran 'Bapa Ekstasi' kerana kebolehannya menukarkan sejenis bahan kimia menjadi dadah ekstasi yang kerap digunakan dalam parti-parti liar.
"Shulgin menghembuskan nafas terakhir pada Isnin lalu. Dia dikelilingi oleh keluarga dan penjaga- nya bersama alunan muzik Bud- dha," kata balunya, Ann.
"Dia pergi dengan aman dan hampir tanpa sebarang pergelutan," tambah wanita itu dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook kelmarin.
Lelaki tersebut yang tinggal di California dan mendalami ilmu kimia di Universiti Harvard serta Berkeley sebelum ini menghidap kanser hati.
Shulgin mula meminati bahan kimia psikoaktif dalam tahun 1960- an.
Dia menguji beratus-ratus bahan itu termasuk ubat antikemurungan, ubat perangsang syahwat dan bebe- rapa dadah perangsang lain dengan menggunakan diri sendiri dan rakan-rakannya sebagai bahan uji kaji.
Pada tahun 1970-an, Shulqin mula menguji bahan kimia amfetamina MDMA yang kemudian bertukar menjadi dadah ekstasi yang sering digunakan di kelab-kelab malam.
Ia membolehkan para pengunjung parti atau pengunjung kelab malam menari selama berjam-jam tanpa henti.
Namun, terdapat banyak kes kematian mengejut yang dikaitkan dengan dadah ekstasi, sekali gus mencetuskan persoalan, terutamanya mengenai ketulenan dadah tersebut.
Dadah perangsang itu telah pun dihasilkan pada penghujung kurun ke-19 dan dipatenkan pada tahun 1912 oleh firma farmaseutikal Merck sebelum ia diabaikan.
Shulgin kemudian mencipta cara baharu untuk menghasilkan ekstasi apabila dia bekerjasama dengan seorang ahli psikologi, Leo Zeff.
Zeff sendiri mengambil dadah itu dan mencadangkannya kepada beberapa rakan sekerjanya supaya menggunakan ekstasi untuk merawat pesakit mereka. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0605&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz33i4tqZNI 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, June 4, 2014

796 MAYAT BAYI DAN KANAK-KANAK DITEMUI DALAM TANGKI NAJIS


 WEDNESDAY, 4 JUNE 2014



TUAM: 796 mayat bayi dan kanak-kanak ditemui di dalam sebuah tangki najis yang telah ditinggalkan di sebuah bandar kecil dikenali sebagai Tuam di County Galway, Ireland. Mayat-mayat tersebut dipercayai dibuang antara tahun 1925 hingga 1961.

Berita tragik ini seperti dilaporkan oleh IrishCentral.com telah membongkar rahsia Gereja Katolik Ireland dimana tapak itu sebenarnya merupakan tempat tinggal bagi ibu yang melahirkan anak tanpa nikah yang dikenali sebagai ‘The Home’. Ia dikendalikan oleh Sisters of Bon Secours Congregation.

Catherine Corless, seorang ahli sejarah di Tuam memberitahu IrishCentral.com beliau masih mengingati tempat tinggal ‘Home Babies’ itu semasa membesar dan pergi ke sekolah.

“Mereka selalu diasingkan daripada kelas biasa. Paderi perempuan akan menyampaikan mesej bahawa mereka adalah golongan yang berbeza dan perlu diasingkan daripada orang ramai,” beliau dipetik sebagai berkata.

Corless menambah, jika pelajar di sekolah itu membuat kesalahan disiplin, mereka akan dipaksa duduk bersebelahan dengan penghuni Home Babies. Beliau turut menceritakan bagaimana rakannya membalut batu dalam balutan gula-gula dan memberinya kepada penghuni Home Babies.



“Apabila mereka membuka balutan itu, mereka sedar sebenarnya mereka telah ditipu. Saya mengaku saya turut mengikut jejak langkah rakan saya dan mempermainkan mereka. Pada masa itu saya rasa ia sesuatu yang kelakar,” IrishCentral.com memetik Corless sebagai berkata.

Perasaan bersalah itu terus menghantui Corless dan disebabkan itu, beliau kini mengetengahkan isu tragik penghuni Home Babies ini. Beliau telah menjalankan kajian intensif tentang apa yang berlaku dalam The Home selain mencari rekod-rekod lama.

Menurut IrishCentral.com, laporan pemeriksaan lembaga kesihatan tempatan daripada April 1944 mendapati seramai 271 kanak-kanak dan 61 orang ibu tunggal tinggal di The Home. Ini menjadikan jumlah keseluruhan penghuni rumah itu seramai 333 orang sedangkan bangunan tersebut hanya mempunyai kapasiti untuk 243 penghuni sahaja.

Laporan tersebut turut menunjukkan bagaimana kanak-kanak yang tinggal di situ diabaikan dan kekurangan zat. Laporan juga mendapati kanak-kanak dalam keadaan ‘miskin, kurus dan tidak membesar’.

The Home beroperasi selama 36 tahun dari 1926 hingga 1961 dan penduduk Tuam memberitahu pemberita bahawa kanak-kanak tersebut dianggap golongan terbuang hanya kerana status mereka sebagai ‘anak luar nikah’ dan ‘berdosa’.

Corless turut cuba menghubungi sebahagian biarawati Bon Secours namun mereka telah berpindah dari Tuam pada 1961 dan menyerahkan segala rekod berkaitan The Home kepada Lembaga Kesihatan Barat. Lembaga tersebut seterusnya memberitahunya bahawa tiada maklumat umum mengenai perjalanan harian tempat itu.

Akhirnya, Corless berjaya mendapatkan rekod kematian kesemua 796 kanak-kanak yang ditemui mati di dalam sebuah tangki najis daripada pejabat pendaftaran di County Galway. Beliau bersama-sama sebuah jawatankuasa kini bekerjasama untuk membina sebuah memorial bagi memperingati kubur itu.

sumber: http://www.astroawani.com/
- See more at: http://buletin-terkini-online.blogspot.com/2014/06/796-mayat-bayi-dan-kanak-kanak-ditemui.html#sthash.GdSY8KNp.dpuf

Tapak kaki bersaiz luar biasa ditemui

NUR FARHANA ABDUL MANAN
Dua kesan tapak kaki bersaiz 23 inci panjang yang ditemui.
Dua kesan tapak kaki bersaiz 23 inci panjang yang ditemui. 
3 Jun 2014
PUCHONG – Kesan tapak kaki bersaiz gergasi yang ditemui di halaman sebuah rumah di Kampung Sri Aman Dalam dekat sini petang kelmarin, menimbulkan persoalan ia milik ‘bigfoot’ atau makhluk jenis lain.

Bersaiz 23 inci panjang, dua belah tapak kaki itu turut ditemui bersama satu lagi kesan tapak kaki kiri bersaiz 15 inci.

Pesara, Abdul Wahab Md Wali, 78, berkata, dia menemui empat objek pelik ketika berjalan menuju ke kebun buah-buahan terletak kurang 50 meter dari jarak rumahnya.

Dari jarak rumah ke kebun dia menghamparkan sebidang permaidani bagi mengelakkan rumput tumbuh sejak sebulan lalu.

Namun dia tidak menyangka akan menemui kesan tapak kaki gergasi atas permaidani yang dihampar, petang kelmarin.

"Kesan tapak kaki bersaiz besar itu mempunyai lima jari mirip tapak kaki manusia dan jarak antara tapak kaki kanan dan kiri hampir satu meter.

"Kira-kira tiga meter dari jarak dua tapak kaki itu terdapat dua lagi kesan menyerupai tapak kaki berukuran 15 inci manakala satu lagi hanya menampakkan kesan tumit kaki yang dipijak," katanya kepada Sinar Harian.

Terkejut dengan penemuan itu, dia kemudian memanggil anaknya menyebabkan kini mereka sekeluarga dihantui rasa takut.

“Mula-mula pakcik tak perasan kesan tapak kaki tu tapi bila diamati memang terkejut. Ia serupa tapak kaki manusia tapi besar macam gergasi.

“Lepas jumpa semalam (kelmarin) pakcik taklah kecoh-kecoh tapi ada juga orang kampung yang dah tahu datang tengok,” katanya.

Difahamkan, buah pokok belimbing buluh yang ditanam Abdul Wahab berhampiran kesan tapak kaki ditemui sering ‘ghaib’ sebelum ini.

Sementara itu, adik ipar Abdul Wahab, Kamarudin Ismail, 68, berkata sepanjang hidupnya, itulah kali pertama dia melihat tapak kaki bersaiz besar.

Bagi mendapat kepastian, penemuan itu diajukan kepada pihak polis dan Jabatan Perhilitan.

“Jabatan Perhilitan kata ia bukan tapak kaki ‘bigfoot’...jadi tapak kaki ni milik siapa? Haiwan, manusia atau jin, kami semua nak tahu..., sekarang saya akan simpan permaidani yang terdapat kesan tapak kaki ni jika ada mana-mana pihak nak kaji,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung penemuan objek itu daripada seorang penduduk Kampung Seri Aman.

Katanya, pihaknya akan melakukan siasatan dan memanggil pakar jika perlu untuk kajian lanjut.

Gajah Thailand boleh main piano

Gajah Thailand boleh main piano
GAJAH digelar sebagai Peter ini dikurniakan kebolehan luar biasa.

Rakaman dimuat naik PaulBartonPiano di Youtube menunjukkan haiwan mamalia ditempatkan di bawah program Elephantstay di Royal Elephant Kraal & Village di Thailand tersebut boleh bermain piano.

"Peter kelihatan seronok menikmati muzik terbabit kerana ia turut 'menari' walaupun tidak mengikut alunan rentak dan irama lagu," kata jurucakap Elephantstay kepada laporan Daily Mail.

Di program Yayasan Phra Kochabaan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, pengunjung juga dibenarkan untuk merasai pengalaman menyeronokkan tinggal bersama gajah.

Membaca sambil memandu

Membaca sambil memandu
AKSI berani mati seorang pemandu wanita yang membaca sambil memandu kereta di salah sebuah laluan paling sibuk di Britain dikecam banyak pihak.

Menurut Daily Mail, wanita tersebut dilihat bersendirian memandu kereta jenis Nissan Micra pada kelajuan 113 kilometer sejam di Leicestershie sambil khusyuk membaca buku yang diletakkan pada stereng pada minggu lalu.

Seorang pengguna jalan raya yang mahu dikenali sebagai Stonham turut mengambil gambar pemandu itu menggunakan telefon bimbitnya.

"Tindakan wanita itu sememangnya di luar jangkaan kerana kebiasaannya, saya melihat orang makan atau mengenakan alat solek sambil memandu. Perbuatannya tidak dapat diterima dan tanpa disedarinya boleh membawa maut," katanya.

Susulan daripada insiden tersebut, kempen keselamatan jalan raya bertindak menggesa pihak berkuasa mengenakan denda lebih tinggi terhadap mana-mana pemandu yang melakukan pelbagai perkara pada suatu masa.